Abstrak
Rangkakerja metodologi dalam kajian penyelidikan melancarkan proses mengumpul data. Kajian penyelidikan dikategorikan kepada penyelidikan kualitatif dan penyelidikan kuantitatif. Penyelidikan kualitatif merujuk kepada kajian yang dijalankan memerlukan pemerhatian yang teliti, manakala penyelidikan kuantitatif merujuk kepada kajian yang dijalankan melibatkan statistik. Kajian penyelidikan kualitatif dan kuantitatif dapat ditentukan melalui data primer atau data sekunder. Data primer didefinasikan sebagai data yang berasal dari sumber asli atau pertama, manakala data sekunder didefinasikan sebagai data yang telah dikumpulkan oleh pengkaji lain. Data primer boleh dikategorikan kepada aktif dan pasif. Data primer aktif boleh dibahagikan kepada menemu ramah secara langsung (melalui bersemuka antara penyelidik dan responden) dan menemu ramah secara tidak langsung (contohnya melalui telefon, surat, teknologi). Data primer pasif boleh dibahagikan kepada berstruktur dan bersifat rahsia, berstruktur dan bersifat terbuka, tidak berstruktur dan bersifat rahsia serta tidak berstruktur dan bersifat terbuka. Data sekunder melibatkan bentuk tulisan seperti jurnal, buku, majalah, rekod-rekod lepas, laporan dan dokumen, internet, tesis, cerpen, surat khabar), serta pandangan dan pendengaran (ucapan, tayangan gambar dan video, lagu, cerita). Walaupun data sekunder mempunyai kelebihan dan kelemahan, namun data sekunder dan data primer bergantung antara satu sama lain dalam membantu penyelidik menyelesaikan masalah masyarakat melalui pencapaian objektif kajian atau hipotesis kajian dalam kajian penyelidikan.
Kata Kunci: kajian penyelidikan, metodologi, kualitatif, kuantitatif, data primer, data sekunder
Abstract
This Methodology framework in research study smoothing the process of collecting data. Research study is categorized into qualitative and quantitative research. Qualitative research refer to a studies require careful observation, while quantitative research refers to a studies involve in statistics. Qualitative and quantitative research study can be determined through primary and secondary data. Primary data is defined as data that comes from original or the first source, while secondary data is defined as data that has been collected by other researchers. Primary data can be categorized into active and passive. Active primary data can be divided into direct interview (through face to face between researcher and respondents) and interviewed indirectly (e.g. by phone, mail, technology), while passive primary data involve with structured and secret characteristic, structured and open characteristic, unstructured and secret characteristic, unstructured and open characteristic. Secondary data involves with writing (journals, books, magazines, past records, reports and documents, internet, theses, short stories, newspaper), as well as vision and hearing (speeches, movies and videos, songs, stories). Even secondary data has its advantages and disadvantages, but both secondary and primary data are depend on each other in solving the society problems through the achievement of the objectives or hyphotheses in a research study.
Keywords: research study, methodology, qualitative, quantitative, primary data, secondary data
Citation of Article:
Hua, A.K. (2016). Pengenalan Rangkakerja Metodologi dalam Kajian Penyelidikan: Satu Kajian Kes. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities, 1(1), 17-23.
Pengenalan
Penyelidikan merujuk kepada satu proses yang sistematik yang melibatkan proses merancang kaedah penyelidikan, mengumpul data, menghurai data dan melaporkan maklumat (Chua, 2011). Dengan kata lain, penyelidikan merupakan satu kaedah yang dilakukan untuk memastikan maklumat yang diperoleh munasabah dan disokong oleh data-data kuantiti dan kualiti. Ia dilakukan dengan mengumpul data daripada individu, kumpulan individu, bahan-bahan dokumentasi dan pelbagai sumber maklumat yang lain (Soy, 1997). Chua (2011) menyatakan penyelidikan boleh dikategorikan kepada tiga jenis iaitu penyelidikan kuantitatif, penyelidikan kualitatif dan penyelidikan campuran. Ketiga-tiga kategori penyelidikan ini sangat penting dalam menentukan kaedah metodologi yang akan digunakan untuk membantu dalam proses analisis kajian.
Penyelidikan kuantitatif boleh dirujuk sebagai kajian yang menggunakan statistik yang melibatkan bilangan responden yang banyak dengan sekurang-kurangnya melebihi 10 sampel dalam mengukur pembolehubah bagi sesuatu penyelidikan tersebut (Krejcie & Morgan, 1970; Cohen, 1992). Kajian penyelidikan yang menggunakan kaedah kuantitatif dilakukan melalui kajian eksperimental dan data numerika yang dipungut dianalisis dengan ujian statistik (Chua, 2011). Data-data ini wajib diukur bagi membuktikan kebolehpercayaan dan dapat digunakan untuk menguji teori, membina fakta dan menyatakan kewujudan perhubungan antara variabel-variabel. Antara kesesuaian kajian yang boleh digunakan dalam penyelidikan kuantitatif adalah deskriptif dan inferensi (Chua, 2011). Kajian penyelidikan deskriptif melibatkan data yang dikumpul daripada keseluruhan populasi dan analisis umum yang digunakan adalah frekuensi, peratusan, min, sisihan piawai dan taburan skor dalam membentangkan laporan. Manakala kajian penyelidikan inferensi pula daripada keseluruhan populasi, hanya satu sampel tertentu sahaja dipilih dan dikumpul untuk dijadikan sebagai data numerika dan digunakan dalam ujian statistik.
Penyelidikan kualitatif pula merujuk kepada kajian yang dijalankan memerlukan pemerhatian yang teliti. Kajian kualitatif tidak memerlukan bilangan responden yang banyak tetapi memperolehi maklumat yang berkualiti dengan memberikan tumpuan terhadap sampel yang kecil dalam satu kumpulan (Hamzah, 2010). Sebagai contohnya, motif seseorang penjenayah untuk melakukan kes kes jenayah seperti merompak, merogol atau membunuh adalah sukar untuk difahami jika menggunakan kaedah kuantitatif (frekuensi, peratusan, sisihan piawai, dan sebagainya). Sebaliknya penelitan serupa sangat sesuai dijalankan dengan menggunakan kaedah kualitatif yang melibatkan data-data dipungut melalui kaedah temu bual atau pemerhatian mendalam (Chua, 2011).
Perbezaan bagi kajian penyelidikan kuantitatif dan penyelidikan kualitatif boleh ditunjukkan melalui kajian Neuman (2006) dengan Reichadt dan Cook (1979), seperti di dalam jadual berikut:
Perbincangan Tentang Kaedah Penyelidikan Kuantitatif dan Kualitatif
Kajian penyelidikan yang menggunakan kuantitatif dan kualitatif akan melibatkan proses pengumpulan data. Secara umumnya, data ialah pengiraan ke atas ciri-ciri, kejadian, fakta atau ukuran ke atas sesuatu peristiwa yang boleh dikira (Marican, 2005). Dalam penulisan buku yang bertajuk "Essential of knowledge management" oleh Bergeron (2003), data membawa maksud bilangan yang berkait dengan angka-angka atau atribut-atribut yang bersifat kuantiti, yang berasal dari hasil observasi, eksperimen, atau kalkulasi. Oleh itu, satu set data yang terdiri daripada pelbagai data yang telah dikumpul boleh merangkumi ribuan pemerhatian dan penerangan (Bruning & Kintz, 1987). Jadi, data-data ini boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu data primer dan data sekunder.
Data Primer
Menurut Yusof (2003) data primer adalah data yang berasal dari sumber asli yang dikumpul untuk menjawab persoalan kajian. Data-data ini dikumpul oleh penyelidik melalui proses eksperimental atau kajian lapangan seperti soal selidik, pemerhatian, temu bual dan sebagainya. Data perimer merujuk kepada sumber data yang tidak tersedia di dalam fail atau laporan. Dalam bidang penyelidikan sains sosial, data-data ini boleh dikumpulkan daripada individu, kumpulan fokus atau melalui panel pakar. Pengumpulan data primer boleh dilakukan secara pasif dan aktif.
Manakala bagi metod pengumpulan data primer secara aktif, ianya boleh dibahagikan kepada dua kaedah. Pertama, menemu ramah secara langsung. Kedua, menemu ramah secara tidak langsung. Kaedah menemu ramah secara langsung dilakukan secara bersemuka antara responden dengan penyelidik bagi mendapatkan informasi yang lengkap. Penyelidik akan membuat persiapan awal dengan menyediakan soalan sebelum menemu ramah responden untuk mendapatkan maklumat kajian.
Terdapat dua kategori dalam menemu ramah secara lansung, iaitu menemu ramah secara mendalam (depth interview) dan melalui kumpulan fokus (focus group). Menemu ramah secara mendalam selalunya berlaku antara dua orang sahaja seperti melibatkan seorang penyelidik dengan seorang responden. Manakala menemu ramah melalui kumpulan sasaran pula melibatkan sekumpulan orang seperti seorang penyelidik dengan beberapa orang responden. Jadual 4 menghuraikan dengan lebih terperinci metod pengumpulan data primer secara aktif.
Data Sekunder
Menurut Marican (2005), data sekunder boleh dirujukan sebagai data yang telah dikumpulkan oleh pengkaji lain. Sebagai contohnya, data-data yang lepas atau terdahulu dikumpul untuk tujuan kajian. Data-data tersebut masih lagi sesuai dan relevan untuk digunakan bagi menjawab persoalan kajian atau dikembangkan kepada informasi mahupun formulasi yang baru untuk kajian pada masa kini. Maklumat atau bahan terbitan yang dikumpul oleh penyelidik lain boleh digunakan sebagai rujukan untuk mencipta formula atau informasi baru bagi menyelesaikan masalah yang timbul pada masa kini mahupun masa depan. Contoh data sekunder yang boleh didapati adalah dokumen awam seperti demografi penduduk, arkib, dokumen pentadbiran, laporan formal, majalah, surat khabar, dan sebagainya.
Seperti data primer, penggunaan data sekunder juga mempunyai kelebihan dan kelemahan. Penjelasan mengenai kelebihan dan kelemahan penggunaan data sekunder disenaraikan dalam jadual 5.
Kesimpulan
Rangkakerja metodologi dalam kajian penyelidikan adalah sangat penting dan diutamakan sebelum dan semasa menjalankan pengumpulan data untuk menjayakan sesuatu penyelidikan. Proses daripada pernyataan masalah yang berkait dengan sesuatu isu atau masalah yang boleh membawa keburukan dan kesan negatif kepada masyarakat, sehinggalah menganalisis dan pengolahan data memerlukan penetapan dan ketepatan dalam mengumpul data agar tidak mengalami sebarang kesilapan terhadap kebolehpercayaan dalam kajian penyelidikan tersebut. Proses mengumpul maklumat melibatkan data primer mempunyai kebolehpercayaan yang sangat tinggi, dengan andaian tidak berlaku sebarang perubahan data semasa menjalankan proses menganalisis data. Namun sekiranya menggunakan data sekunder dalam menjalankan kajian penyelidikan, data primer turut terlibat dalam membuktikan maklumat data sekunder adalah jitu, tepat, sahih dan boleh dipercayai untuk meneruskan kajian penyelidikan. Sebagai contohnya, kajian penyelidikan dalam bidang sains akan memerlukan analisis keputusan, maklumat dan bukti yang kukuh daripada sebarang eksperimen ataupun melalui data primer membuktikan data sekunder boleh dipercayai yang melibatkan proses-proses tertentu bagi mencapai objektif penyelidik. Sekiranya maklumat daripada data primer tidak dapat membuktikan kebolehpercayaan data sekunder, maka kajian tersebut memerlukan perubahan dalam objektif atau hipotesis bagi mengelakkan kegagalan kajian penyelidikan tersebut.
Dalam bidang sains sosial pula, data sekunder sangat penting dalam membantu menjalankan proses mengumpul data primer walaupun penyelidik masih ragu-ragu terhadap maklumat sekunder, tetapi penyelidik wajib menjalankan kajian rintis dalam membuktikan kebolehpercayaan maklumat sekunder kerana maklumat daripada data sekunder akan digunakan untuk menjana objektif kajian penyelidikan yang lebih mendalam dan terperinci dalam menyelesaikan masalah berkaitan dengan masyarakat. Sekiranya kajian dilakukan terhadap sebarang kes yang tidak melibatkan data sekunder, contohnya isu atau masalah baru, maka maklumat daripada kajian tersebut boleh dinyatakan sebagai data primer dan menjadi maklumat baru dalam menyelesaikan masalah masyarakat. Oleh itu, data primer dan data sekunder adalah saling diperlukan dalam membantu penyelidik mencapai objektif kajian atau hipotesis kajian.
Rujukan
Bergeron, B. (2003). Essential of knowledge management (Vol. 28). John Wiley & Sons.
Bruning, J.L. & Kintz, B.L. (1987). Computational handbook of statistics. Scott, Foresman and Co.
Chua, Y.P. (2011). Kaedah dan statistik penyelidikan: kaedah penyelidikan. Mcgraw-Hill Education.
Cohen, J. (1992). Statistical power analysis. Current directions in psychological science, 1(3), 98-101.
Creswell, J.W. (1994). Research design: Qualitative and Quantitative approaches. Thousand Oaks: Sage Publications.
Hamzah, A. (2010). Kaedah kualitatif dalam penyelidikan sosiobudaya. Jurnal Pengajian Media Malaysia. 6(1).
Krejcie, R.V. dan Morgan, D.W. (1970). Determining sample size for research activities. Educational and Psychological Measurement. 30, 607-610.
Marican, S. (2005). Kaedah penyelidikan sains sosial. Prentice Hall/Pearson Malaysia.
Neuman, W.L. (2006). Social Research Methods: Qualitative and Quantitative Approaches. Toronto: Pearson.
Reichardt, C.S. dan Cook, T.D. (1979). Beyond qualitative versus quantitative methods. In T.D. Cook & C.S. Reichardt (Eds.), Qualitative and quantitative methods in evaluation research. Beverly Hills, CA: Sage.
Soy, S. K. (1997). The case study as a research method. Unpublished paper, University of Texas at Austin, 1-6.
Yusof, R (2003). Penyelidikan Sains Sosial (Social Science Research). Pahang, Malaysia: PTS Publications & Distributors (Malay Version).