Thursday, December 15, 2022

Adaptasi Pengusaha Bot Pukat Tunda dalam Kelangsungan Ekonomi Sepanjang Tempoh Pandemik Covid-19 di Tanah Merah, Sandakan

 ABSTRAK
Aktiviti bot pukat tunda merupakan salah satu kegiatan aktiviti penangkapan hidupan laut bagi memenuhi keperluan makanan laut di pasaran dan adalah sebuah industri yang amat penting kerana aktiviti perikanan adalah sub-sektor pertama yang menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Namun, kewujudan pandemik COVID-19 telah menjadi cabaran besar bagi sektor perikanan bukan sahaja di Malaysia malahan di negara luar. Oleh itu, kajian ini memfokuskan tentang isu berkaitan pandemik COVID-19 dengan aktiviti perusahaan bot pukat tunda dalam kalangan pengusaha iaitu nelayan di Sandakan. Kajian ini dijalankan adalah bagi mengetahui persepsi dan pengalaman pengusaha bot pukat tunda, serta mengkaji adaptasi yang diambil oleh pengusaha bot pukat tunda bagi mengatasi kesan pandemik COVID-19 terhadap kelangsungan ekonomi mereka. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif iaitu melibatkan kaedah temubual mendalam dengan beberapa orang informan iaitu pengusaha bot pukat tunda di Sandakan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa persepsi dan pengalaman yang ditunjukkan oleh pengusaha bot pukat tunda adalah dibahagikan kepada tiga iaitu sebelum pandemik, semasa pandemik dan selepas iaitu berbentuk pengalaman dan hasil dapatan didapati hampir keseluruhan responden kajian memberikan persepsi yang sama mengenai impak pandemik kepada mereka. Objektif kedua adalah bentuk adaptasi yang diambil iaitu terdapat dua bentuk utama, pertama adalah berdasarkan pengalaman lepas iaitu pengusaha beradaptasi dengan impak pandemik ini menggunakan pengetahuan dan pengalaman lepas dan membuat persediaan bagi menghadap sebarang kemungkinan jika peristiwa tersebut berlaku; dan kedua adalah dengan bentuk amalan iaitu langkah yang biasa diambil bagi mengatasi impak tesebut sepanjang tempoh pandemik. Kesimpulannya, kajian selanjutnya yang mengenai keberkesanan bantuan daripada pihak kerajaan dalam membantu golongan nelayan adalah amat diperlukan. Hal Ini kerana faktor-faktor bantuan kerajaan adalah berhubungkait dengan bentuk adaptasi yang diambil oleh pengusaha bot di Tanah Merah, Sandakan.

Kata Kunci: Pengusaha Bot Pukat Tunda, Pandemik COVID-19, Adaptasi Nelayan, Kualitatif, TemuBual

ABSTRACT
Trawl boat activity is one of the activities of catching marine life to meet the needs of seafood in the market and is a very important industry because fishing activity is the first sub-sector that contributes to the increase of Gross Domestic Product (GDP). However, the existence of the COVID-19 pandemic has become a big challenge for the fisheries sector not only in Malaysia but also in foreign countries. Therefore, this study focuses on issues related to the COVID-19 pandemic with the activities of trawler companies among entrepreneurs, namely fishermen in Sandakan. This study was conducted to find out the perception and experience of trawler boat operators, as well as examine the adaptations taken by trawler boat operators to overcome the effects of the COVID-19 pandemic on their economic viability. This study uses a qualitative approach which involves in-depth interviews with several informants who are trawler operators in Sandakan. The findings of the study show that the perception and experience shown by trawler boat operators are divided into three, namely before the pandemic, during the pandemic and after, which is in the form of experience and the results of the findings found that almost all of the study respondents gave the same perception about the impact of the pandemic on them. The second objective is the form of adaptation taken which is that there are two main forms, the first is based on past experience which is that entrepreneurs adapt to the impact of this pandemic using knowledge and past experience and prepare to face any possibility if the event occurs; and the second is with the form of practice, which is the usual steps taken to overcome the impact throughout the pandemic period. In conclusion, further research on the effectiveness of aid from the government in helping fishermen is very necessary. This is because the government aid factors are related to the form of adaptation taken by boat operators in Tanah Merah, Sandakan.

Keywords: Trawler Boat Operators, COVID-19 Pandemic, Fishermen's Adaptation, Qualitative, Interview

PENGENALAN

Pandemik COVID-19 banyak mengubah landskap ekonomi negara yang sekaligus turut menyebabkan rakyat ikut terkesan. Hal ini kerana, pandemik COVID-19 ini menyebabkan pelbagai sekatan ke atas aktiviti harian. Oleh itu, pelbagai sektor turut terjejas dan semua ini menjejaskan sektor perikanan. Mengikut kenyataan Jabatan Perikanan dan Akuakultur di Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), nelayan terutamanya mereka yang beroperasi dalam sektor selepas tuaian menghadapi cabaran terbesar dengan kehilangan pendapatan, gaji yang lebih rendah, dan risiko jangkitan atau penularan (Mat dan lain-lain, 2021). Ini menjurus kepada pengurangan permintaan makanan laut yang mendadak menyebabkan penurunan dalam aktiviti penangkapan ikan dan akibatnya pasar ikan dan pelabuhan juga turut terjejas (Russo dan lain-lain, 2021). Ianya dikeruhkan lagi dengan beberapa laporan kes COVID-19 yang melibatkan nelayan. Dalam laporan Mohd Ariff (2009) menulis terdapat sebuah kluster yang dikesan di Sabah melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti nelayan dan jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah 43 kes setelah 22 kes baharu dicatatkan.

Di Tanah Merah, Sandakan mempunyai sebuah komuniti pengusaha bot pukat tunda dimana merupakan antara kelompok nelayan yang terjejas sepanjang tempoh pandemik COVID-19 ini kerana terdapat daripada mereka bergantung sepenuhnya dengan aktiviti mengusahakan bot pukat tunda sahaja. Oleh itu, masalah ini mendorong pengkaji untuk melihat sejau hmanakah kesan ini telah menjejaskan golongan ini dengan lebih terperinci dan mendalam. Melalui maklumat awal yang diperoleh terdapat beberapa pengusaha bot pukat tunda ini bergantung sepenuhnya kepada aktiviti membawa bot sahaja. Ini sekaligus telah menutup kemasukan atau sumber ekonomi utama mereka (Hudoyo, 2006). Oleh itu, ianya adalah antara salah satu sebab kajian ini dilakukan dengan lebih mendalam bagi membuktikan jika permasalahan ini benar berlaku.

Selain itu, terdapat beberapa majikan iaitu pengusaha bot pukat tunda ini terpaksa memberhentikan pekerja mereka bagi mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung memandangkan kekangan pandemik COVID-19 ini. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengkaji sejauhmanakah isu ini menjejaskan mereka terutama golongan pekerja bot. Permasalahan seterusnya adalah terdapat beberapa golongan yang tidak mampu beradaptasi dengan pandemik ini yang mendorong mereka berhenti menjadi pengusaha bot pukat tunda. Ini menyebabkan beberapa pengusaha menjual bot-bot mereka bagi mengurangkan lagi kos kerugian yang terpaksa ditanggung (Leong, 2020).

Persoalanya, apakah persepsi dan pengalaman pengusaha bot pukat tunda sebelum dan selepas wujudnya pandemic COVID-19? Dan bagaimanakah adaptasi pengusaha bot pukat tunda ini bagi memastikan kelangsungan ekonomi semasa pandemic COVID-19 ini berlangsungan? Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk mengetahui persepsi dan pengalaman pengusaha bot pukat tunda di Tanah Merah, Sandakan selepas adanya pandemik COVID-19, dan mengkaji adaptasi yang diambil oleh pengusaha bot pukat tunda bagi mengatasi kesan pandemik COVID-19 terhadap kelangsungan ekonomi mereka.

KAJIAN LITERATUR

Nelayan Bot Pukat Tunda
Pukat tunda adalah alat menangkap ikan yang bertujuan menangkap ikan demersal. Kebiasaannya ia dikendalikan oleh bot berenjin dengan berkelajuan antara dua hingga tiga knot. Cara operasinya adalah pukat akan diturunkan apabila tiba di perairan yang dikesan mempunyai banyak ikan. Bahagian keroncong pukat akan diturunkan terlebih dahulu, seterusnya badan pukat, tali sayap, papan kepak dan tali penunda. Semasa menunda, pukat akan terbuka kerana papan kepak yang terbuka sedikit demi sedikit dan tindakan sama turut berlaku pada pelampung tali kajar di atas pukat. Semasa menunda juga, tali sayap dan papan kepak akan menghalau ikan masuk ke dalam perut pukat lalu akan termasuk ke dalam keroncong pukat. Aktiviti penundaan kebiasaannya berlaku di antara dua hingga empat jam, lalu pukat akan ditarik naik (Mat dan lain-lain, 2021).

Pukat tunda juga adalah perkakas menangkap ikan yang berinsentifkan modal serta diuasahakan secara komersial dalam sektor perikanan. Operasi pukat tunda ini melibatkan beberapa input seperti minyak, air batu dan lain-lain. Semua input ini perlulah disediakan di jeti pendaratan sebelum bot-bot pukat tunda mengambil bekalan tersebut. Pukat tunda terbukti berjaya meningkatkan pendaratan ikan tahunan (Alzahrin Alias, 2020). Justeru, ianya telah menyumbang kepada kepesatan pertambahan bilangan pukat tunda. Pertambahan bilangan bot pukat tunda ini telah memberi kesan positif kepada industri perikanan (Mat dan lain-lain, 2021)

Ciri Ekonomi dan Budaya Nelayan
Pendapatan masyarakat nelayan bergantung kepada pemanfaatan potensi sumber perikanan di lautan. Pendapatan masyarakat nelayan secara langsung atau tidak langsung akan sangat mempengaruhi kualiti hidup mereka, kerana pendapatan daripada pelayaran adalah sumber utama malah satu-satunya sumber pendapatan mereka, maka saiz pendapatan akan sangat mempengaruhi kehidupan mereka, terutama pada kemampuan mereka untuk mengurus alam sekitar.tempat tinggal mereka (Helmi dan Satria, 2013). Tahap pendapatan nelayan juga boleh dilakukan dengan melihat nisbah pengeluaran ikan dengan bilangan nelayan sehari. Jumlah pendapatan tersebut akan dapat menggalakkan nelayan memenuhi keperluan asas mereka, maka keperluan lain seperti penambahbaikan pengurusan petempatan dan kemudahan dan infrastruktur mereka juga akan meningkat, ini akan mengakibatkan peningkatan kualiti persekitaran kediaman mereka, contonhnya keadaan perumahan yang sesuai dan jalan raya tempatan baik (Hudoyo, 2006).

Bagi ciri budaya pula, masyarakat nelayan mempunyai identity budaya khusus dan ianya dibina melalui proses penilaian yang panjang. Ciri budaya seperti sistem jantina, hubungan patron-klien, corak tingkah laku dalam mengeksploitasi sumber perikanan, serta kepimpinan sosial berkembang dengan adanya pengaruh keadaan dan ciri-ciri dalam persekitaran. Sebahagian daripada masyarakat luar, yang bergerak dengan aliran dinamik sosial, komuniti nelayan dan budaya pesisir pantai turut boleh terjejas. Kebolehsuaian dan kejayaan dalam menyahut cabaran perubahan sosial dilihat penting kelangsungan hidup dan integrasi sosial komuniti nelayan (Kusnadi dan lain-lain, 2019)

Perubahan atau Evolusi Nelayan
Perubahan dalam kalangan nelayan berlaku seiring dengan perkembangan industri perikanan yang menjadikan transformasi berlaku dari segi peranan nelayan. Sebahagian daripada nelayan atau juragan ini bukan semata-mata juragan kapal, malah telah menjadi usahawan yang dikenali sebagai juragan-pengusaha (Mat et al, 2021). Perubahan nelayan kepada juragan-pengusaha dilihat mengubah landskap kehidupan mereka daripada segi ekonomi, sosio-budaya dan persekitaran secara inter-generasi. Peningkatan kesejahteraan hidup melalui pendayaupayaan diri meningkatkan lagi keupayaan mereka. Jalinan dan gabungan pengalaman, kemahiran dan sikp sanggup mempelajari perkara baharu membolehkan juraganpengusaha ini berjaya membentuk satu syarikat perusahaan perikanan komersial yang merupakan salah satu perniagaan utama bagi memperoleh keuntungan serta dapat menguasai idustri perikanan (Othman dan lain-lain, 2019).

Menurutnya lagi perubahan nelayan juga menunjukkan kemunculan kelas sosial baharu iaitu juragan-pengusaha dalam komuniti nelayan dapat menjelaskan persoalan yang timbul mengenai usahawan sebenar dalam industri perikanan. Sedangkan, actor lain seperti peraih, pemborong, orang tengah, tauke dan agensi merupakan sebahagian rantaian dalam industri perikanan. Justeru, kemunculan juragan-pengusaha memberi gambaran bahawa industri perikanan Malaysia sedang berevolusi atau berkembang maju.

Sejarah COVID-19 dan Perkembangannya Pandemik
Menurut penulisan Susilo dan lain-lain (2020), sejarah COVID-19 adalah bermula pada tahun 2003 iaitu kemunculan coronavirus sebagai fenomena misteri yang berasal daripada tenggara China terutamanya wilayah Guangdong dan ianya dinamakan coronavirus SARS. Kadar kematian dilaporkan disebabkan oleh virus tersebut adalah sekitar 10% hingga 15%. Selepas beberapa tahun, kemudahan perubatan telah bertambah baik namun tiada rawatan atau vaksin yang tersedia yang mampu mengawal SARS ini. Kemunculan sebuah lagi wabak novel coronavirus pada tahun 2021 yang berlaku di Timur Tengah dimana ianya berkongsi ciri wabak yang sama berlaku sebelumnya iaitu pada tahun 2003. Kedua-dua virus tersebut dipercayai disebabkan oleh coronavirus tetapi perumah perantaraan bagi MERS ini adalah dromedary unta dan boleh menyebabkan kematian sehingga 37.5%. Manifestasi klinikal awal untuk kedua-dua SARS dan MERS kebiasaannya adalah tidak spesifik kecuali majority pesakit akan mengalami symptom demam dan kesukaran pernafasan. Kakitangan hospital yang terdedah kepada pesakit dan tanpa ada sebarang perlindungan terdedah untuk dijangkiti dan menyebabkan jangkitan nosokimial berlaku.

World Health Organization (WHO) telah mengisytiharkan bahawa wabak COVID-19 sebagai pandemik yang mudah berjangkit. Pengisytiharan ini menyebabkan Kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19 terus menular (Leong, 2020). Pandemik merujuk kepada wabak yang merebak secara besar-besaran ke seantero dunia dan melibatkan populasi yang besar.

Salah satu ciri pandemik adalah melibatkan penyakit yang mempunyai kadar serangan yang tinggi sehingga menyebabkan bilangan kes meledak secara tiba-tiba dalam masa yang singkat. Biasanya, penyakit yang menyebabkan pandemik adalah penyakit baru (novel) yang mana populasi manusia tidak mempunyai imuniti atau daya tahan melawan terhadap penyakit tersebut. Ciri tersebut memudahkan penyakit itu merebak dengan pantas dan boleh menyebabkan kadar kematian yang tinggi (Rosantika dan Swasto, 2021).

Secara umumnya, Coronavirus (COVID-19) adalah penyakit berjangkit yang berpunca daripada virus corona yang baru ditemui. Kes pertama yang dilaporkan adalah pada Disember 2019 di Wuhan, China. COVID-19 menyerang manusia dalam cara yang berbeza. Simptom-simptom virus ini adalah seperti demam, batuk kering dan keletihan. Bagi warga emas, kanak-kanak dan pengidap penyakit kritikal seperti masalah jantung, diabetes, masalah pernafasan yang kronik, dan kanser adalah berisiko tinggi untuk terkena jangkitan. Simptom serius adalah seperti sukar bernafas atau nafas pendek, sakit dada atau terasa tertekan di bahagian dada dan pergerakan yang terhad (Helmi dan Satria, 2013).

Impak Pandemik COVID-19
Pandemik COVID-19 ini telah melibatkan penularan wabak COVID-19 secara besarbesaran dan mendatangkan banyak impak. Penularan wabak ini sekaligus telah memberi impak yang besar kepada ekonomi negara dan rakyat. Wabak ini telah meragut ratusan ribu nyawa di seluruh dunia dari pelbagai peringkat umur(Evan, 2020). Selain daripada impak terhadap ekonomi, dalam sebuah laporan daripada Arctic Council, kesan dari wabak COVID-19 akan bertambah buruk dengan keadaan hidup yang terabai serta keadaan rumah yang sempit. Kesan terhadap kesihatan mental ini tidak sekadar terhad kepada ketakutan yang timbul akibat penyakit itu sahaja, bahkan tindakan yang diambil untuk mengekang penularan wabak itu (seperti PKP di Malaysia) juga memberi kesan terhadap kesihatan mental (Marican, 2005).

Hubungkait Impak Pandemik COVID-19 dengan Kehidupan Nelayan
Impak pandemik ini kepada nelayan pula dapat dilihat melalui kajian yang dijalankan oleh Wahyono dan lain-lain (2014), dimana penulis menyatakan bahawa Walaupun COVID-19 tidak mempunyai kesan langsung terhadap aktiviti perikanan,kerana tidak ada sekatan untuk nelayan, ia telah menghasilkan kesan mendalam dan berpanjangan terhadap sektor perikanan di banyak cara yang berbeza. Penutupan restoran, kerana perintah berkurung langkah-langkah, di satu pihak, dan krisis kewangan dan ekonomi, digabungkan dengan keutamaan kepada makanan jangka panjang dengan sebahagian besar penduduk untuk mengurangkan pergerakan sebanyak mungkin, menentukan penurunan permintaan makanan laut yang kukuh.

Impak Pandemik COVID-19 kepada Ekonomi Nelayan
Kajian lepas yang membincangkan tentang Kesan Covid-19 kepada Ekonomi di Malaysia ialah daripada penulisan Serina Rahman pada tahun 2021. Penyelidik menyatakan bahawa kesan Covid 19 kepada ekonomi ialah kehilangan pendapatan harian dan pekerjaan. Pendapatan harian dikaitkan dengan kemampuan individu untuk menampung perbelanjaan harian mereka. Disebabkan pandemik Covid-19 ini dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan, banyak individu kehilangan pekerjaan mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan banyak sektor pekerjaan yang terpaksa menutup operasi mereka. Dalam data penyelidikan Helmi dan Satria (2013), menjelang akhir tahun 2020, terdapat 760,700 orang menganggur dalam rekod, di seluruh negara (4.8 peratus kadar pengangguran), dengan 15,700 kehilangan pekerjaan. Kehilangan pekerjaan ini sekaligus telah menyebabkan pengurangan kuasa beli dalam masyarakat. Bukan itu sahaja, mereka yang kehilangan pekerjaan ini tidak dapat membayar sewa bulanan mereka dan ada antaranya yang kembali ke kampung halaman kerana tidak mampu membayar kadar sewa rumah mereka. Malah kajian tersebut dapat di sokong lagi dengan hasil kajian Kasdan dan lain-lain (2020) yang menyatakan bahawa sektor ekonomi dan pekerjaan jelas terjejas apabila terdapat lebih 190,000 usahawan wanita yang terlibat dalam perniagaan mikro dan sektor perkhidmatan terjejas kesan daripada pandemik Covid-19. Menurut Alzahrin Alias (2020), semasa pandemik Covid 19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, banyak syarikat di Malaysia melalui tempoh sukar apabila keuntungan mereka terjejas teruk namun mereka harus membayar gaji pekerjapekerja mereka. Hal ini telah menyebabkan banyak syarikat mengurangkan bilangan pekerja kerana tidak mampu untuk membayar gaji mreka. Menurut Rahman (2020), daripada data yang diperoleh dari Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menunjukkan bahawa 3.3 billion tenaga kerja di peringkat global, empat daripada lima orang pekerja terjejas akibat daripada penutupan premis.

Menurut kajian Elisabetta Russo 2021 yang bertajuk “Bagaimana Pandemik COVID-19 Menjejaskan Perikanan Aktiviti di Laut Adriatik” mendapati bahawa pandemik Covid-19 telah menyebabkan permintaan terhadap makanan laut semakin berkurang. Penyelidik menyatakan bahawa semasa Covid 19 terdapat banyak restoran tutup dan premis-premis makanan yang menjadi salah satu pembeli terbesar kepada pasaran makanan laut. Apabila Covid-19 berlaku banyak masyarakat takut untuk keluar rumah dan tidak ramai pula yang makan di restoran. Hal ini telah menyebabkan hasil tangkapan laut nelayan kurang mendapat sambutan semasa berlakunya pandemik Covid-19.

Kajian yang dijalankan oleh Joannie (2014) yang bertajuk “Kesan Covid-19 kepada Perikanan Kecil di Taman Tun Mustapha, Sabah, Malaysia” menyatakan bahawa salah satu kesan Covid 19 kepada perikanan kecil di Tun Mustapha Park ialah pasaran jatuh dan rantaian bekalan makanan terganggu. Nelayan kecil-kecilan adalah pihak yang sangat terjejas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan ketika itu. Majoriti masyarakat nelayan di Taman Tun Mustapha ini masih bergantung kepada orang tengah untuk memasarkan hasil tangkapan mereka. Disebabkan Covid-19 tersebut, masyarakat nelayan terpaksa menjual hasil tangkapan mereka pada harga yang lebih rendah berbanding sebelum berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dalam hasil penulisan, penyelidik menyatakan bahawa pemasaran ikan di Kampung Nelayan di Pulau Bambangan mengalami kejatuhan harga apabila ikan tenggiri yang di jual sebelum ini pada harga RM10/kg kini telah mengalami kejatuhan yang sangat ketara apabila orang tengah membeli dengan harga yang rendah iaitu RM3/kg. Dapatan daripada kajian Joannie (2014) ini jelas menunjukkan bahawa Covid 19 memberi kesan yang sangat ketara kepada perikanan kecil terutamanya dari segi ekonomi masyarakat nelayan

Adaptasi Nelayan
Dalam kajian Rosantika dan Swasto (2021) yang bertajuk “Strategi Adaptasi Masyarakat Nelayan Pasca Penataan Permukiman Di Kelurahan Sumber Jaya Bengkulu” menjelaskan bahawa keadaan masyarakat yang beradaptasi dengan perubahan baharu tersebut telah menghasilkan suatu pola kehidupan masyarakat yang lebih baik. Penyelidik menyatakan bahawa antara kesan positif yang dapat dilihat hasil daripada adaptasi tersebut ialah perubahan sosial, budaya dan ekonomi masyarakat nelayan. Hal ini dikukuhkan lagi dengan hasil penulisan daripada Helmi dan Satria (2012) yang bertajuk “Strategi Adaptasi Nelayan Terhadap Perubahan Ekologis”. Menurut Helmi dan Satria (2012) perubahan ekologi di kawasan Desa Tasikharjo disebabkan oleh pelbagai bentuk eksploitasi sumber pantai. Namun begitu, pelbagai pilihan adaptasi yang dilakukan oleh nelayan antaranya mempelbagaikan sumber pendapatan, memanfaatkan hubungan sosial, mengerakkan ahli rumah, melakukan kepelbagaian dalam kaedah penangkapan ikan dan melakukan perubahan kepada daerah atau kawasan penangkapan ikan. Dalam kajian adaptasi nelayan ini jelas menunjukkan bahawa adaptasi yang berlaku dalam kehidupan masyarakat nelayan memberi peluang kepada nelayan untuk melakukan perubahan dan sentiasa bertahan dalam apa jua situasi yang berlaku.

Menurut Yusuf (2021) dalam kajian “Strategi Keluarga Nelayan Dalam Menghadapi Krisis Dimasa Pandemi Covid-19” menjelaskan bahawa masyarakat nelayan ini adalah masyarakat yang kurang pengetahuan dan kurang terdedah tentang kemajuan teknologi. Tahap produktiviti masyarakat nelayan juga berada pada tahap yang rendah. Menurut Yusuf (2021) lagi, salah satu strategi adaptasi yang boleh dilakukan dalam menempuh tempoh sukar ketika sumber pendapatan nelayan tidak menentu adalah dengan melakukan kegiatankegiatan ekonomi tambahan. Kegiatan ekonomi yang disebutkan disini adalah apa sahaja kegiatan yang boleh dilakukan oleh wanita dalam membantu menjana pendapatan dalam keluarga. Pendapatan yang rendah yang diperoleh oleh nelayan telah mendorong istri dalam sebuah keluarga menjalankan kegiatan ekonomi seperti membuka gerai makanan atau membuka kedai yang menyediakan barang keperluan harian untuk meningkatkan ekonomi keluarga nelayan.

Perubahan untuk Penerimaan COVID-19
Dalam konteks Malaysia, istilah norma baharu adalah salah satu corak kehidupan yang diperkenalkan bagi memenuhi kriteria perubahan sosial. Pengamalan pembudayaan norma baharu yang diterapkan melalui penguatkuasaan undangundang telah membentuk perubahan sosial ini dimana ianya merupakan salah satu usaha mencegah penularan wabak COVID-19. Secara umunya, semua sektor adalah terkesan secara langsung disebabkan oleh norma baharu yang diperkenalkan. Walaupun pada keadaan tertentu perubahan sosial ini mendatangkan kemudaratan dan kesusahan, namun ianya perlu dipatuhi kerana ianya adalah dianggap sebagai uruf baharu semasa wabak melanda Negara (Herrman dan lain-lain, 2011).

INSTRUMEN DAN METODOLOGI

Kawasan Kajian
Kajian ini dijalankan di daerah Sandakan dimana seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1, Sandakan merupakan salah satu daerah yang terletak di Sabah. Sandakan yang terletak di pantai timur Sabah menghadap Laut Sulu, dengan sebuah bandar yang dikenali sebagai salah satu daripada bandar pelabuhan di Malaysia. Jumlah keluasan Sandakan adalah 2,266 km2 iaitu bersamaan 875 batu persegi.

Secara lebih terperinci, kajian ini memfokuskan salah sebuah lokasi pelabuhan kapal atau bot pukat tunda iaitu di Tanah Merah. Lokasi ini dipilih berdasarkan kawasannya yang terletak di jeti dan perkampungan nelayan dimana kajian ini memfokuskan kepada golongan sasaran iaitu pengusaha bot pukat tunda yang merupakan nelayan tempatan di kawasan tersebut. 

Rajah 1. Peta Kawasan Kajian Di Dearah Sandakan, Sabah.

Populasi dan Ekonomi
Tanah Merah, Sandakan adalah salah satu lokasi yang terletak di arah barat pusat bandar Sandakan. Terdapat sebuah perkampungan nelayan di kawasan Tanah Merah ini yang menempatkan nelayan dan beberapa golongan masyarakat berlainan bangsa. Antara bangsa majoriti yang tinggal di kawasan ini adalah Cina dan Bumiputera. Selain menjadi petempatan nelayan, kawasan Tanah Merah ini juga mempunyai restoran atas air dan kilang pemprosesan sumber hasil laut. Di Tanah Merah ini juga mempunyai jeti nelayan yang mempunyai bilangan kapal pukat tunda kira-kira sebanyak 32 buah kapal. Oleh itu, dianggarkan populasi nelayan yang ada di jeti ini adalah seramai lebih daripada 150 orang. Justeru, kajian ini akan dijalankan dengan menjadikan golongan nelayan sebagai golongan sasaran kajian.

Secara umumnya, penduduk di Tanah Merah mempunyai kegiatan ekonomi berlainan kerana tidak semua penduduk yang tinggal di sana adalah bekerja sebagai nelayan. Namun, kajian ini adalah berfokuskan kepada pengusaha bot pukat tunda iaitu nelayan yang ada di Tanah Merah, Sandakan. Aktiviti perkapalan atau bot pukat tunda ini adalah melibatkan penangkapan hasil laut dengan menggunakan bot atau kapal yang dilengkapi dengan pukat dan dijalankan dengan menyeret atau menarik pukat di belakang kapal sepanjang dasar laut pada kedalaman tertentu. Oleh itu, latar belakang ekonomi pengusaha bot pukat tunda ini adalah berdasarkan aktiviti perikanan dimana hasil yang diperoleh daripada aktiviti perkapalan mereka akan dijual kepada peraih atau diproses sendiri di kilang pemprosesan yang terdapat di kawasan ini.

Persampelan
Kajian ini menggunakan kaedah persampelan bertujuan (Purposive sampling). Persampelan bertujuan ini adalah sinonim dengan pendekatan kualitatif yang digunakan dalam kajian. Populasi akan dipilih oleh pengkaji berdasarkan objektif yang telah ditentukan. Oleh itu, selaras dengan sasaran populasi dalam kajian ini iaitu kelompok nelayan atau pengusaha bot pukat tunda, maka kaedah persampelan bertujuan ini digunakan bagi menjelaskan dan menyokong kajian objektif melalui dapatan kajian. Sampel yang dipilih adalah daripada kalangan pengusaha bot pukat tunda di jeti Tanah Merah, Sandakan. Pemilihan seramai 4 orang nelayan daripada beberapa buah bot yang berlainan akan dilakukan dimana informan ini terdiri daripada pengusaha bot pukat tunda di kawasan kajian.

Kaedah Pengumpulan Data
Menurut Russo dan lain-lain (2021), data adalah sebuah maklumat berangka yang diperlukan bagi membuat suatu keputusan yang baik dalam situasi tertentu. Data juga adalah fakta empirik yang dikumpulkan oleh pengkaji bagi tujuan merungkai permasalahan dan menjawab persoalan yang wujud. Banyak kaedah yang boleh digunakan bagi mendapatkan data yang diperlukan oleh pengkaji. Oleh itu, kaedah pengumpulan data yang digunakan meliputi data primer sahaja. Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan kaedah temubual secara bersemuka dan mendalam (in depth interview) bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan. Seramai empat orang informan dipilih yang terdiri daripada pemilik dan pekerja bot pukat tunda di lokasi kajian iaitu Tanah Merah. Temubual dalam kajian ini menggunakan kerangka soalan yang berbentuk terbuka (open-ended interview). Temu bual terbuka (open-ended interview) akan dijalankan terhadap informan yang telah dipilih bagi mendapatkan data yang diperlukan dalam mennjalankan kajian ini. Jenis temu bual yang digunakan dalam kajian ini adalah temu bual kelompok dimana beberapa orang informan dariapada kelompok pengusaha bot pukat tunda dipilih berdasarkan ciri-ciri yang berkaitan.

Kaedah pemerhatian juga dijalankan oleh pengkaji bagi mengetahui mengenai cara pengoperasian bot pukat tunda ini dijalankan semasa pandemik COVID-19 berlaku. Ini dilakukan dengan pengkaji datang ke lokasi kajian bagi melakukan tinjauan dan pemerhatian secara langsung dan dilakukan secara berkala mengikut tempoh tertentu

Kaedah Analisis Data
Kaedah analisis data kualitatif digunakan untuk memahami atau mentafsir apa yang dinyatakan oleh informan daripada soalan temubual yang diberikan kepada informan. Penganalisisan data telah dibuat berdasarkan kepada jawapan daripada informan berdasarkan kerangka soalan. Data kualitatif yang diperolehi hasil daripada temubual dibahagikan kepada beberapa tema dan kod dalam dapatan kajian. Seterusnya, data daripada temubual tidak berstruktur dengan responden ditranskripkan dalam bentuk dialog dan dianalisis hasil daripada rakaman, dan salinan perbualan tersebut. Analisis dibuat berdasarkan tema dan kod yang telah ditetapkan yang bersandarkan kepada objektif kajian iaitu mengenalpasti impak pandemik ini kepada perusahaan bot pukat tunda dan apakah adaptasi yang diambil kesan daripada pandemik tersebut.

DAPATAN KAJIAN

Latar Belakang Informan
Sebelum mendapatkan data utama daripada informan, pengkaji terlebih dahulu membuat catatan mengenai latar belakang dan demografi informan meliputi nama, umur, tempoh pengalaman bekerja dan status pekerjaan. Latar belakang ini akan disusun dalam bentuk jadual bagi memudahkan pengkaji mengenalpasti dan mengetahui latar belakang dan demografi informan secara lebih terperinci. 

jadual 1: makluman informen.

Jadual 1 menunjukkan maklumat mengenai lingkungan umur bagi setiap informan yang terlibat dalam temu bual dan kesemua informan adalah lelaki diamana merupakan antara pengusaha bot pukat tunda di Tanah Merah, Sandakan. Lingkungan umur terendah adalah antara 40-50 tahun dan tertinggi adalah 50-60 tahun. Tempoh pengalaman bekerja sebagai pengusaha bot bagi setiap informan dalam Jadual 1 menunjukkan bahawa terdapat perbezaan dalam tahun bagi tiap-tiap informan. Ini juga dilihat mempengaruhi respon daripada informan dan akan dibincangkan pada tema dalam dapatan kajian. Dengan kata lain, kesemua informan adalah masih aktif dalam status pekerjaan sebagai bot pukat tunda.

Persepsi Dan Pengalaman Pengusaha Bot Pukat Tunda
Sebelum Pandemik
Tidak dinafikan kehadiran pandemik telah banyak mengubah perspektif cara hidup masyarakat dan tidak terkecuali golongan pengusaha bot pukat tunda ini. Hal ini kerana, kehidupan sebelum pandemik adalah normal dan tidak berlaku banyak bentuk sekatan dan peraturan yang ditetapkan. Bagi pengusaha bot pukat tunda, pelbagai sekatan yang dilakukan akan menyukarkan mereka. Salah satu bentuk sekatan yang wujud adalah pengurangan pekerja memandangkan skop kerja mereka yang memerlukan tenaga kerja yang ramai bagi memastikan setiap hasil yang diperoleh sentiasa optimum seperti yang dijelaskan pada tema sebelum ini. Namun, pada tema ini adalah mengenai persepsi pengusaha bot pukat tumda ini terhadap kerja atau perusahaan mereka sebelum adanya pandemik. Berikut adalah penjelasan daripada beberapa orang informan:

“Bezanya sebelum ada COVID-19 ni, peraturan tidak seberapa ketat lah. Sekarang ni mahu kita segala macam SOP yang dikasih tetap itu. Sebab kadang-kadang kami risau juga kalau tidak ikut itu SOP boleh kena saman, banyak pakai duit lagi kan…”
(Rosli, 40-an)

“Beza tu dari pendapatan lah, sebelum ada COVID haritu memang jarang ada masalah lah. Kecuali kalau cuaca tidak bagus di laut, itu saja halangan bagi kami. Lepas ada COVID-19 ni, macam-macam sudah peraturan, nasib saja sekarang macam biasa sudah balik."
(Sudin, 50-an)

“Sebelum COVID-19 memang semua normal saja macam biasa. Tiap mimggu kapal belayar ke laut, rehat berapa hari, sambung lagi belayar. Bagi saya pandemik ni memang bahaya lah. Dia bukan bagi kesan sama kesihatan kita saja, sampai pendapatan pun terjejas teruk. Kesian juga dengan yang berharap sama sumber laut saja ni.”

Semasa Pandemik
Semasa pandemik, banyak peraturan dan penetapan yang diletakkan kepada semua pihak dan tidak terkecuali golongan pengusaha bot pukat tunda ini. Dalam membincangkan mengenai persepsi, beberapa soalan telah diberikan kepada informan bagi mengetahui tahap penerimaan mereka terhadap pelaksanaan peraturan-peraturan semasa pandemik ini. Terdapat variasi jawapan yang diterima menunjukkan bahawa perbezaan persepi wujud berdasarkan pengalaman mereka melalui fasa pandemik ini. Oleh itu, berikut adalah jawapan daripada informan:

“Awal-awal pandemik ni saya anggap macam biasa saja lah macam tiada apa jadi. Tapi lepas di umum di buat itu PKP segala, rasa susah hati jugalah sebab terfikir macam mana cari pendapatan kalau dilarang bergerak keluar pergi mana-mana. Sebelum COVID ni datang, kapal boleh berlayar macam biasa lah sebab tiada larangan lagi kan… Satu bulan boleh sampai tiga trip kadang-kadang kalau ikan atau udang banyak. Tapi lepas saja ini COVID muncul, lagi-lagi masa PKP haritu memang berlabuh terus sajalah di jeti ni sebab tidak boleh berlayar. Cuma start tahun lepas lah ada longgar sikit sudah sampailah sekarang, kapal-kapal boleh berlayar macam biasalah sudah.”
(Rosli, 40-an)

“Saya terkejut juga tiba-tiba kena bagi arahan semua duduk di rumah kan masa PKP tu. Iyalah kan ini pertama kali kita jadi begini. Tapi apa boleh buat tiada pilihan terpaksa ikut. Memang berubah betul, boleh nampak tu tauketauke di sini semua pun macam merosot masa PKP tu. Tiada kapal langsung boleh berlayar, semua berlabuh saja. Pendapatan pun mana ada, ada yang terpaksa kasi berhenti pekerja lagi.”
(Sudin, 50-an)

“Yang tidak bestnya bila start sudah itu PKP segala peraturan-peraturan kita mau ikut. Mula sudah pakai mask di mana-mana kan. Rasa macam menyusahkan juga lah kadang, keluar rumah pun susah masa tu.”
(Musa, 40-an)

Selain itu, bagi mengetahui persepsi mereka kebolehpercayaan persepsi tersebut, pengkaji membicangkan mengenai perubahan sebelum dan selepas dalam kehidupan mereka. Ini juga meliputi aspek cara kerja dan aktiviti harian mereka. Informan menyatakan wujud perubahan yang ketara dimana beberapa informan menyatakan bahawa:

“Ada. Sebelum COVID ni datang, kapal boleh berlayar macam biasa lah sebab tiada larangan lagi kan… Satu bulan boleh sampai tiga trip kadangkadang kalau ikan atau udang banyak. Tapi lepas saja ini COVID muncul, lagi-lagi masa PKP haritu memang berlabuh terus sajalah di jeti ni sebab tidak boleh berlayar. Cuma start tahun lepas lah ada longgar sikit sudah sampailah sekarang, kapal-kapal boleh berlayar macam biasalah sudah.”
(Rosli, 40-an)

“Kalau saya tengok yang banyak berbeza lepas ada COVID-19 ni itulah pekerja kena banyak jaga penjarakan macam yang disuruh. Sebab kadangkadang polis atau KKM ada meronda tu ke jeti sini.”
(Omar, 50-an)

Pengalaman Selepas Pandemik
Fokus seterusnya adalah mengetahui pengalaman pengusaha bot pukat tunda ini dengan meneliti persepsi mereka dan menanyakan beberapa soalan bagi mengetahui apakah bentuk pengalaman yang akan menjadi faktor kepada tema seterusnya iaitu adaptasi. Oleh itu, informan menyatakan beberapa pengalaman berdasarkan jawapan iaitu:

“Iyalah… Kadang-kadang saya risau juga sama anak bini di rumah sebab saya tahu COVID-19 ini bahaya kan sampai boleh bawa mati. Jadi saya susah hati jugalah memikir. COVID-19 ini pun bikin saya pun risau sama pekerja-pekerja saya juga, iyalah kan saya punya pekerja, jadi apa-apa masalah nanti saya juga tanggung. Saya rasa tidak patutlah dibuat lagi semula sebab kita pun nampak juga banyak negara boleh kawal pandemik ni. Mungkin saya terpaksa jual satu kapal saya kali… Sebab kalau di sekat pun kita tidak boleh buat apa-apa juga, apalagi berlayar pergi laut. Mau bayar gaji pekerja lagi, jadi rugi sebab kapal tidak dapat berlayar tiada pendapatan masuk. Lagipun simpanan saya pun banyak terpakai sudah masa PKP awal-awal haritu. Jadi mungkin tiada pilihan lain sudah terpaksa saya jual kapal.”
(Rosli, 40-an)

“Pengalaman saya masa pandemik ni yang kekurangan duit lah. Pernah juga saya kekurangan duit masa PKP haritu. Duit simpanan pun terpaksa saya guna sudah mau tanggung keluarga, sebab keluarga saya ramai.”
(Omar, 50-an)

“Pengalaman yang saya boleh cerita masa pandemik ni itulah pasal rentas daerah tu. Tidak pasti berapa lama tidak boleh rentas daerah kan, saya niada keluarga juga di Semporna. Sini pun ada, kapal-kapal saya semua di sini. Jadi saya di Sandakan ni urus kapal saja. Jadi masa PKP tu memang saya mengharap sama pekerja saja lah yang urus ni semua di sini.”
(Musa, 40-an)

Justeru, setelah mengetahui pengalaman tersebut jelas menunjukkan bahawa pandemik COVID-19 ini bukan sahaja telah menjejaskan ekonomi mereka malahan terdapat juga aspek lain yang turut terjejas. Dan berdasarkan pengalaman ini, pengkaji memberikan soalan yang berkaitan dengan andaian sekiranya berlaku semula situasi seperti sebelum ini bagi tujuan mengetahui persepsi terhadap tahap ketersediaan mereka dalam menghadapi ancaman pandemik dimana ianya akan dibincangkan dengan lebih jelas pada tema seterusnya. Jawapan informan adalah seperti berikut:

“Saya rasa tidak patutlah dibuat lagi semula sebab kita pun nampak juga banyak negara boleh kawal pandemik ni. Mungkin saya terpaksa jual satu kapal saya kali… Sebab kalau di sekat pun kita tidak boleh buat apa-apa juga, apalagi berlayar pergi laut. Mau bayar gaji pekerja lagi, jadi rugi sebab kapal tidak dapat berlayar tiada pendapatan masuk. Lagipun simpanan saya pun banyak terpakai sudah masa PKP awal-awal haritu. Jadi mungkin tiada pilihan lain sudah terpaksa saya jual kapal.

Adaptasi Yang Diambil Oleh Pengusaha Bot Pukat Tunda

Berdasarkan Pengalaman Lepas
Bagi mengetahui bentuk adaptasi berdasarkan pengalaman lepas, ianya melibatkan kesinambungan soalan daripada tema kedua iaitu persepsi dan pengalaman dimana setelah mengetahui pengalaman yang dilalui oleh informan semasa tempoh pandemik, bahagian ini memfokuskan apakah bentuk adaptasi mereka berdasarkan pengalaman tersebut. Oleh itu, beberapa soalan telah diberikan berkaitan perkara ini dan hasil temu bual menunjukkan bahawa terdapat beberapa bentuk adaptasi yang mereka ambil berdasarkan pengalaman lepas. Berikut adalah jawapan yang diberikan oleh informan:

“Masa awal-awal tu saya tiada apa-apa persediaan lagi. Iyalah kan ini pertama kali jadi, lagipun saya sangka COVID-19 tidaklah teruk betul. Tapi rupanya semua negara pun terjejas. Mula-mula memang susah jugalah mau biasakan diri. Lama kelamaan saya biasa sudah. Tapi itulah memang perubahan tu ada kita rasa, tidak macam sebelum ada COVID-19 ini.

“Syukur jugalah sebab kerajaan tidak buat sekatan sudah, SOP pun tidak ketat macam dulu sudah. Jadi kami nelayan ni boleh sudah bekerja macam biasa sebelum ada COVID-19 ni. Pendapatan pun lumayan juga sebab kapal boleh berlayar macam biasa sudah. Tapi hasil tu tetap masih ikut musim lah, kadang dia banyak kadang kurang.”
(Rosli, 40-an)

“Masa awal COVID-19 tu yang PKP banyak kali dibuat, memang tiada pilihan juga. Saya ni sepenuh masa usahakan kapal saja. Jadi pendapatan saya semua dari situ. Memang susah mau biasakan diri, kan sebelum ni kita tidak pernah begini. Apa yang saya buat itulah berjimat, simpan pendapatan kapal saya sama mula lah buat simpanan sendiri. Jadi tidaklah saya menyusahkan anak-anak lagi.”
(Sudin, 50-an)

“Dari pengalaman saya, PKP ni banyak betul kena sekat. Jadi apa saya buat saya satu kali lah tidak benarkan pekerja berlayar ke laut dulu. Saya mau kurangkan kos dulu sebab pengalaman saya satu trip hasil kurang sebab pekerja kurang. Jadi saya buat keputusan tidak benarkan pekerja saya ke laut dulu lah..”
(Omar, 50-an)

“Dari pengalaman lah kan, lepas saja saya tahu masa PKP tidak boleh merentas daerah tu. Saya bawalah keluarga saya tinggal di Sandakan ni di rumah ibu bapa saya. Supaya senang lah saya urus kapal saya di sini. Kalau diri saya sendiri, saya berjimat saja lah belanja-belanja bulanan. Sebab kita tidak tahu kan kemungkinan nya macam mana.”
(Musa 40-an)

Amalan
Seterusnya adalah mengenai amalan atau langkah yang dilakukan oleh informan sebagai salah satu bentuk adaptasi dalam mengatasi impak pandemik ini. Ianya turut berhubungkait dengan pengalaman lepas dimana sesebuah tindakan secara semulajadi akan wujud sebagai salah satu amalan adaptasi selepas memperoleh pengalaman daripada sesebuah peristiwa. Dalam tema ini, membincangkan bagaimana pengusaha mengatasi impak tersebut melalui amalan adaptasi yang berkaitan. Oleh itu, berikut adalah beberapa jawapan daripada informan:

“Lepas saja saya tahu perikanan pun disekat masa PKP haritu, saya mulamula susah mau fikir juga dari mana lagi mahu cari pendapatan kan… Iyalah saya kan full time ini jadi pemilik kapal, jadi pendapatan saya dari hasil kapal saja lah. Jadi sementara menunggu perikanan di kasi benar bergerak, saya guna duit simpanan saja lah buat belanja tanggung anak bini saya. Saya ada juga terima bantuan daripada kerajaan tu kan, bantuan sara hidup. Jadi itu saja lah yang saya boleh buat, guna simpanan dengan duit bantuan yang dibagi”

“Macam saya bilang tadilah saya bergantung sama ini pendapatan dari kapal saya saja. Jadi saya tiada pilihan lain selain dari berharap dengan duit simpanan saja. Tiada kerja lain yang saya boleh buat, sebab masa PKP pun hampir semua benda kena sekat”.
(Rosli, 40-an)

“Apa yang saya buat masa PKP tu terpaksa berjimat perbelanjaan keluarga. Nasib juga saya ada anak yang bantu-bantu saya masa PKP tu. Mungkin kalau lepas ni dibuat semula macam awal-awal pandemik COVID-19 tu muncul, saya rasa masih boleh bertahan juga sebab pendapatan baru-baru ni pun menaik juga banding masa awal-awal dulu.”
(Sudin,50-an)

“Saya banyak ahli keluarga mau di tanggung. Jadi masa PKP tu pendapatan pun kurang kan. Jadi apa saya buat, saya guna saja duit-duit hasil kapal saya ni dulu. Lagipun saya tidak buat pusingan modal juga masa tu sebab memang saya tidak bagi kapal berlayar dulu”.
(0mar, 50-an)

“Kalau pendapatan pula, saya ada bisnes sendiri. Jadi tidak berapa susah lah. Cuma yang saya susahkan ni pekerja saya, sebab saya tidak bayar gaji macam biasa, kan berlabuh juga. Tapi saya tetap jaga diorang lah, bagi duit buat belanja dapur di kapal di rumah masing-masing. Apa yang saya buat, saya sudah tetapkan bajet tu untuk tiap kapal tiap-tiap bulan. Saya bagitahu pekerja saya nilainya sekian, itu terpulang lah dari diorang macam mana urus nanti. Yang penting kebajikan pekerja saya tu saya jaga. Sebab diorang yang usahakan kapal saya ni”.
(Musa, 40-an)

Diskusi
Apakah persepsi dan pengalaman pengusaha bot pukat tunda sebelum dan selepas wujudnya pandemik COVID-19? Persoalan ini dijawab melalui objektif kajian pertama iaitu mengetahui persepsi dan pengalaman pengusaha bot pukat tunda di Tanah Merah, Sandakan selepas adanya pandemik COVID-19. Dalam objektif ini, pengkaji memfokuskan kepada persepsi dan pengalaman melalui penceritaan informan mengenai peristiwa lepas iaitu sebelum, semasa dan selepas pandemik ini. Setiap informan menunjukkan pengalaman berbeza-beza namun masih saling berhubungkait. Perkara ini mungkin dibezakan kerana walaupun informan adalah daripada kelompok yang sama, namun daripada latar belakang yang berbeza.

Oleh itu, objektif kajian ini tercapai setelah persepsi dan pengalaman pengusaha berdasarkan dapatan kajian yang menunjukkan dimana pandemik ini adalah diluar jangkaan pengusaha bot pukat tunda. Seperti yang dinyatakan dalam dapatan kajian, pada awal kehadiran pandemik, persepsi pengusaha mengenai pandemik ini adalah pada tahap biasa, kerana tiada jangkaan yang diberikan mengenai impak pandemik ini sekiranya melanda. Namun, semasa pandemik sudah mula menjadi fenomena kekal buat sementara waktu, pengusaha bot pukat tunda sudah mulai menunjukkan kegusaran dan kerisauan mengenai impak yang akan mereka hadapi.

Ini lebih jelas ketara apabila terdapat pengusaha bot pukat tunda menyatakan bahawa semasa pandemik kebimbangan mereka adalah pada tahap tinggi kerana risau terputusnya sumber pendapatan yang akan menyebabkan kepayahan dalam meneruskan kelangsungan ekonomi. Seterusnya adalah mengenai pengalaman mereka selepas melalui pandemik ini dimana pengalaman yang berbeza ditunjukkan sebelum dan selepas adanya pandemik ini. Dapatan mengenai pengalaman ini mempunyai hubungkait dengan objektif kajian yang seterusnya iaitu membincangkan mengenai adaptasi yang diambil oleh pengusaha bot pukat tunda ini.

Dapat disimpulkan bahawa wujudnya persepsi berbeza dimana keadaan sebelum adanya pandemik adalah mudah bagi pengusaha ini kerana ianya adalah satu kebiasaan dan merupakan aktiviti harian mereka. Namun, persepsi semasa dan selepas pandemik ini sedikit berbeza kerana faktor berkaitan dengan pengalaman pertama kali dan belum pernah melalui fasa-fasa tersebut yang menjadikan pengusaha bot pukat tunda ini mempunyai persepsi agak kurang mengenai impak pandemik COVID-19 ini.

Persoalan seterusnya adalah bagaimana adaptasi pengusaha bot pukat tunda ini bagi memastikan kelangsungan ekonomi semasa pandemik COVID-19 ini berlangsung? Objektif bagi menjawab persoalan ini adalah dengan mengkaji bentuk adaptasi yang diambil pengusaha bot pukat tunda. Selepas melakukan kutipan data melalui temu bual, pengkaji mendapati bahawa terdapat dua jenis atau bentuk adaptasi yang diambil iaitu adaptasi berdasarkan pengalaman lepas dan adaptasi dalam bentuk amalan atau tingkah laku.

Objektif kajian ini tercapai setelah mengetahui bentuk-bentuk adaptasi tersebut dimana hampir kesemua informan mempunyai bentuk adaptasi yang serupa. Bentuk adaptasi pertama adalah berdasarkan pengalaman lepas. Pengalaman lepas adalah bentuk pengetahuan atau kemahiran yang boleh datang dari pemerhatian, dari pengalaman peristiwa atau dari apa-apa yang berlaku kepada kita dalam kehidupan dan yang munasabah untuk meninggalkan tanda pada kita, untuk kepentingan tertentu. Setelah melalui fasa pandemik, banyak pengalaman yang telah diperoleh oleh para pengusaha mengenai impak pandemik kepada mereka.

Pengalaman lepas seperti yang dibincangkan pada objektif pertama menunjukkan bahawa pandemik mendatangkan banyak impak kepada mereka sehingga mengganggu kelangsungan ekonomi mereka. Oleh itu, bagi mengatasinya pengalaman ini dijadikan rujukan oleh para pengusaha bagi memastikan mereka tidak terlalu terkesan dan dapat meneruskan kelangsungan ekonomi. Hasil dapatan mendapati informan sudah bersedia sekiranya peristiwa berdasarkan pengalaman tersebut berlaku, mereka sudah bersedia dengan solusi mengatasinya. Oleh itu, hasil pengalaman tersebut dijadikan solusi sebagai adaptasi yang sesuai bagi menghadapi pandemik COVID-19 ini.

Seterusnya adalah adaptasi daripada segi amalan. Adaptasi ini tidak berfokus pada selepas pandemik sahaja, tetapi pengkaji cuba mengetahui bentuk adaptasi yang mereka ambil ketika menghadapi pandemik COVID-19 ini. Salah satu adaptasi berbentuk amalan yang dinyatakan oleh pengusaha bot adalah dengan mengikuti peraturan dan amalan normal baharu yang disarankan oleh pihak berkuasa. Justeru, melalui amalan ini mereka dapat mengatasi impak pandemik dari segi kesihatan. Manakala adaptasi terhadap kesan ekonomi adalah dengan menggunakan wang simpanan sebagai pelan kedua sekiranya impak pandemik ini menyebabkan kesan yang terlalu buruk kepada ekonomi mereka.

Melalui pemerhatian pula dapat disimpulkan bahawa pengusaha bot pukat tunda di Tanah Merah sudah mula mengambil adaptasi berdasarkan saranan dan peraturan yang ditetapkan selaras dengan usaha pencegahan jangkitan COVID-19. Ini dapat dibuktikan melalui amalan kehidupan harian para pengusaha di jeti Tanah Merah iaitu amalan penjagaan kesihatan yang mereka jalankan. Walaupun berada di tempat awam, terdapat segelintir nelayan yang menggunakan pelitup muka kerana saranan bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan. Ini membuktikan bahawa nelayan sudah mula beradaptasi dengan melakukan beberapa amalan penjagaan kesihatan ketika mendepani pandemik COVID-19 ini.

Oleh itu, melalui hasil perbincangan objektif kedua ini dapat disimpulkan bahawa terdapat dua bentuk adaptasi yang digunakan dan diambil oleh pengusaha bot pukat tunda agar memastikan pandemik COVID-19 ini tidak memberi impak yang buruk kepada mereka terutama dari segi ekonomi. Selain itu, bentuk adaptasi lain juga dapat dilihat meallui tingkah laku harian mereka dimana langkah penjagaan kesihatan yang mereka ambil bagi mengurangkan sebarang impak pandemik COVID-19 terhadap diri mereka. Oleh itu, persoalan kedua ini turut terjawab dengan adanya dapatan kajian yang menunjukkan rata-rata pengusaha bot pukat tunda mengambil bentuk adaptasi yang sama memandangkan pengalaman lepas yang dialami juga adalah hampir sama bagi kesemua mereka

KESIMPULAN

Kajian mengenai nelayan di Sabah adalah masih kurang. Buktinya, pengkaji menghadapi kesukaran dalam mendapatkan dapatan melalui kajian lepas. Kajian ini adalah salah sebuah kajian kes yang mengkaji fenomena atau peristiwa yang menjadi isu dan menimbulkan persoalan pengkaji iaitu mengenai impak pandemik dan cara beradaptasi pengusaha bot iaitu nelayan. Berdasarkan hasil kajian mengenai impak pandemik COVID-19 kepada pengusaha bot pukat Tunda di Tanah Merah, Sandakan dan bentuk adaptasi yang diambil bagi meneruskan kelangsungan ekonomi, pengkaji mendapati terdapat kajian yang berpotensi untuk dijalankan pada masa hadapan. Kajian tersebut adalah mengenai keberkesanan bantuan daripada pihak kerajaan dalam membantu golongan nelayan pada tempoh pandemik. Ini kerana ianya berhubungkait dengan bentuk adaptasi yang diambil oleh pengusaha bot di Tanah Merah, Sandakan. Justeru, kajian ini telah membuka idea dan ruang baru tentang bidang kajian berkaitan dengan pegusaha bot pukat tunda.

PENGHARGAAN

Pengarang ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pusat Pengurusan Penyelikan (PPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menanggung kos penyelidikan dan penerbitan artikel akademik ini.

RUJUKAN

Helmi, A., & Satria, A. (2013). Strategi adaptasi nelayan terhadap perubahan ekologis. Makara Human Behavior Studies in Asia, 16(1), 68-78.

Herrman, H., Stewart, D. E., Diaz-Granados, N., Berger, E. L., Jackson, B., & Yuen, T. (2011). What is resilience? Canadian Journal of Psychiatry. Revue Canadienne de Psychiatrie, 56(5), 258–265.

Hudoyo, S. (2006). Pengaruh Perkembangan Pendapatan Nelayan Terhadap Kondisi Fisik Permukiman Nelayan Wilayah Pesisir Kota Pekalongan (Doctoral dissertation, Universitas Diponegoro).

Joanes, J., Ahmad Soffian, A., Goh, X. Z., & Kadir, S. (2014). Persepsi & Logik. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.

Kasdan, J., Baharudin, R., & Shamsuri, A. S. (2020). Covid-19 dalam Korpus Peristilahan Bahasa Melayu: Analisis Sosioterminologi. GEMA Online Journal of Language Studies, 20(3), 221-241.

Kusnadi, K., Sunarlan, S., & Sariono, A. (2019). Nelayan Osing di Blimbingsari: Sinergitas Antarsektor, Kemiskinan, dan Pengembangan Ekonomi Lokal.

Leong, I. (2020). COVID-19: Perintah kawalan pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac-PM. Dipetik daripada: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid19-perintah-kawalan-pergerakan-mulai-18-hingga-31-mac-pm-233914

Mat, N., Misron, M. F., Abdullah, N. A., & Alias, J. (2021). Pandemik Covid-19: Kesan Terhadap Gelagat Pengurusan Perbelanjaan Semasa Masyarakat Malaysia. Jurnal Personalia Pelajar, 24(2), 141-150.

Marican, S. (2005). Kaedah penyelidikan sains sosial. Prentice Hall/Pearson Malaysia.

Mohd Ariff, M. R. (2009). Perusahaan pukat tunda di Semenanjung Malaysia (1965-2005):" Ditelan mati emak di luah mati bapak". In: Seminar Serantau Sejarah Dalam Pembangunan Negara p.1-21.

Othman, N., Rahman, A., Latip, A., Nor, H., & Sa'at. 2019. Fasa Peralihan Nelayan Laut Dalam serta Kesan ke atas Ekonomi, Sosiobudaya dan Persekitaran (Transitional Phase of Deep-Sea Fishermen and Impact on Economic, Sociocultural and Environment). Akademika, 89(2), 169–185.

Rahman, R. H. A. (2020). Kesan COVID-19 ke atas pekerja dan majikan. Dipetik daripada: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kesan-covid19-ke-atas-pekerja-dan-majikan-238383
Rosantika, P. M., & Swasto, D. F. (2021). STRATEGI ADAPTASI MASYARAKAT NELAYAN PASCA PENATAAN PERMUKIMAN DI KELURAHAN SUMBER JAYA BENGKULU. JURNAL RISET PEMBANGUNAN, 4(1), 13-25.

Russo, E., Anelli Monti, M., Toninato, G., Silvestri, C., Raffaetà, A., & Pranovi, F. (2021). Lockdown: How the COVID-19 pandemic affected the fishing activities in the Adriatic Sea (central Mediterranean Sea). Frontiers in Marine Science, 1083.

Susilo, A., Rumende, C. M., Pitoyo, C. W., Santoso, W. D., Yulianti, M., Herikurniawan, H., ... & Yunihastuti, E. (2020). Coronavirus disease 2019: Tinjauan literatur terkini. Jurnal penyakit dalam Indonesia, 7(1), 45-67.

Wahyono, A., Imron, M., & Nadzir, I. (2014). The resilience of fisherman communities in responding climate change: a case study In Grajagan Pantai Village, Banyuwangi, East Java. Jurnal Masyarakat dan Budaya, 16(2), 259-274.

Yusuf, Y. (2021). STRATEGI KELUARGA NELAYAN DALAM MENGHADAPI KRISIS DIMASA PANDEMI COVID-19 (Kasus Dusun Ujung Lero Kecamatan Suppa Kabupaten Pinrang) (Doctoral dissertation, UNIVERSITAS HASANUDDIN).