Wednesday, November 30, 2022

Sifat dan Konsumsi Budaya Melayu dalam Pelancongan Malaysia: Satu Kajian Literatur

ABSTRAK
Pelancongan-budaya di Malaysia boleh dikategorikan kepada dua iaitu penawaran dan permintaan. Dalam penawaran, ianya boleh didefinisikan sebagai pelancongan yang dicirikan oleh penawaran restoran atau kedai makan, pusat-pusat tarikan pelancong dan institusi budaya, dan pembuatan dan penjualan cenderamata. Manakala permintaan pula, ianya dapat didefinisikan sebagai pelancongan yang dicirikan oleh kecenderungan untuk “keseronokan, kebudayaan, agama, melawat kawan atau saudara-mara, pengajian atau penyelidikan, dan apa-apa maksud lain yang tidak berhubungan dengan suatu pekerjaan yang mendapat saraan daripada tempat dilawati itu.” Kajian ini mengupas lebih terperinci dan mendalam tentang pelancongan budaya yang amat menitik-beratkan tentang kraf, batik, makanan, seni persembahan, seni bina, dan pesta, yang juga menjadi penting dalam penjanaan ekonomi kepada negara.

ABSTRACT

Cultural tourism in Malaysia can be categorized into two, namely supply and demand. In supply, it can be defined as tourism characterized by the supply of restaurants or eateries, tourist attraction centers and cultural institutions, and the manufacture and sale of souvenirs. As for demand, it can be defined as tourism characterized by the tendency to "pleasure, culture, religion, visiting friends or relatives, study or research, and any other purpose that is not related to a job that receives remuneration from the place visited that.” This study examines in more detail and in-depth about cultural tourism that emphasizes crafts, batik, food, performing arts, architecture, and festivals, which are also important in generating the economy for the country.

Sumbangan/Keaslian: Kajian ini menyumbangkan kepada literatur sedia-ada tentang pelancongan budaya yang bercirikan kraf, batik, makanan, seni persembahan, seni bina, dan pesta, dikonseptualkan dalam penawaran (penawaran pusat-pusat tarikan pelancong dan institusi budaya) dan permintaan (kecenderungan untuk “keseronokan” yang tidak membawa kepada sesuatu pekerjaan daripada tempat dilawati).

Kata kunci: penawaran, permintaan, penjanaan ekonomi, pelancongan-budaya

Sitasi untu artikel:
Zakaria, Z., & Hua, A. K. (2022). Sifat dan Konsumsi Budaya Melayu dalam Pelancongan Malaysia: Satu Kajian Literatur. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 7(11), e001970-e001970.


PENGENALAN
Pelancongan-budaya di Malaysia tidak dapat difahami secara menyeluruh adalah disebabkan oleh penyelidikan-penyelidikan terdahulu yang ada hanya melihat dari sudut penawaran (supply-based). Selain itu, bagi memahami pelancongan-budaya di Malaysia, adalah dengan merekonstruksi kedudukannya dalam industri pelancongan. Dalam kajian ini akan menjelaskan dua perkara pokok iaitu ciri-ciri budaya Melayu dan bagaimana hubungan serta kedudukannya yang sebenar dalam sektor industri pelancongan berbanding dengan budaya bangsa-bangsa lain, dan Konsumsi produk budaya Melayu dalam pelancongan. Persoalan pertama yang perlu dijelaskan dalam kajian ini adalah mengenai sisi penawaran. Manakala persoalan kedua pula (iaitu konsumsi) adalah mengenai sisi permintaan. Penjelasan dari dua sisi ini akan dapat sedikit-sebanyak memberi gambaran secara genre dimanakah sebenarnya produk budaya Melayu dalam sektor industri pelancongan pada hari ini.

Sifat Budaya Melayu
Secara amnya Malaysia tidak mempunyai tinggalan sejarah-peradaban yang besar, eksotik dan mengagumkan (Wheatly, 1961; Selat, 1977; Andaya & Andaya, 1982). Walaupun Johnson (1807) pernah menyatakan Bukit Bendera sebagai “fabled of the Elysian Fields” namun kehebatannya itu hanyalah pada zaman awal abad ke-19, iaitu sebelum terbangunnya tempat peranginan di koloni-koloni lain. Pada era kapal wap (khusus pada bahagian kedua akhir abad ke-19) kedudukan Pulau Pinang dan Melaka (walaupun mempunyai peninggalan Portugis dan Belanda) menjadi tidak penting kerana dianggap tidak setanding dengan Mesir, India, Timur Jauh (Negeri China) dan Bali. Misalnya, menurut Pope (1996) iaitu laporan syarikat perkapalan P and O, syarikat perkapalan utama pada era tersebut:

As extra-European tourism began to develop in the twentieth century, south-East Asia less attracted than Egypt, India and the Far East. Nonetheless, first or last landfalls in the region were usually made in the Straits Settlements, and Singapore in particular capitalised on its position as ‘Clapham Junction of the East.’ Lacking historical sites of the magnetism of Bali, Penang and Singapore were regarded by those with the money and leisure to travel for pleasure as convenient rather than compelling stopping off points opportunities to break the monotony of an ocean voyage (Stockwell, 1993).

Laporan ini jelas menyebut bahawa pada era kapal wap Negeri-Negeri Selat hanya menjadi tempat perhentian sementara (atau Clapham Junction of the East) bagi perjalanan kapal jarak jauh, dan tidak ada pelawat yang datang atas dorongan daya tarikan. Kenyataan ini adalah selaras dengan catatan Robinson (1976) yang menyatakan pada bahagian awal kurun ke-20 itu Negeri-Negeri Selat bukanlah “destinasi terakhir” bagi pelawat antarabangsa. Ini kerana menurut Harrison (1911)

The Malaya of the present day, not being accustomed to travellers for pleasure, offer through very little in the curio line, and such as there is of the kind has to be hunted up. The country produces scarcely a gem and no relics of antiquity and its Malay craftsmen are of no high order of merit.

Kenyataan yang sama diberikan oleh para pelawat. Contohnya, pada 1930-an Braddel (1933) menceritakan apa yang diberitahu oleh seorang pelancong wanita berbangsa Eropah kepadanya: “As an English lady residence in Singapore once said to me: ‘I don’t see how you can find any interesting in this place beyond the obvious. It has no history like India or China,’ and that is the general impression” (Braddel, 1933).

Harriet W. Ponder, seorang wanita British yang pernah melawat Negeri-Negeri Melayu dan juga Jawa pada dekad 1930-an telah membandingkan kedua-dua tempat tersebut:

Although Java and Malaya are next-door neighbours, and both are tropic colonies, the life that Europeans live in each of them is absolutely different. The most notable difference of all has nothing, whatever to do, so far as one can see, with the essential difference in nationality, for nationality does not explain why it is that Malaya, except for babies and tiny tots up to six or seven, is empty of European children, whereas in Java they abound. It is difficult to see why the fact of being born Dutch should render children immune to the tropic sun; or why, on the other hand, the British child should be more susceptible to it.

Both colonies are close to the Equator: on sea-level; they have much the same climate; if anything, Singapore is rather cooler than Batavia. Yet it is the firm conviction of the British in Malaya that children cannot possibly be brought up there and the equally firm conviction of the Dutch that their youngsters will be every bit as happy and healthy in Java as they would in Europe. And the fine healthy young Hollanders, sunburn and sturdy and full of life that you see on all sides as soon as you land in Java certainly give the lie conclusively to the theory that healthy children cannot be reared in the tropics.

In Malaya the sun is regarded as the child’s most dangerous enemy. It is only in the early mornings and late afternoons that the Chinese amahs (nurses) are allowed to shepherd their charges out of doors. And even then the poor mites are made ridiculous as well as miserably uncomfortable by their fond parents’ insistence on their wearing sun-helmets (Ponder, 1935).

Catatan-catatan ini membayangkan selain daripada ketandusan peninggalan peradaban-sejarah-budaya besar, eksotik dan mengkagumkan, alam semula jadi Malaysia juga secara amnya adalah tidak sesuai untuk menjadi destinasi lawatan kerana iklimnya terlalu panas bagi orang Eropah. Cuaca panas Khatulistiwa boleh membawa maut pada mereka. Misalnya, seorang peneroka dari Australia yang melawat negeri Perak pada tahun 1883 dan menulis (tidak menyebut namanya) dalam Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak (2022). “Perak is a country too hot to be pleasant to Europeans, though is a perfect paradise to the Malays. The climate is a perpetual summer.” Hale (1908) menjelaskan “Very few natives of a cold climate can live in the tropics for an extended period without frequently changes.”

“Timur” sememangnya ungkapan besar di kalangan orang Eropah misalnya adanya penyebutan “the fabled East”-dan semangat ingin tahu sentiasa segar mendorong para pengembara Eropah untuk mengembara kerana ingin mengetahui dan menghayati eksotika dunia jauh di sebelah ini yang sering ditanggapi sebagai “mysterious, delicate, aromatic gale of East” (Thomson 1964; Cameron, 1965). Walau bagaimanapun, ungkapan ini adalah merujuk pulau Jawa (Batavia, Ternate dan Surabaya), India, Jepun, Rangoon (Myanmar), Siam dan tempat-tempat lain, bukannya Malaysia. Misalnya, pada pertengahan abad ke-19 Wallace (1902) mencatatkan kekagumannya terhadap Batavia: “I went by coach to Buitenzorg, forty miles inland and about a thousand feet above the sea, celebrated for its delicious climate and its Botanical Gardens. The walks were all of loose pebbles, making any lengthened wanderings about them very tiring and painful under a tropical sun. The gardens are no doubt wonderfully rich in tropical and especially in Malayan plants” (Wallace, 1902).

Di samping itu, keadaan kemudahan dan rangkaian perhubungan dan kemudahan pelancong di Negeri-Negeri Melayu masih begitu mundur. Sehingga 1920-an seluruh Negeri Melayu masih unbeaten tracks. Misalnya, pada 1870-an Swettenham mengembara ke kawasan pedalaman Negeri-Negeri Melayu dan mencatatkan “I feel it is impossible and absurd to attempt to describe what we went through that night; no pen can write, nor though can tell, the misery we endure, nor will any one was there easily forget it” (Swettenham, 1948). Pengalaman yang sama dicatatkan oleh Wells (1982).

Sebaliknya, di Jawa sejak pertengahan abad ke-19 lagi sudah terdapat hotel di bahagian pedalamannya yang dibuka semata-mata kerana adanya daya tarikan. Misalnya, Wallace (1902)-tokoh yang sangat masyhur kerana dikatakan individu yang mengungkapkan istilah “Kepulauan Melayu” (the Malay Archipelago) dan tersohor sebagai pengutip bahan-bahan untuk membantu Charles Darwin membina “Teori Evolusi” yang tersohor itu-dengan lunak menginap di beberapa buah hotel di Jawa dan Singapura.

A few days afterwards I went by steamer to Batavia, where I stayed about a week at the chief hotel, while I made arrangement for a trip into the interior. The Hôtel des Indes was very comfortable, each visitor having sitting-room and bedroom opening on a verandah, where he can take his morning coffee and afternoon tea. In the centre of the quadrangle is a building containing a number of marble baths always ready for use; and there is an excellent table d’hôtel breakfast at ten, and dinner at six, for all which there is a moderate charge per day (Wallace, 1902).

Dalam catatan Wallace (1902) itu disebutkan juga dengan jelas perkataan “tourist” dan menceritakan banyaknya pelancong dari Eropah yang melawat ke Jawa, Ternate dan Surabaya. Beliau juga menjelaskan terdapatnya itinerari dan kemudahan perjalanan di tempat-tempat berkenaan. Pada pertengahan abad ke-19 itu, di Batavia sudah terdapat Botanical Gardens alam tropika yang terbaik di dunia.

Jelasnya Negeri-Negeri Melayu tandus dengan daya tarikan. Tidak ada peninggalan purbakala yang besar dan eksotik setanding dengan Candi Borobudur dan seni bina yang indah dan unik seperti di Siam. Cuacanya terlalu panas bagi orang Eropah. Walaupun alamnya terutamanya hutan rimba, bukit bukau, pantai dan pulau merupakan aset daya tarikan besar tetapi aspek-aspek ini belum membangun. Pada abad ke-19 Negeri-Negeri Melayu masih tertutup, malah Damansara masih dipenuhi hutan rimba tempat harimau bersarang (Innes, 1974). Secara eksplisitnya catatan-catatan ini membayangkan pembangunan “industri-industri” perkhidmatan yang membentuk komponen pelancongan, seperti hotel, pengangkutan, pihak tengah dan itinerari lain, di Negeri-Negeri Selat dan juga Negeri-Negeri Melayu tidaklah didorong oleh daya tarikan. Pembangunan industri-industri perkhidmatan layan tamu itu hanyalah untuk memenuhi keperluan pedagang, pegawai komuniti, ekspatriat, transit dan ekspatriat di
negeri-negeri berkenaan.

Aspek-aspek Budaya Melayu Pada Hari Ini
Budaya Melayu berbeza daripada budaya kaum-kaum lain kerana aspek-aspeknya berkembang dari dua pengaruh utama. Pertama, Budaya-rakyat (folk-culture) iaitu aspek-aspek yang berakar dari warisan purbakala dari turun-temurun sejak sebelum kedatangan Islam ke rantau ini lagi. Kedua, aspek-aspek yang berakar daripada pengaruh Islam.

Budaya-rakyat Melayu begitu banyak dan tidak seragam kerana masyarakat Melayu itu sendiri adalah terdiri daripada pelbagai suku-kaum seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Java, Minangkabau, Acheh, Krinci dan Boyan yang mempunyai latar belakang sejarah dan tempat yang berbeza (Anwar, 2008).

Sebaliknya, aspek-aspek budaya Melayu yang berakar pengaruh Islam adalah seragam kerana ia bertunjang pada sumber agama sama iaitu berasaskan prinsip agama yang sepunya. Antara aspek-aspek yang berakar dari Islam ialah Hari Raya Adil Fitri, Hari Raya Haji, Awal Hijrah dan Mauludul Rasul. Perayaan-perayaan tersebut diadakan serentak (pada masa sama) dan berasaskan prinsip kepercayaan yang sama bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu tetapi di seluruh dunia. Dari segi persembahan ia terdiri daripada hadrah, nasyid, berzanji.

Kajian ini mendapati Budaya-rakyat Melayu tidak mempunyai imej yang kuat dan jelas berbanding aspek-aspek budaya yang berakar dari pengaruh Islam. Ini kerana Budaya-rakyat Melayu berpecah-belah mengikut suku-kaum yang dikategorikan sebagai ‘Orang Melayu’ itu. Di samping itu, Budaya-rakyat Melayu berpecah-belah mengikut negeri. Setiap suku-kaum yang menjadi anggota ‘Orang Melayu’ dan rakyat negeri itu berusaha mempertahankan aspek-aspek budaya yang menjadi asas jati diri masing-masing. Tindakan ini dengan sendirinya menyebabkan tidak ada kesatuan imej budaya Melayu yang padu dan mantap.

Budaya-rakyat Melayu ialah ia tidak begitu berkembang sendiri di kalangan masyarakat Melayu. Ini berbeza daripada aspek-aspek budaya pengaruh Islam. Malah, terdapat banyak aspek Budaya-rakyat Melayu telah dihapuskan oleh mereka sendiri seperti Mandi Safar Melaka dan Hari Kaul di Johor. Pada hari ini hanya terdapat dua pesta rakyat dalam kalangan Melayu yang masih dijalankan iaitu Puja Umur di Kota Bharu, Kelantan, dan Main Pantai di Kuala Terengganu. Kedua-duanya dimasukkan dalam kalendar acara pelancongan negeri dan nasional. Kegiatan-kegiatan tersebut ditaja oleh pihak kerajaan.

Sebaliknya, aspek-aspek budaya yang berakar daripada pengaruh Islam berkembang sendiri dalam masyarakat, ia dilestarikan secara dalaman kerana merupakan berkait rapat dengan amalan keagamaan.

Di samping itu, satu lagi ciri-ciri budaya Melayu ialah pada asalnya ia berada di luar legaran pelancong. Destinasi utama pelancongan Malaysia adalah di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Georgetown (Pulau Pinang) dan bandar Melaka. Sebaliknya, aspek-aspek budaya Melayu berkembang di luar bandar. Ini dengan sendirinya dapat menggambarkan aspek-aspek budaya tidak berada secara natural (semula jadi) dalam legaran pelancong

Kedua-dua ciri budaya Melayu ini mencorak produk budaya Melayu dalam sektor pelancongan. Ciri-ciri tersebut menentukan darjah keberadaan produk budaya Melayu dalam sektor industri pelancongan.

Keberadaan/Kehadiran Produk Budaya Melayu Dalam Legaran Pelancong
Legaran pelancong (tourist circuit) bermaksud tempat kunjungan utama para pelancong. Sekiranya diasaskan kepada jumlah pelancong mengikut destinasi maka dapat dirumuskan bahawa legaran pelancong utama di Malaysia adalah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, bandar Melaka dan Genting Highlands. Ini kerana di tempat-tempat tersebutlahjumlah kunjungan pelancong, baik pelancong antarabangsa mahupun pelancong domestik, paling besar.

Berbeza daripada aspek-aspek budaya Cina dan Hindu, jumlah dan kualiti produk budaya Melayu dalam Legaran pelancong agak terhad. Aspek-aspek budaya Cina benar-benar berada di dalam legaran pelancong kerana mereka bermastautin dan menguasai ruang perbandaran hampir di seluruh negara. Sebaliknya, hampir tidak ada aspek budaya Melayu yang berada secara semulajadi (natural) di dalam legaran pelancong. Ini kerana orang Melayu sejak zaman berzaman bermastautin di luar bandar.

Sehubungan itu, budaya Melayu tidak mempunyai budaya dibelakang tabir (street-culture) di bandar. Ini berbeza daripada aspek budaya Cina yang mempunyai Chinatown di Petaling Street, seluruh Georgetown dan Jonker Street Melaka. Ini juga berbeza daripada aspek budaya orang India yang mempunyai Little India di Chulia Street (Georgetown) dan Jalan Masjid India di Kuala Lumpur. Budaya-di belakang tabir dalam kalangan orang Melayu adalah di kampung dan petempatan nelayan.

Aspek-aspek budaya Melayu tidak mempunyai akar tunjang peradaban yang kuat. Sebahagian besarnya adalah implikasi daripada modenisasi. Kedudukan aspek-aspek budaya Melayu dalam pelancongan adalah bersifat product-base iaitu memasuki pasaran tidaklah secara organik atau secara natural berasaskan kekuatan produk itu sendiri, tetapi dibangunkan atau “dibawa masuk” oleh pihak Kerajaan.

Hasil daripada penelitian terhadap sumber-sumber rasmi dan tidak-rasmi, dan juga pengamatan lapangan (field observations), dapat disimpulkan bahawa secara keseluruhannya produk budaya Melayu dapat hadir dalam pelancongan adalah melalui saluran-saluran berikut:

I.Melalui penonjolan imej-imej budaya Melayu dalam bahan-bahan promosi pelancongan
II.Di pentas persembahan iaitu umumnya berupa produk yang dikategorikan sebagai produk budaya yang intangible seperti persembahan seni budaya dan permainan rakyat warisan masyarakat-masyarakat, pesta, dewan dan Gelanggang Seni; dianjurkan oleh pelbagai pihak, terutamanya oleh agensi-agensi pemerintah
III.Di gerai-gerai penjualan dan pameran dan muzium etonologi—ini umumnya produk yang dikategorikan sebagai produk budaya yang tangible seperti kraf
IV.Kehidupan harian masyarakat setempat—lazimnya di petempatan kampung dan nelayan yang dikunjungi oleh para pelancong.

Inilah empat saluran kemasukan aspek-aspek budaya Melayu dalam pelancongan. Di antara saluran-saluran ini, hasil tinjauan yang telah dilakukan didapati penglibatan produk budaya dalam pelancongan di Semenanjung Malaysia adalah paling banyak berlaku melalui penonjolan imej-imej budaya Melayu dalam bahan-bahan promosi pelancongan berbanding dengan pementasan dan penjualan kraf yang sebenar. Sebagaimana dijelaskan di pelbagai bahagian dalam kajian ini, keberadaan aspek-aspek budaya Melayu dalam pengertian adalah masih pada darjah yang rendah. Kebanyakan adalah indah khabar daripada rupa.

Pesta-rakyat (folk-festivals) Melayu
Daripada tinjauan yang dilakukan didapati pada hari ini terdapat hanya dua pesta rakyat yang benar-benar dianjurkan secara konsisten iaitu Puja Umur di Kota Bharu dan Main Pantai di Kuala Terengganu. Puja Umur di Kota Bharu, disebutkan juga “Hari Januari” (walaupun sekarang diadakan pada bulan Mei) adalah pesta meraikan hari keputeraan sultan Kelantan. Pelbagai acara budaya diadakan, termasuk pesta perahu, persembahan seni budaya dan sukan rakyat. Acara budaya termasuk persembahan mak yong, wayang kulit, paluan rebana dan kertuk. Pesta ini mempunyai sejarah yang panjang, telah dianjurkan sejak sebelum abad ke-19. Ia mempunyai hubungan dengan sejarah Kerajaan Patani lama. Misalnya, dalam catatan Niehoff dan Moorman (1993) dinyatakan “The queen of Patane invited the King of Pahang to a most sumptuous feast, where she diverted him with several Indian women dances. Whenever she went abroad to take the air, (which indeed happened but seldom) she was mounted on a very fine elephant, and attended by 2,000 nobles and great officers. Before they returned, she gave them always a splendid entertainment, and so came with the same cavalcade back to her court” (Sheehan, 1934).

Sejak dari awal lagi ia adalah suatu acara rasmi yang dinaungi oleh pihak kerajaan. Pada zaman lampau penaungnya adalah pihak istana, Pada hari ini pihak penaungnya adalah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Kementerian Pelancongan dan agensi-agensi Kerajaan Negeri.

Main Pantai diadakan di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu. Ia berupa pesta masyarakat tani tempatan; lazimnya diadakan pada bulan Mei setiap tahun. Ia diadakan selama tiga hari tiga malam. Orang-orang kampung seluruh negeri tersebut datang ke pantai tersebut membina bangsal. Mereka berpesta dengan berkelah, mandi dan mengadakan persembahan seni-budaya. Ia diadakan pada musim selepas menuai padi. Pada sebelah malam suasana menjadi meriah dan warna-warni. Pesta ini boleh digolongkan sebagai “pesta komunal.” Ia diadakan oleh masyarakat tani. Sejak tahun 1970-an Kerajaan Negeri telah mengambil peranan sebagai pihak penganjur, dan menjadikannya pesta rasmi negeri.

Kedua-dua pesta ini terus diadakan sehingga ke hari ini dan dimasukkan dalam kalendar acara pelancongan negeri dan nasional. Ia ditaja oleh pihak Kerajaan dan dianggap acara rasmi Kerajaan-Kerajaan berkenaan. Kedua-dua pesta tersebut sentiasa menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara.

Tidak dinafikan bahawa terdapat Pesta Adat Perpateh di Negeri Sembilan yang diadakan setiap tahun. Walau bagaimanapun, acara tersebut agak terbatas dalam kalangan masyarakat Minangkabau khususnya di Negeri Sembilan. Di Melaka acara itu iaitu Mandi Safar dan juga Hari Kaul di Johor telah diharamkan oleh kerajaan-kerajaan negeri masing-masing sejak awal 1980-an.

Oleh itu, produk budaya Melayu hampir kekosongan Pesta-rakyat. Pesta-pesta yang diadakan dalam program penggalakan pelancongan pada hari ini adalah ciptaan baru oleh para pereka seni yang mengambil pelbagai unsur dari dalam dan luar budaya Melayu.

Kraf
Penawaran kraf Melayu dalam pelancongan adalah seperti Jadual 1. Jadual 1 menunjukkan item-item kraf Melayu dan tempat-tempat menjual, mempamer dan mengeluarkannya pada hari ini. Keterangan yang diberikan dalam kajian ini tidaklah menyeluruh tetapi keterangan dalam Jadual tersebut dapat membayangkan bahawa, sebagaimana aspek-aspek lain, kraf dalam kalangan masyarakat peribumi sendiri tidaklah seragam. Masing-masing berakar daripada warisan kelompok sub-dialek (atau sub-etnik) negeri masing-masing.


Menurut Anwar (2008), secara amnya item-item kraf Melayu berkembang dalam tiga jalur utama iaitu 1) folksgoods yang diberi nilai-tambah, 2) replika court-goods, dan 3) kraf komersil. Ketiga-tiga jaluran ini kraf Melayu tidaklah mempunyai reputasi yang begitu tinggi dan berkedudukan begitu kukuh berbanding dengan kraf dari kaum Cina, India, Eropah, Thailand dan negara luar lainnya. Malah tidak begitu authentic berbanding dengan kraf suku-kaum di Sabah dan Sarawak.

Tidak kukuhnya kraf Melayu itu adalah kerana ia tidak mempunyai religion-goods iaitu kraf yang bertunjang daripada amalan agama atau unsur-unsur ritual. Malah banyak pihak beranggapan bahawa ajaran Islam tidak menggalakkan penciptaan makhluk bernyawa, apatah lagi yang mengandungi unsur-unsur ritual. Ciptaan begini adalah diharamkan sama sekali. Sebahagian besarnya adalah terdiri daripada folkgoods. Di samping itu, seperti telah dinyatakan, kraf Melayu bukanlah satu jenis, sebaliknya, berpolarisasi mengikut negeri dan suku-kaum dan sekali gus menyebabkan kraf Melayu tidak mempunyai kesepaduan imej yang kuat.

Folkgoods di sini dirujuk sebagai kraf yang berasal daripada barangan kegunaan seharian yang bersifat utilitarian dalam masyarakat pra-industri, iaitu pada asalnya tidak dimaksudkan untuk dijual dan diapresiasikan sebagai karya seni, tetapi telah ‘dijadikan’ karya seni selepas diberikan nilai-tambah. Antara kraf tersebut ialah anyaman, raga, tikar, terendak, perangkap burung dan perangkap ikan (seperti bubu dan tuai) serta peralatan kegunaan dalam rumah seperti cerana (bekas sireh dan pinang), pisau dan parang. Barangan ini dimasukkan dalam pasaran sebagai barangan komersil.

Terdapat kraf Melayu yang terdiri daripada court-goods iaitu barangan yang berasal dari istana tetapi direplikakan untuk dijual dalam pasaran pelancong. Ini termasuk keris, lembing, tombak, badek, barangan perhiasan wanita, seni tekap dan sulaman, kain songket dan kain cindai. Barangan ini diberikan nilai-tambah untuk menerbitkan “pseudo-antik” yang melambangkan kebesaran martabat bangsa Melayu. Barangan tersebut dikeluarkan secara besar-besaran (mass-production).

Kraf komersil adalah barangan yang dikeluarkan dengan tujuan sejak awal lagi untuk dijual. Antara barangan berkenaan, selain daripada bentuk tiruan “pseudo-antik” itu, adalah terdiri daripada batik, perhiasan dinding (decorative arts), hasil pertukangan kayu dan logam. Pengeluaran barangan dari jalur ini berkembang seiringan dengan perkembangan modenisasi yang dibawa oleh kolonialisme. Item-itemnya begitu pelbagai, termasuk alat senjata, alat muzik dan watak wayang. Pada masa kontemporari,
item-item meliputi juga rekplika pelbagai imej seperti bangunan, rumah, kereta lembu, kereta dan flora serta fauna. Dari jaluran inilah juga terbitnya kraf-pelancong, ole-ole dan kraf-hadiah dalam kalangan orang Melayu.

Kraf Melayu pada hari ini adalah “by-product” dari modenisasi dan kedudukannya dalam pelancongan adalah bersifat “product-base” iaitu memasuki pasaran tidaklah secara organik, iaitu tidak secara natural dari kekuatan produk itu sendiri, tetapi dibangunkan dan “dibawa masuk” oleh pihak Kerajaan.

Tidaklah dapat dinafikan bahawa barang-barang tempatan (folkgoods) Melayu mempunyai pasaran. Walau bagaimanapun, dari kaca mata pelancong ia hanyalah “bahan etnografi sesuatu komuniti” yang agak baru, bukannya bersifat barangan antik yang benar-benar unik dan eksotik sehingga dapat mendorong pelawat datang ke sesebuah tempat kerananya iaitu kerana ingin membeli atau menghayati semata-mata. Para pembicara atau peminat budaya Melayu sering mengangkat martabat seni budaya Melayu itu. Walau bagaimanapun, sama ada secara sedar atau tidak sedar, mereka mengkui pula bahawa kraf orang Melayu adalah hasil bersifat utilitarian iaitu dicipta hanya untuk kegunaan semasa, bukannya suatu karya seni yang ulung atau klasik. Misalnya, sebuah rencana (tidak menyatakan nama penulisnya) dalam Hamid (1991) membuat ulasan “Tidak siapa menyangka hasil kraf tangan seperti anyaman, tenunan, mengecat batik dan ukiran yang dahulunya cuma menjadi kerja untuk mengisi masa
lapang, dan biasanya dibuat untuk kegunaan sendiri sahaja, kini boleh menjadi satu sumber pendapatan yang lumayan.” Kenyataan seperti ini adalah mengelirukan kerana adalah silap untuk menganggap tenunan, seperti songket, sebagai cuma menjadi kerja untuk mengisi masa lapang kerana dalam masyarakat tradisional ia adalah pakaian istana. Tetapi kenyataan seperti ini dapat membayangkan banyak pengkaji mengakui kraf Melayu secara amnya bukanlah bertaraf klasik.

Dalam pada itu, sebahagian besar kraf Melayu-atau yang dikeluarkan oleh orang Melayu-terutamanya kraf-pelancong (tourist-crafts) dalam Legaran pelancong adalah bersifat “pseudo-tradisionalisme” iaitu sekadar menempelkan imej tradisional secara sewenang-wenangnya serta bahan yang digunakan adalah bahan masa kini yang sebahagian besarnya bukanlah bahan berkualiti tinggi. Sebahagian besarnya tidaklah menonjolkan imej seni-reka bercirikan tradisional Melayu dalam pengertian yang sebenar sebaliknya menzahirkan imej-imej kontemporari. Antara contoh-contoh imej yang dizahirkan itu ialah model motosikal dari kayu, imej Menara Berkembar Petronas (KLCC), menara Kuala Lumpur, jambatan Pulau Pinang dan Bangunan Pentadbiran Putrajaya dijadikan motif pada ukiran logam, kepingan kayu dan kanvas. Di samping itu, terdapat sesetengah kraf yang dianggap kraf Melayu sebenarnya adalah barangan yang diimport dari Indonesia, Thailand dan Filipina. Para pelancong asing dan juga pelancong domestik sering terkeliru (atau dikelirukan oleh para penjual) untuk beranggapan barangan import dari negara-negara jiran itu sebagai kraf Melayu.

Ini berbeza daripada kraf bumiputera Sabah dan Sarawak yang mempunyai reputasi lebih tinggi secara bandingannya dengan kraf Melayu. Ini kerana dari kaca mata pelancong, baik pelancong antarabangsa mahupun domestik dari Semenanjung, bahan-bahan kraf suku-kaum tersebut seperti alat muzik, arca, ukiran, manek, kraf laut dan gelang dianggap mempunyai keunikan serta dianggap bahan etnografi kelompok “masyarakat peribumi yang asli atau tulen.” Ini kerana kedudukan mereka di luar lingkaran arus modeniti perdana — sering disebutkan off-beaten tracks — menjadikan kraf mereka dianggap eksotik dan menkagumkan. Dalam pada itu, suku-kaum berkenaan dilihat mempunyai hubungan dengan amalan ritual serta masih mempertahankan sifat asli kraf mereka kerana belum mengalami modenisasi yang menyeluruh dan mendalam. Sebagaimana ditunjukkan dalam Jadual 1 di atas antara tempat-tempat menjual dan mempamerkan kraf di Sabah ialah Wisma Budaya (Kota Kinabalu) dan Pasar Tamu, gerai dan galeri di seluruh tersebut. Manakala di Sarawak di Kampung Budaya Kuching dan Pasar Tamu, gerai dan galeri di seluruh Sarawak. Alat promosi pelancongan sering mengiklankan “various Pekan Tamus and also the Sunday Open Market a vast variety of handicraft items are available in Kuching and Kota Kinabalu, including woodcarvings, beadwork, bamboo and rattan products, and woven cloth, hats, baskets, sleeping mats and pottery, all created in the distinctive designs peculiar to each ethnic group.”

Alat senjata dalam kalangan suku-kaum Sarawak ialah parang Sarawak dan sumpit. Dalam kalangan Orang Asli sumpit. Alat muzik Melayu yang dijual atau dipamerkan ialah serunai (dari Kelantan), kompang dan rebana. Alat muzik suku-kaum di Sarawak ialah sepai. Alat-alat tersebut ada dalam bentuk boleh digunakan dan dalam bentuk model.

Sebagaimana ditunjukkan dalam Jadual 1 di atas, terdapat beberapa tempat yang menjual dan mempamerkan kraf Orang Asli. Antaranya ialah Muzium Orang Asli di Gombak, perkampungan Meh Meri di Pulau Carrie (Selangor), beberapa gerai di Pasaran Seni (CM Kuala Lumpur), gerai di perhentian Ipoh lebuhraya Utara-Selatan PLUS, dan di tepi jalan ke Cameron Highlands. Item-item mereka terdiri daripada sumpit, akar kayu, ukiran kayu dan arca kayu (khusus dalam kalangan kelompok Mah Meri di Pulau Carrie). Kraf Orang Asli lebih tinggi reputasinya berbanding dengan kraf folkgoods Melayu. Kedudukannya lebih kurang sama dengan kraf suku-kaum di Sabah dan Sarawak, iaitu dianggap oleh para pelancong antarabangsa dan domestik sebagai karya yang mempunyai keunikan dan masih mempertahankan sifat authencity (keasliahan) asalnya. Selain daripada folkgoods, sebagaimana telah dibayangkan sebahagian daripadanya adalah religion-goods atau bahan ritual. Dari kaca mata pelancong, khususnya pelancong antarabangsa, kraf komuniti-komuniti berkenaan dianggap bahan etnografik kelompok masyarakat “primitif yang semakin pupus.” Sama seperti kraf suku-kaum di Sabah dan Sarawak, lokasi petempatan mereka yang jauh dari keadaan modenisasi, di luar lingkaran arus modeniti perdana yang sering disebutkan off-beaten tracks, menjadikan kraf mereka dianggap eksotik dan menkagumkan.

Batik
Tidak dinafikan bahawa terdapat kraf Melayu yang mempunyai reputasi dan memasuki Legaran pelancong secara natural iaitu menjadi komoditi secara organik. Antara kraf tersebut ialah batik, songket, kraf perak dan tembaga, wau, watak wayang kulit dan ukiran kayu. Umumnya kraf tersebut adalah dari Kelantan dan Terengganu. Sejak zaman berzaman sememangnya batik serta kraf perak dan tembaga di negeri-negeri tersebut dikeluarkan untuk tujuan komersil.

Dalam pelancongan, batik menjadi pakaian kegemaran pelawat antarabangsa baik dari Barat mahupun dari Timur dengan menganggapnya sebagai “pakaian pantai” sejak dekad 1960-an (Arney 1987). Selain dalam bentuk pakaian, batik dijadikan sapu tangan, skaf dan beg. Sejak 1960-an batik telah memasuki pasaraya besar di bandar-bandar utama misalnya, di Kuala Lumpur, sejak itu di Robinson’s Shopping Centre terdapat kedai Osha Batik yang menjual batik dan songket Melayu (Din, 1989). Di samping itu, sejak awal dekad 1970-an, batik Kelantan telah dijadikan pakaian seragam kakitangan syarikat penerbangan nasional, MAS. Ia juga sering diperagakan dalam pertunjukan fesyen, dan menjadi media penyampaian dalam lukisan dan catan sejak akhir dekad 1950-an.

Batik menjadi corak pakaian kebangsaan. Sejak awal 1970-an sudah ada arahan pihak Kerajaan supaya memakai batik sebagai pakaian casual untuk majlis rasmi sebagai pilihan kepada pakaian Barat iaitu kot. Pada hari ini kakitangan kerajaan digalakkan memakai batik pada hari Khamis, lanjutan dari seruan Perdana Menteri sejak pertengahan tahun 2004. Dalam keadaan itu, batik masih kekal dengan imej pakaian “beach-attire” khususnya dalam kalangan backpackers. MAKANAN MELAYU

Makanan Melayu bukanlah satu jenis. Ini membayangkan masyarakat Melayu sendiri adalah berpolarisasi mengikut negeri dan suku-kaum. Antara masakan Melayu yang wujud dalam legaran pelancong adalah seperti Jadual 2. Sebahagian daripada masakan Melayu itu adalah berakar dari Indonesia, misalnya gulai cili api adalah dari Minang dan lontong dan satay dari Jawa.


Kepelbagaian ini sekali gus menunjukkan tidak ada masakan yang boleh mewakili masakan Melayu — suatu senario yang berbeza daripada masakan Cina, India, Siam dan lain-lainnya. Makanan yang bersifat umum dalam kalangan orang Melayu ialah nasi lemak, nasi ayam, mee goreng, nasi goreng, pisang goreng dan sambal belacan. Selain sambal belacan, makanan Melayu yang dikongsi bersama itu adalah inovasi masa kini dari pengaruh luar.

Pada hari ini, boleh dikatakan setiap hotel dan resort besar menghidangkan juga masakan Melayu. Senario ini telah wujud lebih daripada dua dekad yang lalu tetapi menjadi agak ketara pada pertengahan 1980-an khususnya selepas Pesta Malaysia 1987. Antara jenis-jenis masakan tipikal yang diklasifikasikan sebagai masakan Melayu oleh pihak pengurusan hotel pada hari ini adalah seperti Jadual 3.


Selain nasi dagang, nasi kerabu, laksa kedah-perlis, laksa penang, budu, cincaluk dan sambal belacan, masakan Melayu agak sinonim dengan masakan masyarakat serantau Asia Tenggara terutamanya Indonesia dan Thailand. Misalnya rendang dendeng adalah dari Indonesia. Tomyam berasal dari masakan Siam. Selain itu, masakan Melayu juga mempunyai pelbagai pengaruh masakan luar negara. Misalnya mee dan kuih jala adalah berasal dari masakan Cina, gulai kari dari India selatan, dan kurma dari Arab atau India-Utara. Terdapat makanan yang bukannya berasal dari orang Melayu tetapi disenaraikan sebagai makanan Melayu seperti papadum, gulai kari ayam-ikan, masak berempah (ayam atau daging) dan murtabak ayam.

Secara keseluruhannya, masakan tradisional Melayu tidaklah dianggap benar-benar unik dan mempunyai daya kekuatan sehingga dapat menjadi hidangan pilihan sehingga dapat menggantikan masakan Barat, Cina dan India. Masakan Melayu hanyalah pelengkap dan niche pasarannya agak terbatas iaitu hanya dalam kalangan masyarakat Melayu. Secara bandingannya makanan Cina mempunyai kedudukan yang cukup mantap dan mempunyai reputasi cukup tinggi dalam pelancongan Malaysia sejak zaman berzaman; sejak zaman wujudnya perkhidmatan pelancongan di negara ini lagi. Hampir kesemua jenis masakan Cina di Malaysia berakar umbi dari Tanah Besar Negara China termasuk dari Canton, Szechuan, Hakka, dan Beijing (Peking). Masakan Cina dianggap authentic kerana akar umbinya itu. Akar umbi dari Tanah Besar Negara China itu diiklankan sebagai suatu “niche” daya tarikan yang utama.

Sebahagian daripadanya mempunyai rangkaian restoran di peringkat nasional dan antarabangsa. Misalnya, Berjaya Group mempunyai berpuluh-puluh rangkaian restoran. Palace of the Golden Horses mempunyai rangkaian dengan Restoran Calvalim, Restoran Kim Ma Contonese, Restoran Kin No Uma dan Restoran Corousel (Portal Rasmi Palace of the Golden Horses, 2022). Restoran Kim Ma Contonese, selari dengan namanya, menyajikan masakan bersama herba tradisional Cina yang disediakan oleh Chef Wong. Restoran Kin No Uma menyajikan masakan Jepun. Hanya Restoran Corousel menyediakan pelbagai masakan termasuk masakan Melayu seperti ayam kuzi Johor, puri goreng dengan dhal dan kari ayam, dan rendang dendeng. Masakan Melayu itu pun tidaklah sepenuhnya Melayu. Sebagaimana telah di ketahui umum, kari adalah asas masakan orang India, dan rendang dendeng masakan dari Indonesia.

Masakan Nyonya adalah kombinasi antara masakan Cina dari Tanah Besar Negara China dengan masakan masyarakat pribumi Nusantara (Indonesia dan Malaysia). Masakan Cina peranakan ini berada kukuh dalam pelancongan Malaysia. Ia disediakan di restoran khas, eksekutif dan juga di hotel ternama. Adakalanya masakan Cina Nyonya ini disebutkan sebagai “masyarakat tempatan.” Antara jenis-jenisnya yang terkenal ialah achar, sambal, sup itik dengan jeruk sayur-sayuran, jantung pisang, ketam masak lemak, devil kari (iaitu masakan ayam berempah yang berasal dari masakan Portugis). Kueh masyarakat Nyonya adalah seperti kueh koci, loh bak dan roti jala. Antara jenis masakan komuniti ini yang terkenal di hotel ialah Enche Kabin dan Curry Kapitan.

Masakan Melayu juga tidak dapat bersaing dengan makanan India. Kedai mamak dan nasi kandar merupakan ikon masakan masyarakat tersebut.

Berdasarkan kajian lapangan didapati penglabelan masakan Melayu adalah dilakukan oleh pihak pengurusan sesebuah hotel atau restoran berkenaan. Merekalah yang mencorak jenis dan juga rasa (taste) sesuatu masakan itu sebagai masakan Melayu. Orang Melayu dapat mengenali masakan Melayu itu dengan mudah. Walau bagaimanapun, dalam kalangan pelancong asing masakan Melayu itu dikenali hanya kerana diletakkan label “Malay Dishes.” Secara keseluruhannya, masakan tradisional Melayu tidaklah dianggap benar-benar unik dan mempunyai daya kekuatan sehingga dapat menjadi hidangan pilihan bagi menggantikan masakan Barat, Cina dan India. Masakan Melayu, kecuali satay, hanyalah pelengkap kepada makanan asing itu, dan niche pasarannya agak terbatas iaitu hanya dalam kalangan masyarakat Melayu.

Seni Persembahan
Antara seni persembahan Melayu adalah terdiri daripada tarian, nyanyian dan muzik tradisional Melayu. Sebagaimana akan dijelaskan, walaupun seni persembahan begitu banyak tetapi ia berpolarisasi mengikut kumpulan-kumpulan suku-kaum Melayu dan negeri. Ini menyebabkan tidak wujud kesatuan imej seni persembahan Melayu yang kuat. Di samping itu, program dan aktiviti seni persembahan adalah agak terbatas. Berdasarkan kajian lapangan yang dijalankan program dan aktiviti persembahan Melayu tidaklah seperti diuar-uarkan dalam bahan-bahan promosi pelancongan dan media-massa umum. Senario seni persembahan Melayu dapat dianalisiskan pada situasi ia diadakan dan tempat (venues) ia dijalankan sepertimana berikut:

Situasi Diadakan Seni Persembahan Melayu
Kajian ini mendapati persembahan seni-budaya Melayu tidaklah diadakan secara regular. Sebaliknya, ia diadakan dalam situasi-situasi tertentu (occasional). Berdasarkan kajian yang telah dilakukan didapati kehadiran seni persembahan Melayu dalam pelancongan hanya dalam situasi-situasi seperti berikut:

I. Kumpulan penari, penyanyi dan pemuzik berunsur tradisional yang dibawa oleh delegasi Tourism Malaysia (LPPM) keluar negara untuk mempromosi pelancong antarabangsa
II. Persembahan di terminal-terminal lapangan terbang, pelabuhan, stesen bas dan kereta api untuk menyambut kedatangan pelancong antarabangsa pada sesuatu musim penggalakan pelancong
III. Persembahan budaya di Majlis Makan Malam yang diadakan untuk meraikan tetamu atau delegasi pembesar dari luar dan dalam negara
IV. Persembahan budaya pada musim pesta tertentu seperti Citrawarna Malaysia (sebelum tahun 1999 dinamakan Warna-warna Malaysia), semasa Perarakan Hari Memperingati Kemerdekaan, hari keputeraan diraja dan Pesta Pulau Pinang
V. Pertandingan seni budaya seperti Pesta Tarian dan Pesta Lagu Asli
VI. Aktiviti pendidikan seni di pusat pendidikan termasuk di sekolah, maktab dan universiti
VII. Program kesenian di Gelanggang Seni di Kota Bharu, Kelantan
VIII. Acara selitan dalam persembahan di Cultural Village Kuching Sarawak
IX. Pesta-pesta folk-festivals iaitu Pesta Puja Umur di Kelantan dan Pesta Main Pantai di Terengganu

Senarai di atas tidaklah lengkap tetapi ia dapat memberi sedikit sebanyak gambaran bahawa persembahan seni budaya Melayu bukanlah sesuatu yang diamalkan dalam kehidupan harian, dan ia tidaklah diadakan secara berterusan. Kajian ini mendapati sangat sukar untuk menonton seni persembahan Melayu. Didapati hanya di Kota Bharu (Kelantan) diadakan kegiatan seni persembahan Melayu iaitu di Gelanggang Seni. Di samping itu, persembahan seni-budaya diadakan juga di Cultural Village Kuching. Ia diselit dalam pelbagai persembahan budaya masyarakat peribumi Sarawak.

Sebenarnya, keterbatasan mengadakan seni persembahan itu tidaklah hanya terbatas pada seni persembahan Melayu kerana ini dialami juga oleh kaum-kaum lain. Secara keseluruhannya, di Malaysia tidak ada tempat yang mengadakan persembahan seni persembahan secara regular bagi kesemua kaum.

Tempat-tempat Diadakan Seni Persembahan Melayu
Walaupun pelbagai pihak menguar-uarkan keunikan aspek-aspek budaya Melayu sebagai daya tarikan pelancong namun kajian ini mendapati tempat-tempat mengadakan seni persembahan Melayu sangat terbatas. Dengan perkataan lain, seni persembahan Melayu seperti tarian, nyanyian dan muzik tradisional bukanlah sesuatu yang boleh ditonton di mana-mana atau pada bila-bila masa.

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan didapati tempat-tempat (venues) yang mengadakan persembahan seni budaya Melayu secara agak regular bagi tujuan mempersembahkan kepada pelancongan pada hari ini adalah seperti berikut:

I.Cultural Village Kuching Sarawak: yang mengadakan persembahan seni budaya tempatan dan juga seni budaya Malaysia amnya termasuk budaya Melayu sebanyak dua hingga empat kali sehari
II.Gelanggang Seni Kota Bharu: yang mengadakan persembahan wayang kulit, dikir barat, mak yong, rebana ubi dan kertuk, permainan rakyat seperti gasing, silat, dan mendemonstrasikan cara membuat wau, batik dan kraf lain mengikut jadual mingguannya
III.Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur (sejak tahun 2003): yang mengadakan persembahan tarian dan nyanyian Melayu tradisional untuk pelanggan restoran berkenaan pada waktu malam
IV.Pusat Penerangan Pelancong di Kuala Lumpur (MATIC): yang mengadakan persembahan tarian, nyanyian dan muzik tradisional, dan teater tradisional dan moden
V.Di rumah tradisional berhampiran Makam Mahsuri di Langkawi: terdapat sekumpulan orang-orang tua menyanyikan lagu tradisional tempatan apabila ada pelawat mengunjungi rumah itu
VI.Istana Budaya (Kuala Lumpur): dianggap tempat persembahan kesenian yang mencapai mutu cemerlang, mengadakan persembahan tarian, nyanyian, muzik dan teater tradisional
VII.Pengkalan Budaya di Kuala Terengganu: mengadakan persembahan tradisional seperti Ulek Mayang, rodat, joget dan muzik seperti rebab, gamelan dan rebana, dan silat serta permainan gasing

Selain tempat-tempat di atas, amat sukar ditemui tempat (venues) yang mengadakan persembahan seni budaya Melayu. Ketiadaan tempat ini menyebabkan aspek-aspek budaya dalam kehidupan seharian tidak dapat dipersembahkan. Dalam pada itu, harus ditekankan bahawa dalam senarai di atas hanya segelintir yang benar-benar aktif mengadakan persembahan secara regular. Antaranya ialah Gelanggan Seni di Kota Bharu, Cultural Village di Kuching, Sarawak, MATIC (Kuala Lumpur) dan di rumah tradisional yang dibina berhampiran Makam Mahsuri (di Langkawi). Selanjutnya, harus ditegaskan bahawa persembahan-persembahan seni budaya masih diadakan dalam kehidupan seharian terutamanya di kampung-kampung dan bandar-bandar kecil. Misalnya, di Kelantan masih terdapat orang perseorangan, pihak-pihak persendirian dan pertubuhan-pertubuhan bukan-kerajaan yang menganjurkan persembahan seni budaya untuk khalayak ramai. Ini termasuk persembahan dikir barat, silat jatuh, wayang kulit, paluan gendang ubi, kertuk dan selampit. Persembahan-persembahan ini diadakan di kampung-kampung.

Selain daripada itu, persembahan mak yong dan main peteri juga diadakan di tempat-tempat tertentu seperti pada musim Pesta Puja Umur. Persembahan-persembahan ini diadakan juga di Gelanggang Seni, Kota Bharu. Selain aspek-aspek kesenian dalam bentuk persembahan, dalam masyarakat kampung Kelantan masih mempunyai permainan rakyat seperti main gasing, congkak, wau.

Di Terengganu, masih terdapat persembahan ulek mayang dalam kalangan masyarakat nelayan di sekitar Marang, Dungun dan Cukai (Kemaman). Persembahan seni budaya juga diadakan di negeri-negeri lain walaupun secara kecil-kecilan. Di Negeri Sembilan, terdapat Pesta Adat Perpatih yang diadakan di Seri Menanti. Di Melaka, masih terdapat kumpulan dondang sayang yang mengadakan persembahan dalam kehidupan seharian. Ia dipersembahkan dalam sesetengah majlis perkahwinan dan pesta di peringkat kampung dan daerah. Di beberapa tempat, seperti di Paya Rambai dan Tanjung Keling, dondang sayang dipersembahkan di warung-warung makan pada waktu malam. Di Johor, masih terdapat persembahan ghazal, kuda kepang, hamdolok di Muar, Batu Pahat dan Pontian. Di Perak masih ada persembahan rodat. Persembahan-persembahan di pelbagai negeri ini dalam majlis-majlis perkahwinan dan pesta-pesta di peringkat kampung dan negeri.

Sebahagian besar kegiatan ini dibangunkan oleh pihak kerajaan pusat dan negeri. Agensi kerajaan pusat yang penting ialah Jabatan Budaya dan Kesenian Negeri, salah satu cawangan KKKPM. Jabatan ini terdapat di setiap negeri.

Persembahan seni budaya juga dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Budaya Negeri (di bawah KKKPM), Pusat Penerangan Pelancong Negeri (TIC), Dewan Bandar Raya, Majlis Perbandaran, Majlis Daerah dan institusi-institusi pendidikan. Persembahan seni budaya Melayu dipulihara oleh agensi-agensi tersebut, terutamanya oleh Jabatan Budaya Negeri, cawangan Bahagian Budaya di Kementerian Seni budaya, Kesenian dan Seni budaya Malaysia di setiap negeri.

Hakikat wujudnya kegiatan persembahan-persembahan budaya dalam kehidupan seharian ini dapat dilihat dalam beberapa siaran televisyen, akhbar dan majalah. Misalnya, dalam televisyen terdapat program Panorama (RTM1), Majalah 3 (TV3). Ia dapat dilihat dalam akhbar seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star, dan New Straits Times.

Walau bagaimanapun, seperti mana telah dijelaskan, tempat-tempat diadakan program persembahan Melayu itu tidaklah benar-benar berada dalam legaran pelancong. Para pelawat harus pergi ke tempat-tempat tersebut dengan pelbagai kenderaan pengangkutan.

Muzium
Sebahagian besar produk budaya Melayu dapat berada dalam legaran/sektor pelancongan adalah melalui muzium yang dibiayai oleh pihak kerajaan. Ia adalah dalam bentuk pameran artifak tekstil, senjata, perkakas pertanian, perkakas nelayan, pinggan mangkuk dan ukiran. Hubungan artifak-artifak tersebut dalam pelancongan dapat dibayangkan dengan kenyataan bekas Ketua Pengarah Jabatan Muzium dan Antikuiti, Muzium Negara, Buyong (1992):

Bagi memastikan warisan sejarah ini dapat dikekalkan bagi tujuan industri pelancongan maka pihak Jabatan Muzium dan Antikuiti, Muzium Negara, berusaha dengan gigih lagi supaya kesemua muzium sama ada muzium di bawah Jabatan Muzium dan Antikuiti mahupun
muzium negeri dapat mempamerkan warisan sejarah dan budaya melalui artifak dengan lebih menarik. Begitu juga tempat-tempat bersejarah yang berpotensi untuk dijadikan produk pelancongan haruslah dipulihara dengan baik.

Tugas mempromosikan pakej sejarah ini hendaklah dibuat oleh agensi pelancongan. Jabatan Muzium dan Antikuiti hanya dapat menjadi agen pengeluar maklumat mengenai warisan tersebut.

Kenyataan ini menjelaskan bahawa muzium awam bertindak sebagai “provider.” Muzium awam di peringkat negeri dikelolakan oleh agensi Kerajaan Negeri masing-masing seperti perbadanan dan yayasan.

Penglibatan artifak Melayu dalam muzium telah bermula sejak Stamford Raffles mula-mula menubuhkan asas muzium pada awal abad ke-19. Aljunied (2005) mencatatkan muzium pertama adalah di Singapura iaitu Raffles Museum yang dibuka pada 1832. Raffles mengumpulkan kitab, artifak dan bahan-bahan etnografi Melayu. Seterusnya Furquhar dan Crawford mengumpulkan bahan-bahan sejarah tempatan dan menyimpannya di Government House dan kemudiaannya menghantar bahan-bahan tersebut ke Asiatic Society Museum di Calcutta (Gidney, 1908). Orang-orang Eropah umumnya memandang tinggi terhadap unsur-unsur sejarah, budaya dan sastera tempatan. Mereka berusaha mengekalkan peninggalan lama. Misalnya, pada masa pembangunan awal Singapura telah ditemui Batu Bersurat berhampiran Fort Canning dan mereka menyimpan bahan tersebut di Government Building. Kemudian ia dipindahkan ke Asiatic Society Museum di Calcutta (Swettenham 1948: 80). Selain itu, orang Eropah sentiasa mencatatkan tentang objek-objek lama, misalnya, pada tahun 1883 Price (2002) mencatatkan “The ruins of the Church built by the Portuguese still stand on the top of the steep conical hill.”

Pada hari ini Raffles Museum yang terletak di Stamford Road mengandungi koleksi bahan etnografi, kesenian dan sejarah Asia Tenggara yang cukup unggul (excellent). Dari segi persejarahan, ia mengandungi koleksi lukisan dan gambar (prints) pemandangan Singapura zaman awal sehingga kini. Salinan lukisan dan gambar itu dijual dalam bentuk cenderamata.

Muzium pertama di Negeri-Negeri Melayu dan menjadi agnate (asas) kepada pembangunan muzium di negara ini adalah Muzium Taiping, disebut juga Muzium Perak, dibuka pada tahun 1883 oleh Hugh Low, Resident Perak yang ketiga. Muzium yang kedua terawal ialah Muzium Selangor, dibuka pada 1890-an. Ia merupakan cawangan Muzium Taiping. Muzium Perak dan Selangor itu menjual juga barangan kraf tempatan seperti topi dan bakul mengkuang dari Port Dickson (Harrison, 1911). Sekitar awal abad ke 20, di Kuala Lumpur, Robson (1911) mencatatkan “shopping, the museum, Public Gardens, Golf Links, Government Buildings, Polo Ground, schools, hospitals and so on are all worth visiting when in Kuala Lumpur.” Robson (1911) mencatatkan:

The exhibitions of the both Museums are restricted, with after ethnographical exceptions, to material illustrative of the Malay Peninsula and the small islands off its shore. By an examination of the cases, the visitor may get some idea of the Malay People and the primitive races inhabiting the area mentioned and of its natural history, without the confusion which might be brought about through the introduction of extraneous objects.


Terdapat perbezaan skop pameran antara Muzium Taiping dan Muzium Selangor itu. Skop pameran Muzium Taiping amat luas, meliputi tumbuh-tumbuhan (natural science), mineralogi, geologi, zoologi dan etnografi dari Semenanjung Tanah Melayu dan juga dari luar. Di antara artifak-artifak yang dipamerkan itu adalah berkaitan dengan perkembangan perusahaan perlombongan dan perladangan, dan jentera moden dalam perusahaan-perusahaan berkenaan dari Barat. Artifak-artifak etnografi pula meliputi perkakas kehidupan (seperti alat menangkap ikan dan perangkap binatang), senjata, pakaian, pinggan mangkuk, bahan-bahan pra-sejarah, tekstil, alat senjata, hasil kesenian dan kraftangan masyarakat tradisional tempatan dari seluruh Malaya, terutamanya hasilan orang Melayu dan Orang Asli serta Borneo (Evans, 1923). Menurut Swettenham (1948: 266) “In very early days the Perak Government established at head-quarters a museum of Malayan flora, fauna, minerals, grain, implements, weapons, dress, pottery, artware of all kinds, and, indeed, everything Malayan. The institution was admirably managed by Mr. Leonard Wray, I.S.O., it has proved useful and most instructive to all classes and nationalities, and it will bear comparison with any museum in the East.”

Muzium Taiping mempunyai perpustakaan mengenai sejarah-peradaban rantau Asia, Nusantara dan Negeri-Negeri Melayu. Menurut Evans (1923) “The library is fairly comprehensive, and the majority of books in it can be borrowed under the usual condition.”

Muzium Selangor terletak di Jalan Damansara, iaitu di sekitar tapak Muzium Negara sekarang. Kloss (1923) mencatatkan muzium di Kuala Lumpur itu diasaskan oleh sekumpulan pegawai kolonial, antaranya, Captain Syers, First Commissioner of Police of FMS yang begitu berminat dengan “natural history and ethnology.” Muzium Selangor dinaiktaraf sebagai sebuah jabatan pada 1890-an. Ia menerbitkan Journal of the Federated Malay States Museums yang mengandungi makalah dan gambarajah tentang manusia, zoologi, botani dan geologi Semenanjung Tanah Melayu dan negara-negara jiran. Sejak awal lagi muzium ini dibuka kepada orang ramai dan telah mendapat sambutan baik dalam kalangan pelbagai masyarakat kaum khususnya di sekitar Kuala Lumpur kerana mempamerkan bahan-bahan misteri. Misalnya, Bakar (1984) melaporkan:

Pada minggu yang lalu sibok-lah ia-itu pĕndudok2 bandar ini (sic, Kuala Lumpur) daripada bangsa China, Kĕling, Mĕlayu dan lain2-nya datang mĕlawat di-mana Pĕjabat Muzium di-Damansara Road Kuala Lumpur, kĕrana mĕmenyaksikan ia-itu ikan duyong di-mana tĕlah di-lĕtakkan dalam sahaja-buah almari chĕmin.

Ada-lah duyong yang di-katakan oleh pĕnglihat2 ia-itu badan-nya sakĕrat daripada pinggang sampai ka-kaki-nya bĕrsamaan dĕngan ikan, daripada pinggang ka-atas bĕrsifat sa-orang pĕrĕmpuan tĕtapi tiada boleh bĕr-kata2. Duyong yang ada di-mana muzium ini tĕrsangat-lah jauh bedza-nya daripada yang tĕrsĕbut di-atas tadi, hanya-lah bĕrsamaan jua-lah dĕngan sa-ekor ikan yu rupa-nya.

Ikan duyong ini tiada mĕmpunyai sĕnjata sapĕrti pĕdang di-mana hujong mulut-nya. Konon-nya ikan itu di-pĕroleh di-mana pantai Sĕmĕnanjong ini bĕrhampiran dĕngan tĕmpat bĕrnama Sĕpang (Bakar, 1984)

Semasa Perang Dunia Kedua bangunannya musnah akibat terkena bom yang digugurkan oleh tentera Jepun. Bangunan Muzium Negara seperti yang ada pada hari ini dibuka dengan rasmi pada 31 Ogos 1963 oleh Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Bumbungnya membawa imej Rumah Adat Negeri Sembilan, iaitu cengkung-lendik (sloping) di tengah dan tajam di kedua-dua belah hujung yang diinspirasikan oleh Mubin Sheppard, pengarahnya pada masa itu. Pada dindingnya diukir mural yang menunjukkan imej-imej episod perjalanan sejarah Malaysia. Ia juga menonjolkan imej kesenian dan kraf Malaysia. Bangunannya menelan belanja RM 1.5 juta dan muralnya RM 135 000. Perbelanjaan mural itu adalah dari derma Dato Lee Kong Chian, bekas Canselor University of Singapore.

Selepas merdeka Muzium Selangor itu dinaiktaraf menjadi Muzium Negara. Ia merupakan muzium nasional bagi negara ini sehingga sekarang. Pada awal merdeka hal-ehwal muzium awam di peringkat nasional (Kerajaan Pusat) berada di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Seterusnya, sejak tahun 1986 hal-ehwal muzium dipindahkan ke bawah KKKPM. Selanjutnya, mulai Mac 2004 ia dipindahkan ke bawah KKKWM.

Muzium-muzium awam lain yang ditubuhkan oleh pegawai tadbir British pada zaman kolonial ialah Muzium Sejarah Negeri Melaka yang dibuka secara rasmi pada tahun 1953 oleh General Gerald Templer, dan Muzium Negeri Sembilan juga dibuka pada tahun 1953. Muzium-muzium lain yang dibuka selepas merdeka ialah Muzium Negeri Pulau Pinang, pada awal 1960-an. Muzium-muzium di negeri-negeri lain iaitu Muzium Terengganu, Pahang, Kedah, Johor dan Kelantan dibuka pada awal 1970-an.

Seni Bina
Oleh kerana masyarakat Melayu berpolarisasi mengikut suku-dialek dan negeri maka terdapat begitu banyak jenis seni bina Melayu. Sering kali apabila disebut “seni bina Melayu” timbul persoalan iaitu seni bina yang mana satu boleh dianggap seni bina. Secara keseluruhannya, seni bina yang sering ditonjolkan dalam bahan-bahan promosi pelancongan Malaysia adalah terbahagi kepada empat kategori utama iaitu:

I.Seni bina pribumi Melayu dan Bumiputera lain termasuk rumah-rumah tradisional Melayu dan suku-kaum Sabah, Sarawak dan Orang Asli, dan istana lama
II.Bangunan lama legasi kolonial dan pendatang yang dianggap membawa nilai “bersejarah” seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, A’Famosa, Stadthuys, Menara Condong, kubu Jepun
III.Taman mini ciptaan baru yang khas untuk dipertonton oleh pelawat seperti Taman Mini Malaysia, Taman Mini ASEAN, Taman Budaya Sarawak, Auyin Hill Resort, Tropical Village Resort, Kompleks Budaya Seremban, Kompleks Muzium Negeri Terengganu, dan Muzium/Istana Budaya di Melaka
IV.Sesetengah bangunan premis komponen pelancongan seperti hotel, resort dan taman tema yang diterapkan unsur-unsur estetika tertentu seperti Rasa Sayang Hotel, Tropicale de Colmar, Sunway Piramid, Tanjung Aru Hotel-Resort dan Awana Resort yang menerap unsur-unsur seni bina tertentu
V.Bangunan tinggi seperti Menara Berkembar PETRONAS, Menara KL, Bangunan Telekom (Lembah Pantai) dan KOMTAR Pulau Pinang

Senarai ini membayangkan seni bina Melayu hanyalah salah satu seni bina dalam pelancongan Malaysia. Secara keseluruhannya, unsur-unsur estetika yang terterap pada keempat-empat kategori seni bina tersebut adalah berakar umbi dari tiga sumber utama. Pertama, seni bina pelbagai kaum meliputi seni bina Melayu, Cina, India, Siam, Iban, Kadazan, Murut, Dusun, Orang Asli dan lain-lainnya. Kedua, legasi penjajah Portugis, Belanda, British dan Jepun. Ketiga, pengaruh moden dan ultra-moden dari luar negara.

Senario seperti digambarkan di atas membayangkan tidak ada seni bina lama di Malaysia seunggul seni bina di Indonesia seperti Candi Borobudur, di Thailand seperti Istana Zaman Sukhutai dan Ayuthia dan jauh sekali daripada Taj Mahal di India. Seni bina yang unggul di Malaysia adalah legasi kolonial seperti A’Famosa, Stadthuys, Bangunan Sultan Abdul Samad dan moden serta ultra-moden khususnya yang mencakar langit seperti Menara Berkembar PETRONAS, Menara KL, Bangunan Telekom (Lembah Pantai) dan KOMTAR Pulau Pinang.

Dalam keadaan seumpama itu, terdapat persaingan antara seni bina kumpulan-kumpulan kaum untuk dipertonjolkan dalam pelancongan. Di samping itu, terdapat pula persaingan antara seni bina kumpulan-kumpulan kaum itu dengan bangunan moden dan ultra-moden mencakar langit. Isu-isu berkait dengan pembinaan bangsa berkait dengan persaingan-persaingan tersebut. Huraian berikut memberi tumpuan terhadap seni bina Melayu dan Bumiputera lain, seni bina Cina, seni bina dari India dan bangunan-bangunan moden dan ultra-moden.

Pesta
Kalendar acara diterbitkan oleh Tourism Malaysia dan agensi Kerajaan negeri mengiklankan begitu banyak pesta, acara, karnival dan seni budaya dalam pelancongan Malaysia. Walaupun kegiatan budaya telah ditunjukkan dalam alat promosi DOT sejak awal dekad 1960-an namun fenomena ini ketara sejak KKKPM ditubuhkan pada tahun 1987. Sejak itu, ada saja “produk baru” yang dimasukkan dengan andaian budaya tersebut menarik hati pelancong. Oleh itu, agak sukar ditentukan jumlahnya secara tuntas kerana boleh dikatakan apa saja pesta, acara dan persembahan budaya di negara ini “menunggu masa” untuk ditawarkan sebagai produk pelancongan.

Jumlah penganjuran pesta oleh pihak kerajaan untuk penggalakan pelancongan adalah hampir mencecah 200 acara setiap tahun. Jumlah ini akan bertambah lebih banyak lagi sekiranya dimasukkan kegiatan-kegiatan budaya yang diadakan oleh pelbagai komuniti di peringkat lokal seperti di kampung dan tanah rancangan Felda yang mempunyai kumpulan seperti kuda kepang cempuling-yang ada kalanya turut dimasukkan dalam alat promosi pelancongan itu. Kerajaan Pusat dan Negeri merupakan pihak paling berperanan untuk mewujudkan suasana pesta-pestaan dan karnival sepanjang tahun di negara ini. Sebagaimana dilaporkan dalam Rancangan Malaysia Ke-8 (2000: 468) pihak  Kerajaan berusaha “untuk menarik ramai lagi pelancong supaya tinggal lebih lama, meningkatkan perbelanjaan dan melakukan lawatan ulangan, usaha-usaha akan dipergiat bagi menampilkan Malaysia sebagai destinasi yang menakjubkan yang dipenuhi.

Jadual 4 dengan serta merta menunjukkan pesta Melayu hanyalah salah satu daripada pelbagai jenis pesta di negara ini. Oleh itu, pesta-pesta Melayu harus bersaing dengan pesta orang Cina, India dan kebaratan/moden. Dapat dirumuskan bahawa walaupun jumlahnya begitu banyak namun secara keseluruhannya aktiviti-aktiviti budaya yang ditawarkan dalam pelancongan Malaysia itu boleh diklasifikasikan kepada sekurang-kurangnya empat jalur utama iaitu: 1) upacara ritual agama dan kepercayaan yang dianuti oleh pelbagai kaum, 2) keramaian tradisional (folkfestivals) pelbagai kaum, 3) perayaan rasmi Kerajaan Pusat dan Negeri, dan 4) acara yang diadakan khusus untuk tujuan pelancongan.




Sebagaimana dibayangkan, upacara ritual agama dan keramaian tradisional adalah berbenih daripada unsur-unsur yang menjatidirikan (identiti) sesuatu kaum. Pesta orang Melayu berbenih daripada perayaan agama Islam. Di samping itu, terdapat juga keramaian budaya warisan masyarakat Melayu yang ditawarkan. Ritual kepercayaan dan kebudayaan Cina dan India pula adalah berbenih dari amalan kepercayaan dan tradisi yang berakar umbi daripada peradaban negara asal masing-masing. Dalam kalangan kaum Cina ia berasal dari Tanah Besar Negara China. Manakala dalam kalangan orang India bersifat daripada benua India. Pesta suku-kaum Sabah, Sarawak dan Orang Asli adalah berbenih kepercayaan dan amalan budaya adalah kepercayaan dan amalan tempatan masing-masing.

Konsumsi Produk Budaya Melayu
Salah satu petunjuk paling konkrit secara bandingannya tentang keberadaan sebenar produk budaya Melayu dalam sektor industri pelancongan adalah dengan menilai sejauh manakah ia dikonsumsikan. Walau bagaimanapun, kajian ini tidak dapat menemui maklumat mengenai hal ini. Sejauh diketahui, kajian ini mendapati kajian yang dibuat oleh Omar Din (2006) dapat memberi sedikit-sebanyak data tentang konsumsi produk budaya Melayu.

Seperti mana ditunjukkan dalam Jadual 5, konsumsi budaya adalah berkait dengan aktiviti melihat pemandangan bandaraya/bandar, melihat pemandangan luar bandar dan melawat muzium yang dilakukan oleh pelancong asing. Dalam Jadual 6 pula konsumsi itu adalah berkaitan dengan pembelian kraf tangan, batik, barangan perak, barangan pewter, emas/barangan kemas dan kain songket dalam kalangan pelancongan asing. Di antara item-item tersebut, pembelian kraf tangan dan batik merupakan produk budaya yang paling tinggi dikonsumsikan oleh pelancong antarabangsa.

Harus diingat bahawa perangkaan dalam jadual-jadual tersebut tidak komprehensif kerana kedua-duanya (Jadual 5 dan Jadual 6) tidak memberi data tentang bilangan penonton ke persembahan seni budaya, khalayak di pesta-acara, pengunjung ke kuil Hindu dan kuil Cina dan lain-lain lagi.


Pembelian Kraf
Jadual 7 dapat membayangkan konsumsi atau pembelian kraf dalam pelancongan Malaysia. Kedudukan kraftangan sebagai salah satu item popular dibeli oleh para pelancongan itu merangkakan kraftangan semua kaum dan juga yang dibawa dari luar negara. Sehingga kini masih belum ada kajian tentang jenis-jenis pembelian kraftangan mengikut kaum, keluaran tempatan dan dibawa dari luar.

Tidaklah dapat dinafikan bahawa kraf Melayu mempunyai potensi dalam pelancongan. Pada tahun 2000 Lembaga Kemajuan Kraftangan Malaysia melaporkan pendapatan kraf adalah sebanyak RM 36 juta setahun. Walau bagaimanapun, kraf Melayu sendiri lebih merupakan “product-based” dan pembangunan sektor ini lebih banyak bergantung kepada bantuan kerajaan. Ini kerana kraf Melayu masih belum mampu bersaing dengan kraf kaum Cina, India dan juga dengan yang diimport dari Thailand, Indonesia dan Filipina. Kraf Melayu masih mundur dari segi nilai estetika dan mutu buatannya (buatan dan bahan). Malah, sebagaimana telah dinyatakan, nilai estetika dan kualiti kraf folkgoods Melayu tidak setaraf dengan folkgoods suku-kaum Bumiputera Sarawak dan Sabah. Penglibatan Kerajaan merupakan “aktor utama” untuk membangunkannya dengan sendiri membayangkan realiti ini.

Kraf Cina seperti sutera, jed, dan kaligrafi Islam, manakala India seperti tekstil, telepuk, barang-barang tembaga, emas dan perak mempunyai reputasi di seluruh dunia. Harganya cukup tinggi. Kraf kaum-kaum berkenaan dipersepsikan oleh masyarakat umum, termasuk orang Melayu sendiri, sebagai berakar umbi daripada salah satu peradaban besar dunia.


Pengunjung ke Muzium
Laporan yang agak komprehensif mengenai konsumsi budaya adalah laporan rasmi tentang pengunjung ke muzium. Ini kerana setiap muzium, baik di bawah agensi Pusat mahupun Negeri, mempunyai (atau “mengeluarkan”) perangkaan jumlah pelawat bagi setiap bulan dan agak mudah melakukannya kerana bilangan para pelawat ke sesebuah muzium boleh dihitung semasa mereka memasuki pintu masuk atau penjualan tiket. Sehingga tahun 2010 terdapat lebih daripada 150 buah muzium di bawah seliaan Jabatan Muzium Malaysia, kerajaan negeri, persendirian, dan pihak swasta (New Straits Times, 2010). Di Melaka terdapat lebih daripada 24 buah muzium. Pada tahun 1998 sebanyak 25 peratus (1.38 juta) orang pelancong mengunjungi muzium di seluruh negara (Buyong, 1992).

Bilangan pengunjung semakin meningkat dari setahun ke setahun. Huraian mengenai pengunjung ke muzium di seluruh Malaysia akan memakan ruang banyak. Berikut diberikan pengunjung ke beberapa buah muzium. Pada tahun 2002 pengunjung ke Muzium Negara adalah kira-kira 1.2 juta orang. Manakala pengunjung ke Muzium Negeri Pulau Pinang pada tahun tersebut adalah kira-kira 100,000 orang dan Fort Cornallis adalah kira-kira 250,000 orang.

Pada tahun 2009 terdapat 2,409,443 pelawat mengunjungi 19 buah muzium di bawah Jabatan Muzium. Pada tahun 2009, Muzium Negara mencatat jumlah pelawat tertinggi iaitu dengan jumlah pelawat meningkat kepada 2.5 juta orang pada 2009 berbanding 1.9 juta orang pada tahun 2008. Ini diikuti Muzium Perak (299,787) dan Muzium Etnologi Dunia Melayu, Kuala Lumpur (232,102). Muzium-muzim lain yang turut mencatatkan bilangan pelawat yang tinggi termasuk Muzium Senikraf Orang Asli, Kuala Lumpur (149,113), Muzium Arkeologi Lebah Bujang, Kedah (112,462), Muzium Marin, Labuan (151,501), dan Galeria Perdana, Langkawi di Kedah (124,876).

Di Melaka, Muzium Samudera, Muzium Budaya dan Muzium Sejarah. Para pengunjung untuk tahun 1996 adalah seperti berikut: Muzium Samudera sebanyak 315,056 orang. Muzium Budaya sebanyak 140,223 orang, dan Muzium Sejarah sebanyak 105,981 orang. Muzium Budaya sebelum ditukar nama kepada Muzium Istana Kesultanan Melaka pada 2005 sesuai dengan fungsinya memelihara warisan Kesultanan Melayu Melaka. Sebanyak 55,052 pengunjung melawat muzium berkenaan antara 1 Jan dan 19 Julai tahun ini manakala pada 2009 mencatat jumlah pengunjung seramai 101,866 orang, 2008 (95,134 orang), 2007 (92,277 orang) dan 2006 (82,394 orang).

Pada tahun 2007, Muzium Kota Tinggi, Johor, menerima 9,000 orang pengunjung tetapi pada 2008 jumlah tersebut adalah 11,000 orang, pada tahun 2009 adalah 13,000 orang. Di Kedah terdapat Muzium Padi, Muzium Negeri, Balai Muzium Diraja, Memorial Tunku Abdul Rahman dan Balai Seni Negeri Kedah. Jumlah pengunjung pada tahun 2007 adalah 288,777, dan pada tahun 2008 adalah 281,929.

Di Terengganu sejak dibuka pada tahun 2008 pengunjung ke Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man adalah lebih daripada 2.3 juta orang, termasuk 400,000 pelancong asing (Rahman, 2022). Tempat tersebut menempatkan lebih 20 replika seni bina Islam terulung di dunia

Agak sukar untuk melakukan segmentasi pengunjung ke sebuah muzium. Walau bagaimanapun gambaran kasar dapat dibayangkan dengan perangkaan di Muzium Negara. Pada tahun 2007 terdapat 2,018,058 jumlah pelawat secara keseluruhan di mana sejumlah 1,403,571 pengunjung adalah pelawat tempatan, 244,310 pelajar tempatan dan 370,177 pelawat luar negara. Dalam tempoh Januari hingga Mac 2008, jumlah keseluruhan pelawat setakat ini adalah 452,234 orang.

Setiap negeri memiliki lebih daripada tiga buah muzium. Lazimnya muzium-muzium tersebut mempamerkan artifak yang dianggap simbol jati diri negeri masing-masing. Walau bagaimanapun, pameran artifak Melayu tidaklah mempunyai kedudukan yang signifikan dalam pelancongan. Hampir kesemua alat promosi pelancongan terbitan Kerajaan Negeri sentiasa memaparkan imej muzium negeri masing-masing. Satu tinjauan umum akan menunjukkan muzium-muzium tersebut adalah bersifat “product-based” iaitu tidak membangun seiringan dengan pembangunan pelancongan. Ia tidak beroperasi berasaskan mekanisme permintaan-penawaran pasaran walaupun hebat dipromosi. Ini adalah secara bandingan dengan Muzium Negara, Muzium Negeri Pulau Pinang, muzium mini Fort Cornwallis (Georgetown) dan beberapa buah muzium di bawah PERZIM di Melaka yang mempunyai unsur-unsur asing dan bersifat majmuk pelbagai kaum. Pada tahun 2002 Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pernah menyarankan agar bilangan muzium di negeri harus dihadkan, iaitu sebuah negeri hanya perlu mengadakan sebuah atau dua buah muzium. Menurut beliau, ini kerana jumlah yang ada sudah mencukupi. Sesebuah muzium itu perlu menggabungkan semua artifak sejarah, budaya dan etnografi di negeri berkenaan. “Apa yang penting muzium negeri atau muzium arkeologi itu menggambarkan keseluruhan sejarah dan budaya sesebuah negeri.”

Di negeri Melaka sendiri, walaupun dikenali sebagai “Negeri Bersejarah” sebagai moto negeri tersebut namun muzium-muzium seperti Muzium Kesusasteraan dan muzium-muzium daerah tidak mampu menjana kutipan yang boleh menampung kos penyelenggaraannya. Menteri KKKPM menegur Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) sebagai “gagal menyelenggarakan 14 buah muzium di negeri berkenaan dengan baik, dibiarkan berdebu, tidak ada maklumat lengkap, dan terjemahan artifaknya adalah kurang lengkap”.

Walau bagaimanapun, sehingga ke hari ini setiap Kerajaan Negeri begitu ghairah membuka muzium. Misalnya, Kerajaan Melaka akan meneruskan rancangan untuk membina tujuh buah lagi muzium meskipun kewujudan 14 buah pada masa tersebut telah dipertikaikan oleh pelbagai pihak kerana gagal menyelenggarakannya dengan sempurna. Muzium baru yang dirancang, antaranya, Muzium Chetty, Muzium Portugis dan Muzium Demokrasi. Pembukaan muzium-muzium tersebut dianggarkan memakan belanja sebanyak RM 2.2 juta (Arkib Negara Malaysia, 2009).

Pengunjung ke Tempat Bersejarah
Perangkaan rasmi dari Muzium Negara menyatakan pada tahun 1998 jumlah pelawat ke tempat-tempat sejarah di seluruh negara adalah sekitar 7.00 peratus (388,540 orang) (Buyong, 1992). Dari pemerhatian lapangan yang telah dilakukan oleh penulis dan maklumat yang diberikan oleh para pegawai muzium dan jabatan budaya serta pejabat pelancongan di tempat-tempat berkaitan memberi anggaran kunjungan pelawat seperti berikut: Tempat-tempat yang paling banyak dikunjungi pelawat ialah di Dataran Merdeka, gugusan monumen peninggalan Portugis dan Belanda di sekitar Bukit St. Paul di Bandar Hilir Melaka (yang mempunyai A’Famosa, Stadthuys, St. Peter’s Church dan bangunan gudang Belanda), Perigi Hang Li Poh, kubur Bukit China Melaka, Kuil Laksamana Cheng Ho di Batu Maung Pulau Pinang, Fort Cornwallis, bangunan Sultan Abdul Samad, dan Ibu Pejabat serta Stesen Kereta Api Malaysia di Kuala Lumpur. Anggaran pengunjung di tempat-tempat berkenaan adalah kira-kira purata 50,000 orang sebulan. Para pengunjung tersebut terdiri daripada pelancong antarabangsa dan pelancongan domestik dari pelbagai kaum.

Tempat-tempat yang dikunjungi dalam jumlah sederhana ramai, iaitu dengan purata 2,000 orang sebulan, ialah di Perigi Hang Tuah, Kubur Hang Jebat, Kubur Hang Kasturi dan kubur di Pulau Besar (Melaka), Kompleks Sejarah Pasir Salak, Bukit Puteri di Kuala Terengganu, dan Makam Mahsuri di Langkawi (purata pengunjung 5,000 orang sebulan). Lebih daripada 85 peratus para pengunjung ke tempat-tempat tersebut terdiri daripada orang Melayu, kecuali di Kompleks Sejarah Pasir Salak dan Makam Mahsuri yang terdiri daripada lebih kurang 60 peratus pengunjung Melayu dan selebihnya pelbagai pihak. Memorial Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Jalan Dato Onn, Memorial Tun Abdul Razak dan Rumah Mahathir (di Jalan Ais, Alor Setar) hanya dikunjungi oleh lebih kurang 200 orang sebulan. Rumah Kelahiran Tun Abdul Razak di Paya Keladi, Pekan, Pahang, dikunjungi oleh lebih kurang 350 orang sebulan. Lebih kurang 80 peratus pengunjung terdiri daripada orang Melayu.

Kubur Sheikh Ahmad Makdum di Pengkalan Kepas (Negeri Sembilan) dan tapak sejarah Johor Lama di Kota Tinggi (Johor) terlalu sedikit dikunjungi pelawat, hanya masing-masing sekitar 50 hingga 100 orang sebulan. Pelawat yang pergi ke tempat-tempat tersebut umumnya rombongan pelajar sekolah yang diatur untuk tujuan pembelajaran. Pada waktu biasa hampir tidak ada pelawat sama sekali, termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri, yang mengunjungi tempat-tempat tersebut semata-mata kerana mahu melawatnya.

Kubur Hang Tuah di Sungai Baru, Melaka, hampir tidak ada pengunjung termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri walaupun sering menanggapi tokoh tersebut sebagai legenda Melayu yang terulung. Tempat tersebut berada di luar legaran atau itinerari pelancongan. Para pelawat akan pergi ke Muzium Negara (di Kuala Lumpur) untuk melawat “kesan sejarah” mengenai tokoh legenda Melayu ini khususnya untuk melihat ungkapan masyhur “tak akan Melayu di dunia.” Ini kerana sebuah arca tembaga Hang Tuah dengan pahatan ungkapan tersebut berada di muzium berkenaan.

Angka-angka diberikan di atas hanyalah anggaran dan suatu perangkaan rasmi serta jitu mengenai hal ini masih belum ada sehingga sekarang. Sungguhpun begitu, anggaran yang diberikan dalam kajian ini dapat memberi sedikit sebanyak gambaran umum tentang kecenderungan pelawat ke tapak sejarah di Semenanjung. Dapat dirumuskan bahawa tempat bersejarah sejarah orang Cina dan peninggalan penjajah benar-benar menjadi objek pelancong Malaysia adalah yang paling ramai dikunjungi pelawat domestik berbanding dengan tempat bersejarah Melayu. Antara faktornya ialah kerana objek-objek bersejarah orang Cina dan peninggalan penjajah itu berada dalam legaran pelancongan. Selain itu, para pelawat menganggap objek-objek berkaitan membawa nilai yang authentic berbanding dengan tempat bersejarah Melayu. Dari kaca mata pengunjung, tapak-tapak sejarah orang Cina itu “wujud dalam realiti” iaitu seperti apa diiklankan dalam alat-alat promosi pelancongan. Tempat bersejarah Cina dibangunkan oleh komuniti Cina sendiri, dan ia mempunyai pengunjung yang setia.

Dari tinjauan oleh pengkaji didapati tempat bersejarah orang Melayu umumnya berada dalam keadaan yang amat daïf. Antara yang boleh disebutkan di sini adalah seperti berikut. Tempat dijumpai Batu Bersurat Terengganu di Kuala Berang (Terengganu), walaupun merupakan salah satu bukti tentang kedatangan Islam terawal dan perkembangan peradaban Islam di rantau ini namun bangunan yang dibina untuk meneduhnya menjadi tempat lembu berteduh pada hari ini.

Di samping itu, sebahagian daripada tempat-tempat sejarah Melayu yang dimasukkan dalam alat-alat promosi pelancongan tidak wujud dalam realiti, iaitu tidak seperti apa diiklankan dalam alat-alat promosi pelancongan. Ia indah khabar daripada rupa. Misalnya, Kota Kubang Labu (di Pasir Pekan) iaitu tempat Kerajaan Kelantan terawal pada hari ini telah menjadi kawasan perumahan. Demikian juga tempat berlakunya peristiwa Kebangkitan Tok Janggut di Kampung Jeram, Pasir Puteh, pada hari ini hanyalah kawasan semak samun. Tidak ada tugu dan sebarang tanda yang menunjukkan lokasi peristiwa tersebut. Demikianlah juga dengan tempat berlakunya peristiwa kebangkitan Terengganu menentang pentadbiran British di Telemung, Terengganu; tidak ada sebarang tugu yang menarik pelawat untuk pergi ke situ.

Secara keseluruhannya jika dilihat dari sudut pelawat, kedudukan tempat sejarah yang benar-benar penting dalam pelancongan Malaysia boleh diklasifikasikan sebagai “pelancongan-bandar” (city-tour). Ini sekali gus menyebabkan tempat-tempat yang dikunjung ramai adalah tempat bersejarah kaum Cina dan peninggalan penjajah. Dengan perkataan lain, para pelawat yang melakukan pelancongan-bandar sebenarnya melawat tempat-tempat sejarah tersebut. Senario ini menyebabkan tempat sejarah orang Cina dan peninggalan penjajah mempunyai advantages adalah kerana ia secara sedia jadi berada dalam jejari bandar dan sekali gus berada dalam legaran pelancongan. Sebaliknya, tempat sejarah orang Melayu berada di luar bandar.

Kenyataan ini adalah di antara realiti yang harus diambil kira apabila membuat penilaian tentang kedudukan tempat bersejarah dalam pembangunan pelancongan Malaysia dan hubungannya dengan pembinaan bangsa Malaysia. Barangkali senario seperti dipaparkan di atas boleh menimbulkan minat ingin belajar, ingin tahu dan suka bertanya. Walau bagaimanapun, tidak semestinya ia menimbulkan semangat, kesedaran dan gerakan ke arah pemupukan semangat cintakan negara. Konsumsi tempat bersejarah dalam pelancongan lebih mendorong semangat pemujaan terhadap sumbangan kaum Cina dan legasi kolonial. Di samping itu, ia merekonstruksikan nostalgia, memori, simbol, etos/nilai dan mitos-legenda yang berakar umbi dari warisan nenek moyang pelbagai kaum. Oleh itu, penonjolan budaya dari segi objek-objek sejarah merupakan suatu proses pengukuhan pembatas etnik perkauman.

Rumah Terbuka Malaysia
Pada masa lalu para pengunjung ke Rumah Terbuka hanya dalam kalangan sanak saudara dan jiran tetangga. Dalam kalangan masyarakat Melayu rumah terbuka dilakukan apabila diadakan kenduri kendara. Saling kunjung-mengunjung antara orang Melayu ke rumah orang Cina dan sebaliknya jarang berlaku. Pada Hari Raya Aidil-Adha tidak berlaku sama sekali kunjungan kaum Cina kerana mengikut hukum Islam daging korban haram dimakan oleh orang kafir. Kunjungan orang Cina ke rumah orang Melayu hanya ketara apabila diadakan majlis kenduri perkahwinan.

Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat nasional untuk tahun 2009 diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri, di Seri Perdana di Putrajaya pada hari raya pertama. Dianggarkan pengunjung mencecah 100,000 orang (Portal Rasmi MStar, 2009). Pada tahun-tahun sebelum itu pihak Kementerian Pelancongan (dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan) menganggarkan bilangan pengunjung ke sebuah majlis seumpama itu adalah antara 10 ribu hingga 30 ribu. Menjadi kebiasaan pengunjung yang paling besar bilangannya adalah terdiri daripada orang Melayu, terutamanya pada perayaan agama Islam. Sebahagian daripada para pengunjung ke Rumah Terbuka itu adalah diurus oleh pertubuhan-pertubuhan politik melalui jentera parti politik komponen-komponen Barisan Nasional.

Para pengunjung orang Cina dan India ke Rumah Terbuka Hari Raya Aidil-Fitri dan Hari Raya Aidil-Adha tidak begitu besar bilangannya. Demikian juga bilangan pelancong asing. Kebanyakan para pengunjung daripada pelbagai kaum yang ditemubual tidak merasakan penganjuran program tersebut sebagai sesuatu yang natural. Sebaliknya, ia dirasakan sebagai “diada-adakan” oleh pihak kerajaan. Masyarakat umum pelbagai kaum di Malaysia merasakan program tersebut hanyalah “suatu majlis makan” yang dianjurkan oleh pihak Kerajaan untuk meraikan perayaan-perayaan pelbagai kaum di negara ini. Ia dirasakan hanya sesuatu yang sementara.


KESIMPULAN

Kajian ini memberi bayangan bahawa dalam bentuk aslinya, iaitu sekiranya tidak ada campur tangan pihak kerajaan, budaya Melayu amat sukar memasuki sektor industri pelancongan. Hal ini kerana budaya Melayu berpecah-belah mengikut suku-kaum dan negeri. Perkara ini boleh menyebabkan tidak wujud produk atau imej yang kuat dan bersepadu. Walaupun tidak menyeluruh namun data yang dipaparkan dalam kajian ini agak memadai untuk membuat beberapa kesimpulan persoalan konsumsi budaya itu. Penilaian berasaskan perangkaan konsumsi akan menimbulkan pertanyaan terhadap apa yang ditonjolkan dalam bahan-bahan promosi berbanding dengan realiti sebenar. Dapat dipertegaskan bahawa aspek-aspek budaya Melayu khususnya yang ditonjolkan dalam brosur, pamplet, buku panduan pelancong dan siaran media massa (elektronik dan percetakan) oleh pihak Kerajaan adalah bersifat “product-based.” Malah sebahagian besar daripadanya adalah agak berlebih-lebihan. Penawaran aspek-aspek tersebut tidaklah diasaskan kepada mekanisme ekonomik. Apa yang dapat dibayangkan ialah usaha Kerajaan memulihara, membangun dan menonjolkan aspek-aspek budaya Melayu itu melampaui secara untung-rugi dari segi ekonomi tetapi untuk tujuan pembinaan identiti bangsa berasaskan budaya peribumi. Produk budaya yang benar-benar dikonsumsikan oleh pelancong berasaskan mekanisme permintaan-penawaran lebih ketara dalam budaya kaum Cina dan India.


RUJUKAN

Aljunied, S. M. K. (2005). Sir Thomas Stamford Raffles' discourse on the Malay World: a revisionist perspective. Sojourn: Journal of Social Issues in Southeast Asia, 20(1), 1-22.

Andaya, B. W. and Andaya, L. Y. (2001). A history of Malaysia. Hampshire: Palgrave/The MacMillan Press.

Anwar, D. (2008). Asas Kebudayaan dan Kesenian Melayu. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Arkib Negara Malaysia (2009). Sejarah Arkib Negara Malaysia. Arkib Negara Malaysia.
http://www.arkib.gov.my/web/guest/sejarah?p_p_id=56_INSTANCE_R9Nv&p_p_lifecycle=0&p_p_state=normal&p_p_mode=view&p_p_col_id=column-inner-3&p_p_col_count=1&page=4

Arney, S. (1987). Malaysian batik: Creating new traditions. Kraftangan Malaysia.

Bakar, A. L. A. (1984). Abdul Rahim Kajai, wartawan dan sasterawan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran, Malaysia.

Braddel, R. 1933 (reprint 1983). The lights of Singapore. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

Buyong, K. B. (1992). Archaeological and ethnological survey of megalithic culture in Kuala Pilah, West Malaysia. University of Pennsylvania

Cameron, J. (1965). Our tropical possessions in Malayan Indies. London: Oxford University Press.

Din, K. H. (1989). Islam and tourism: Patterns, issues, and options. Annals of tourism research, 16(4), 542-563.
Evans, I.H.N. (1923). Studies in religion, folk-lore and custom in British North Borneo and the Malay Peninsula. Cambridge: Cambridge University Press.

Gidney, W. T. (1908). The History of the London Society for Promoting Christianity Amongst the Jews: From 1809 to 1908. London Society for Promoting Christianity amongst the Jews.

Hale, A. (1908). Hill stations and sanitaria. Twentieth Century Impressions of British Malaya: Its History, People, Commerce, Industries and Resources, 251-2.

Hamid, I. (1991). Masyarakat dan budaya Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Harrison, C. W. (1911). An illustrated guide to the Federated Malay States. Singapore: Oxford University Press.

Ibrahim, Y., Mohamad, S., & Ahmad, H. (2008). Pelancongan Malaysia: isu pembangunan, budaya, komuniti, dan persetempatan . UUM Press.

Innes, J. M. (1974). The Semantics of Asking a Favour an Attempt to Replicate Cross-Culturally. International Journal of Psychology, 9(1), 57-61.

Johnson, J. (1807). The oriental voyager or description sketches and country remarks on a voyage to India and China in His Magesty’s Ship Caroline. London: James Asperne.

Kloss, C. B. (1923). Selangor museum. Dalam C. W. Harrison. An illustrated guide to the Federated Malay States. Singapore: Oxford University Press.

New Straits Times (2010). Signed, sealed but not delivered. New Straits Times.
https://www.kkmm.gov.my/suratpengarang/maklum%20signed,%20sealed%20but%20not%20deliv.pdf

Niehoff, B. P., & Moorman, R. H. (1993). Justice as a mediator of the relationship between methods of monitoring and organizational citizenship behavior. Academy of Management Journal, 36(3), 527-556.

Omar Din, M. A. (2006). Dinamika bangsa Melayu: Menongkah arus globalisasi. UKM Press. 371pp.

Ponder, E. (1935). The measurement of red-cell volume. Conductivity measurements. The Journal of Physiology, 85(4), 439.

Pope, A. (1996). The P&O and the Asian Specie Network, 1850–1920. Modern Asian Studies, 30(1), 145-172.

Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak (2022). Brief History. Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak.
https://www.perak.gov.my/index.php/18-kerajaan-negeri/1770-brief-history-of-perak-state

Portal Rasmi Palace of the Golden Horses (2022). Palace of the Golden Horses. Portal Rasmi Palace of the Golden Horses.
https://palaceofthegoldenhorses.com-malaysia.com/ms/

Portal Rasmi MStar (2009). Rumah terbuka Aidilfitri peringkat nasional di Seri Perdana. Portal Rasmi MStar.
https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2009/09/18/rumah-terbuka-aidilfitriperingkat-nasional-di-seri-perdana

Price, L. (2002). Some 19th century visitors to caves in peninsular Malaysia. Acta Carsologica, 31(2).

Rahman, E.M.A.A. (2022). Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man [Temubual Personal].

Robinson, H. (1976). A geography of tourism. London: MacDonald and Evans.

Robson, P. A. (1911). School-planning: Being a Practical Treatise on the Planning of British Training Colleges & Schools. With about One Hundred Illustrations. Nicholson-Smith.

Selat, N. (1977). Renungan. Kuala Lumpur: Utusan Malaysia Publications.
Sheehan, J. J. (1934). Seventeenth century visitors to the Malay Peninsula. Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, 12(119), 71-107.

Stockwell, A. J. 1993. Early tourism Dlm. Malaya. Dlm. M. Hitchcock, V. King and M.J.G. Parnvell (eds.). Dlm. Tourism Dlm. South-East Asia. London and New York: Routledge.

Swettenham, F. A. (1948). British Malaya: an account of the origin and progress of British influence Dlm. Malaya. London: Allen and Unwin.

Thomson, J.T. (1964). Glimpses Dlm. life Dlm. Malayan lands. London: Oxford University Press.

Wallace, A. R. (1902). The Malay Archipelago, the land of the orang-utan and the bird of paradise; a narrative of travel, with studies of man and nature. New York: Macmillan

Wells, R. J. G. (1982). Tourism planning in a presently developing country: the case of Malaysia. Tourism Management, 3(2), 98-107.

Wheatly, G. W. (1961). President’s Message: Our Specialty-A New Look. Pediatrics, 27(5), 836-837.

Zulkifli, M. A. H., Bakar, M. S. A., & Hamidon, N. A. (2017). Strategi Pemasaran Pameran Muzium: Kajian Kes Muzium Kesenian Islam Malaysia. Forum Komunikasi, 14(2), 64-90.