Thursday, December 15, 2022

Impak Covid-19 terhadap pengusaha Bot Pukat Tunda di Tanah Merah, Sandakan: Perspektif Ekonomi

 ABSTRAK
Aktiviti bot pukat tunda merupakan salah satu kegiatan di bawah bidang perikanan yang ada di Malaysia. Ianya melibatkan aktiviti penangkapan hidupan laut bagi memenuhi keperluan makanan laut di pasaran. Ianya adalah sebuah industri yang amat penting kerana aktiviti perikanan adalah sub-sektor pertama yang menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Namun, kewujudan pandemik COVID-19 telah menjadi cabaran besar bagi sektor perikanan bukan sahaja di Malaysia malahan di negara luar. Oleh itu, kajian ini memfokuskan tentang isu berkaitan pandemik COVID-19 dengan aktiviti perusahaan bot pukat tunda dalam kalangan pengusaha iaitu nelayan di Sandakan. Kajian ini dijalankan adalah bagi mengenal pasti bagaimana pandemik COVID-19 memberi impak kepada pengusaha bot pukat tunda. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif iaitu melibatkan kaedah temubual mendalam dengan beberapa orang informan iaitu pengusaha bot pukat tunda di Sandakan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa impak pandemik yang dialami oleh pengusaha bot pukat tunda di Tanah Merah, Sandakan adalah ketara dan secara langsung iaitu melibatkan kelangsungan ekonomi dan pengurangan pekerja. Kesimpulannya, walaupun sekatan terhadap sektor perikanan pada tempoh pandemik adalah tidak terlalu lama, namun kesukaran terutama dari segi kelangsungan ekonomi masih dirasai oleh pengusaha bot pukat tunda di Tanah Merah, Sandakan. Perkara ini dapat dibuktikan melalui pengalaman sepanjang tempoh pandemik yang dinyatakan oleh pengusaha bot pukat tunda.

Kata Kunci: Pengusaha Bot Pukat Tunda, Pandemik COVID-19, Kelangsungan Ekonomi, Adaptasi Nelayan

ABSTRACT
Trawl boat activity is one of the activities under the field of fisheries in Malaysia. It involves catching marine life to meet the needs of seafood in the market. It is a very important industry because fishing activity is the first sub-sector that contributes to the increase of Gross Domestic Product (GDP). However, the existence of the COVID-19 pandemic has become a big challenge for the fisheries sector not only in Malaysia but also in foreign countries. Therefore, this study focuses on issues related to the COVID-19 pandemic with the activities of trawler companies among entrepreneurs, namely fishermen in Sandakan. This study was conducted to identify how the COVID-19 pandemic impacted trawler operators. This study uses a qualitative approach which involves in-depth interviews with several informants who are trawler operators in Sandakan. The findings of the study show that the impact of the pandemic experienced by trawler operators in Tanah Merah, Sandakan is significant and directly involving economic survival and reduction of workers. In conclusion, although restrictions on the fishing sector during the pandemic period are not too long, the difficulties especially in terms of economic survival are still felt by trawler operators in Tanah Merah, Sandakan. This point can be proven through the experience throughout the pandemic period expressed by trawler operators.

Keywords: Trawler Operators, COVID-19 Pandemic, Survival Economy, Adaptation of Fishermen

PENGENALAN 

Sektor perikanan di Malaysia merupakan sub-sektor pertama yang turut menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ini. Sektor perikanan ini telah membantu meningkatkan lagi industri huluan dan hiliran yang berkaitan dengan perikanan seperti aktiviti memproses ikan kering, keropok ikan, membaiki bot dan pukat dan lain-lain lagi. Sektor ini dikatakan amat penting kerana ianya dapat membantu membaikpulih imbangan pembayaran dua (2) negara. Malaysia terdiri daripada 14 buah negeri yang mana hampir keseluruhan negeri menyumbang kepada peningkatan sektor perikanan ini (Mohd Ariff, 2009).

Salah satu bentuk perikanan yang ada di Malaysia adalah perusahaan bot pukat tunda. Perusahaan ini adalah melibatkan penggunaan bot yang dilengkapi dengan enjin, papan tunda dan pukat. Operasi pukat tunda ini dijalankan dengan menggunakan dua papan tunda dan bergerak di dasar laut. Pukat tunda merupakan salah satu alat termoden bagi menangkap ikan di Malaysia. Ianya bertujuan bagi menangkap ikan pada jumlah yang banyak dan pengendaliannya adalah menggunakan bot berenjin dalam had laju antara dua hingga tiga knot (Mohd Ariff, 2009).

Pandemik Covid-19 telah menjadi cabaran besar bagi sektor perikanan bukan sahaja di Malaysia malahan di negara luar. Menurut laporan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) di bawah Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan Malaysia, pandemik ini telah memberi kesan kepada pendaratan ikan negara disebabkan penurunan jumlah vesel beroperasi ke laut. Pada tahun 2020 pendaratan ikan merosot sebanyak 5 peratus berbanding tahun 2019 dengan jumlah pendaratan sebanyak 1.385 juta tan metric (Gascon dan Mamani, 2022; Eichelberger dan lain-lain, 2021; Rosantika dan Swasto, 2021). Kesan jangka pendek dan jangka panjang pandemik berpotensi menjejaskan ekonomi nelayan secara ketara terutama nelayan kecil dan masyarakat pesisir pantai yang sangat terjejas akibat penurunan permintaan terhadap hasil perikanan (Mazari, 2022; Kristiana dan lain-lain, 2021; Kusnadi, 2010). Kesan pandemik Covid-19 terhadap perikanan berskala kecil adalah ramai pengusaha kecil-kecilan mengalami kesukaran apabila penjarakan sosial dilaksanakan yang merencatkan pengedaran produk ikan kepada pengguna dan diburukkan lagi dengan penurunan permintaan dan harga ikan.

Persoalannya, bagaimanakah pandemik COVID-19 ini memberi impak kepada pengusaha bot pukat tunda, sedangkan penularan ini kerap berlaku di tempat-tempat yang ramai berkumpul seperti di tempat beli-belah? Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti bagaimana pandemik COVID-19 memberi impak kepada pengusaha bot pukat tunda di Tanah Merah, Sandakan.

KAJIAN LITERATUR

Nelayan merupakan individu yang melakukan kegiatan penangkapan ikan di laut tidak kurang daripada 90 hari dalam tempoh setahun (Perez dan Vina, 2021; Vandergeest dan lain-lain, 2021; Zwan Abdullah, 2021). Nelayan juga merupakan orang yang secara aktif menjalankan pekerjaan melibatkan operasi penangkapan ikan, hidupan akuatik dan tanaman akuatik. Selain itu, orang yang tidak dimasukkan sebagai golongan nelayan adalah mereka yang melakukan kerja seperti membuat jarring, mengangkut alat atau kelengkapan ke dalam perahu atau kapal, mengangkut ikan daripada kapal. Nelayan juga boleh didefinisikan sebagai orang yang melakukan penangkapan ikan sebagai mata pencarian, dan masyarakat nelayan adalah kelompok orang yang bekerja sebagai nelayan, nelayan kecil yang tinggal di kawasan sekitar tempat tinggal nelayan (Rosantika dan Swasto, 2021).

Kategori Nelayan
Nelayan dapat dikategorikan kepada beberapa kategori iaitu (Othman dan lain-lain, 2019) menyatakan bahawa nelayan dapat diklasifikasikan kepada empat kategori utama berdasarkan peralatan menangkap ikan yang mereka gunakan. Kategori pertama adalah pemilik iaitu golongan yang memiliki bot dan pukat selaku pemodal yang dikenali sebagai tauke. Kategori kedua adalah nelayan kaya yang bekerja dengan tauke sebagai juruselam dan jongsolar pukat jerut. Ketiga adalah nelayan sederhana iaitu nelayan pantai yang menangkap ikan menggunakan bot kecil dan mempunyai alat penangkapan sendiri. Terakhir adalah nelayan miskin iaitu yang tidak mempunyai alat pengeluaran dan pergi ke laut sebagai awak-awak.

Nelayan Dan Bot Pukat Tunda
Pukat tunda adalah alat menangkap ikan yang bertujuan menangkap ikan demersal. Kebiasaannya ia dikendalikan oleh bot berenjin dengan berkelajuan antara dua hingga tiga knot. Cara operasinya adalah pukat akan diturunkan apabila tiba di perairan yang dikesan mempunyai banyak ikan. Bahagian keroncong pukat 14 akan diturunkan terlebih dahulu, seterusnya badan pukat, tali sayap, papan kepak dan tali penunda. Semasa menunda, pukat akan terbuka kerana papan kepak yang terbuka sedikit demi sedikit dan tindakan sama turut berlaku pada pelampung tali kajar di atas pukat. Semasa menunda juga, tali sayap dan papan kepak akan menghalau ikan masuk ke dalam perut pukat lalu akan termasuk ke dalam keroncong pukat. Aktiviti penundaan kebiasaannya berlaku di antara dua hingga empat jam, lalu pukat akan ditarik naik (Mat dan lain-lain, 2021).

Pukat tunda juga adalah perkakas menangkap ikan yang berinsentifkan modal serta diuasahakan secara komersial dalam sektor perikanan. Operasi pukat tunda ini melibatkan beberapa input seperti minyak, air batu dan lain-lain. Semua input ini perlulah disediakan di jeti pendaratan sebelum bot-bot pukat tunda mengambil bekalan tersebut. Pukat tunda terbukti berjaya meningkatkan pendaratan ikan tahunan. Justeru, ianya telah menyumbang kepada kepesatan pertambahan bilangan pukat tunda. Pertambahan bilangan bot pukat tunda ini telah memberi kesan positif kepada industri perikanan (Mat dan lain-lain, 2021).

Sejarah COVID-19
Menurut penulisan Susilo dan lain-lain (2020), sejarah COVID-19 adalah bermula pada tahun 2003 iaitu kemunculan coronavirus sebagai fenomena misteri yang berasal daripada tenggara China terutamanya wilayah Guangdong dan ianya dinamakan coronavirus SARS. Kadar kematian dilaporkan disebabkan oleh virus tersebut adalah sekitar 10% hingga 15%. Selepas beberapa tahun, kemudahan perubatan telah bertambah baik namun tiada rawatan atau vaksin yang tersedia yang mampu mengawal SARS ini. Kemunculan sebuah lagi wabak novel coronavirus pada tahun 2021 yang berlaku di Timur Tengah dimana ianya berkongsi ciri wabak yang sama berlaku sebelumnya iaitu pada tahun 2003. Kedua-dua virus tersebut dipercayai disebabkan oleh coronavirus tetapi perumah perantaraan bagi MERS ini adalah dromedary unta dan boleh menyebabkan kematian sehingga 37.5%. Manifestasi klinikal awal untuk kedua-dua SARS dan MERS kebiasaannya adalah tidak spesifik kecuali majority pesakit akan mengalami symptom demam dan kesukaran pernafasan. Kakitangan hospital yang terdedah kepada pesakit dan tanpa ada sebarang perlindungan terdedah untuk dijangkiti dan menyebabkan jangkitan nosokimial berlaku (Susilo dan lain-lain, 2020).

Pandemik COVID-19 kepada Perubahan Alam Sekitar dan Manusia
Kehadiran pandemik koronavirus telah mengubah dan mecetuskan kebiasaan baharu dalam budaya kehidupan seharian masyarakat dalam pelbagai aspek termasuk di Malaysia. Pada masa yang sama, pelaksanaan perintah berkurung juga turut menyumbang perubahan dan kebaikan terhadap alam sekitar. Selain memberi nafas baharu terhadap planet bumi ketika aktiviti manusia yang merangkumi pengangkutan, pelancongan dan perindustrian dihentikan buat sementara waktu. Ianya telah mempengaruhi penurunan kadar pencemaran udara dan pelepasan gas kaca (GHG), tahap kualiti sungai yang lebih baik, pantai yang bersih selain tahap kebisingan persekitaran terutamanya di kawasan bandar dan perindustrian yang kian berkurangan (Rahman, 2021).

Menurut Rahman (2021) lagi pandemik COVID-19 juga menyumbang impak yang negatif terhadap alam sekitar terutama di beberapa negara yang maju. Antara negara yang terjejas adalah seperti China, USA, Itali dan Sepanyol dimana melibatkan peningkatan sisa buangan domestic dan klinikal yang mendadak semasa tempoh pelaksanaan perintah berkurung. Malahan berlaku pengurangan operasi kitar semula bahan buangan di negara seperti USA dan Itali. 

INSTRUMEN DAN METODOLOGI 

Kawasan Kajian
Kajian ini dijalankan di daerah Sandakan dimana seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1, Sandakan merupakan salah satu daerah yang terletak di Sabah. Sandakan yang terletak di pantai timur Sabah menghadap Laut Sulu, dengan sebuah bandar yang dikenali sebagai salah satu daripada bandar pelabuhan di Malaysia. Jumlah keluasan Sandakan adalah 2,266 km2 iaitu bersamaan 875 batu persegi.
Secara lebih terperinci, kajian ini memfokuskan salah sebuah lokasi pelabuhan kapal atau bot pukat tunda iaitu di Tanah Merah. Lokasi ini dipilih berdasarkan kawasannya yang terletak di jeti dan perkampungan nelayan dimana kajian ini memfokuskan kepada golongan sasaran iaitu pengusaha bot pukat tunda yang merupakan nelayan tempatan di kawasan tersebut. 


Rajah 1. Peta Kawasan Kajian Di Dearah Sandakan, Sabah.


Populasi dan Ekonomi
Tanah Merah, Sandakan adalah salah satu lokasi yang terletak di arah barat pusat bandar Sandakan. Terdapat sebuah perkampungan nelayan di kawasan Tanah Merah ini yang menempatkan nelayan dan beberapa golongan masyarakat berlainan bangsa. Antara bangsa majoriti yang tinggal di kawasan ini adalah Cina dan Bumiputera. Selain menjadi petempatan nelayan, kawasan Tanah Merah ini juga mempunyai restoran atas air dan kilang pemprosesan sumber hasil laut. Di Tanah Merah ini juga mempunyai jeti nelayan yang mempunyai bilangan kapal pukat tunda kira-kira sebanyak 32 buah kapal. Oleh itu, dianggarkan populasi nelayan yang ada di jeti ini adalah seramai lebih daripada 150 orang. Justeru, kajian ini akan dijalankan dengan menjadikan golongan nelayan sebagai golongan sasaran kajian.

Secara umumnya, penduduk di Tanah Merah mempunyai kegiatan ekonomi berlainan kerana tidak semua penduduk yang tinggal di sana adalah bekerja sebagai nelayan. Namun, kajian ini adalah berfokuskan kepada pengusaha bot pukat tunda iaitu nelayan yang ada di Tanah Merah, Sandakan. Aktiviti perkapalan atau bot pukat tunda ini adalah melibatkan penangkapan hasil laut dengan menggunakan bot atau kapal yang dilengkapi dengan pukat dan dijalankan dengan menyeret atau menarik pukat di belakang kapal sepanjang dasar laut pada kedalaman tertentu. Oleh itu, latar belakang ekonomi pengusaha bot pukat tunda ini adalah berdasarkan aktiviti perikanan dimana hasil yang diperoleh daripada aktiviti perkapalan mereka akan dijual kepada peraih atau diproses sendiri di kilang pemprosesan yang terdapat di kawasan ini.

Kaedah Pengumpulan Data
Menurut Russo dan lain-lain (2021), data adalah sebuah maklumat berangka yang diperlukan bagi membuat suatu keputusan yang baik dalam situasi tertentu. Data juga adalah fakta empirikal yang dikumpulkan oleh pengkaji bagi tujuan merungkai permasalahan dan menjawab persoalan yang wujud. Banyak kaedah yang boleh digunakan bagi mendapatkan data yang diperlukan oleh pengkaji. Oleh itu, kaedah pengumpulan data yang digunakan meliputi data primer sahaja. Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan kaedah temubual secara bersemuka dan mendalam (in depth interview) bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan. Seramai empat orang informan dipilih yang terdiri daripada pemilik dan pekerja bot pukat tunda di lokasi kajian iaitu Tanah Merah. Temubual dalam kajian ini menggunakan kerangka soalan yang berbentuk terbuka (open-ended interview). Temu bual terbuka (open-ended interview) akan dijalankan terhadap informan yang telah dipilih bagi mendapatkan data yang diperlukan dalam mennjalankan kajian ini. Jenis temu bual yang digunakan dalam kajian ini adalah temu bual kelompok dimana beberapa orang informan dariapada kelompok pengusaha bot pukat tunda dipilih berdasarkan ciri-ciri yang berkaitan.

Kaedah pemerhatian juga dijalankan oleh pengkaji bagi mengetahui mengenai cara pengoperasian bot pukat tunda ini dijalankan semasa pandemik COVID-19 berlaku. Ini dilakukan dengan pengkaji datang ke lokasi kajian bagi melakukan tinjauan dan pemerhatian secara langsung dan dilakukan secara berkala mengikut tempoh tertentu.

Kaedah Analisis Data
Kaedah analisis data kualitatif digunakan untuk memahami atau mentafsir apa yang dinyatakan oleh informan daripada soalan temubual yang diberikan kepada informan. Penganalisisan data telah dibuat berdasarkan kepada jawapan daripada informan berdasarkan kerangka soalan. Data kualitatif yang diperolehi hasil daripada temubual dibahagikan kepada beberapa tema dan kod dalam dapatan kajian. Seterusnya, data daripada temubual tidak berstruktur dengan responden ditranskripkan dalam bentuk dialog dan dianalisis hasil daripada rakaman, dan salinan perbualan tersebut. Analisis dibuat berdasarkan tema dan kod yang telah ditetapkan yang bersandarkan kepada objektif kajian iaitu mengenalpasti impak pandemik ini kepada perusahaan bot pukat tunda dan apakah adaptasi yang diambil kesan daripada pandemik tersebut. 

DAPATAN KAJIAN

Latar Belakang Informan
Sebelum mendapatkan data utama daripada informan, pengkaji terlebih dahulu membuat catatan mengenai latar belakang dan demografi informan meliputi nama, umur, tempoh pengalaman bekerja dan status pekerjaan. Latar belakang ini akan disusun dalam bentuk jadual bagi memudahkan pengkaji mengenalpasti dan mengetahui latar belakang dan demografi informan secara lebih terperinci.

Jadual 1
Maklumat –Maklumat Informan

Jadual 1 menunjukkan maklumat mengenai lingkungan umur bagi setiap informan yang terlibat dalam temu bual dan kesemua informan adalah lelaki diamana merupakan antara pengusaha bot pukat tunda di Tanah Merah, Sandakan. Lingkungan umur terendah adalah antara 40-50 tahun dan tertinggi adalah 50-60 tahun. Tempoh pengalaman bekerja sebagai pengusaha bot bagi setiap informan dalam Jadual 1 menunjukkan bahawa terdapat perbezaan dalam tahun bagi tiap-tiap informan. Ini juga dilihat mempengaruhi respon daripada informan dan akan dibincangkan pada tema dalam dapatan kajian. Dengan kata lain, kesemua informan adalah masih aktif dalam status pekerjaan sebagai bot pukat tunda.

Impak Pandemik COVID-19 Terhadap Pengusaha Bot Pukat Tunda
Tema pertama adalah berkaitan impak pandemik kepada pengusaha bot pukat tunda. Oleh itu, dalam tema ini akan memfokuskan kepada mengenal pasti bagaimana pandemik COVID-19 memberi impak kepada pengusaha bot pukat tunda di Tanah Merah, Sandakan. Rata-rata informan menunjukkan pengetahun yang sederhana dan tinggi bagi kata isu utama dalam tema iaitu mengenai impak pandemik COVID-19. Ini dibuktikan melalui hasil jawapan daripada informan yang menyatakan:

“Yang saya tahulah, ini COVID ni start masa yang kerajaan umum pelancong bawa masuk itu virus dari China kan. Lepas itu baru di umum jadi pandemik sudah. Macam-macam lah berita pasal virus ini time tu, cuma saya masih kurang peduli lah. Saya sangka biasa saja”.
(Rosli, 40-an)

“Saya tidak tahu banyak sebenarnya pasal pandemik ni semua. Tapi apa yang saya tahu, memang ni COVID-19 bahaya buat kita sebab cepat betul merebak. Tengoklah kes-kes sebelum ni kan. Mungkin sebab itu kerajaan buat PKP baru-baru ni satu”.
(Sudin, 50-an)

“Pandemik COVID-19 ni jadi tidak disangka-sangka lah. Apa yang saya tahu dia memang bahaya untuk kesihatan COVID-19 ni bukan bahayakan kesihatan kita saja, pendapatan kita pun ikut terjejas. Masa pandemik COVID-19 tu susah kita mau buat semua benda, sebab terhad kan. Jadi kami yang nelayan ni yang perlu turun ke laut memang kesusahan juga. Mana mahu cari pendapatan kalau tidak ke laut.”
(Omar, 50-an)

“Pandemik COVID-19 ni timbul masa awal tahun 2020 tu kan. Hujung tahun 2019 tu saya mula dengar-dengar sudah di berita pasal ni semua, tapi saya sangka macam penyakit biasa saja sebab kes yang ada pun dari luar negara juga kan.”
(Musa, 40-an)

Selain itu, dapatan temu bual telah dibahagikan mengikut subkod yang ditetapkan dimana ianya bagi memudahkan penentuan tahap impak pandemik COVID yang dialami oleh pengusaha bot iaitu informan. Oleh itu, kod bagi tema ini adalah Impak Pandemik COVID-19, manakala subkodnya adalah seperti berikut:

(1) Kelangsungan ekonomi
Di bawah isu kelangsungan ekonomi ini, soalan yang diberikan kepada informan adalah berkaitan dengan impak pandemik kepada kelangsungan ekonomi mereka. Soalan tersebut adalah “Sebagai pengusaha bot, adakah pandemik COVID-19 ini telah memberikan impak kepada perusahaan bot pukat tunda ini? Dan apakah reaksi tuan terhadap situasi ini?”. Informan menyatakan bahawa:

“Memang pandemik COVID ni beri kesan kepada orang macam kami yang memang bergantung dengan hasil dari kapal saja. Pendapatan kami pun bukan sama sudah macam sebelum tiada COVID ni. Masa awal pandemik COVID tu datang, saya tidak berapa peduli juga sebab saya sangka tidak beri kesan juga sama kami, kan dia pasal kesihatan saja. Lepas macammacam kerajaan sekat tu, memang rasa terbeban juga sebab pendapatan tetap kita pun tiada sudah.”
(Rosli, 40-an)

“Betul, pandemik COVID ni bukan bahayakan nyawa saja, kami ni pun ikut terjejas satu kali. Banyak betul sudah kami lalui ni masa-masa PKP haritu lagi. Jadi memang susah lah kami rasa lagi-lagi pendapatan kami..”
“Iya saya punya pendapatan dari ni kapal sajalah. Saya ada dua kapal, alhamdulillah boleh juga pendapatan bulan-bulan saya dapat. Tapi itu sebelum COVID tu lah, memang lancar saja pendapatan kapal saya tiap bulan”.
(Sudin, 50-an)

Ini menunjukkan bahawa pengusaha ini memang mendapat impak daripada pandemik ini terutama dalam melibatkan ekonomi mereka diamana ianya banyak menjejaskan pendapatan mereka. Menerangkan perkara ini, beberapa kenyataan diambil daripada informan iaitu:

“Macam saya bilang tadi, kalau saya ni yang memang bergantung dengan hasil pendapatan kapal saja, memang agak terjejas juga lah. Sebab masa PKP yang dibuat haritu, macam-macam di sekat, jadi orang saya yang bawa kapal ni pun tidak boleh buat apa-apa, apa lagi ke laut. Sebab time tu semua kena sekat, mau bergerak pun susah kan apa lagi mau ke laut. Jadi pendapatan tu memang tiada lah, sebab kalau kapal berlayar ke laut tangkap hasil, baru ada pendapatan”
(Rosli, 40-an)

“Kalau dari pendapatan, memang betul terjejas pendapatan kita.Tapi saya rasa semua pun jadi begitu, sebab memang masa hari tu kita tidak boleh bekerja macam biasa kan. Kebanyakan kerja dari rumah saja. Kalau yang kerja kerajaan betul lah boleh kerja dari rumah, kalau nelayan ni tidak boleh. Kena ke laut juga, jadi ada terjejas juga pendapatan tu.”
(Musa, 40-an)

Hasil jawapan dan respon daripada kesemua informan memperlihatkan bahawa pandemik COVID-19 yang melanda ini telah banyak menjejaskan mereka dimana impaknya terpaksa ditanggung oleh golongan ini ekoran kebergantungan mereka kepada aktiviti perusahaan bot pukat tunda sahaja. Semua perolehan pendapatan adalah daripada hasil perusahaan bot pukat tunda yang mereka jalankan. Namun, tidak disangkal satu daripada lima responden iaitu Encik Sudin yang menyatakan bahawa beliau tidak terlalu terkesan dari segi ekonomi terutamanya melibatkan pendapatan kerana mempunyai sumber pendapatan lain.

(2) Pengurangan pekerja
Seterusnya adalah mengenai isu pengurangan pekerja dimana semasa tempoh pandemik. Kerajaan ada menetapkan SOP yang ketat dimana hanya 50 peratus iaitu separuh daripada pekerja sahaja dibenarkan bekerja dalam sektor atau bidang tertentu. Namun, penetapan ini tidak kekal dan hanya dilaksanakan semasa tempoh PKPD dan PKPB sahaja. Oleh itu, berikut adalah pernyataan yang diberikan oleh informan:

“Lepas kerajaan buat peraturan begitu, saya pun risau juga pasal pekerja saya. Kalau pendapat saya, tidak wajar lah kasi kurang pekerja apalagi untuk kami ni yang bekerja di laut juga. Sebab peraturan begitu, ada pekerja yang tidak mahu ke laut sudah lagi-lagi juragan. Sebab kerja di kapal ni perlu tenaga ramai. Jadi lepas saja kerajaan buat peraturan begitu, saya ambil keputusan tidak arahkan pekerja ke laut dulu sebab saya fikir soal kos, memang akan rugi sebab hasil kurang kalau pekerja kami kurang.”
(Rosli, 40-an)

“Ya masa PKP itu hari pun macam-macam bah kena sekat. Mahu tidak mahu memang terpaksa kita duduk di rumah saja. Pekerja saya sampai ada yang berhenti sebab memang tidak boleh jalan ke laut juga. Saya pun tiada pilihan lah, mahu bayar gaji pun tidak dapat sebab pendapatan tiada, kapal tidak boleh berlayar”
(Sudin, 50-an)

“Kerajaan ada buat peraturan pekerja yang bekerja mesti tidak lebih separuh. Contohnya kalau kapal saya ada enam orang pekerja, tiga orang saja yang dibenarkan. Manalah pekerja saya mampu kerja kalau tiga orang saja, sebab kerja kapal ni perlu banyak tenaga ,jadi mesti ramai orang.”

“Jadi disebabkan peraturan sudah begitu, saya pun terpaksa ikutlah. Saya tidak benarkan dulu pekerja pergi ke laut dengan orang yang sedikit begitu, sebab saya risau juga diorang kesusahan masa di laut nanti. Lagi-lagi kapal besar ni, mau banyak orang juga.”

“Saya buat begitu supaya tidaklah rugi nanti. Kos minyak saja berapa sudah, kalau belayar bertiga saja ke laut paling dua tiga hari saja diorang dapat menunda. Hasil pun memang sikit saja lah.”
(Omar, 50-an)

Informan menyatakan bahawa disebabkan penetapan sedemikian, terdapat pengusaha yang mengambil keputusan untuk tidak berlayar ke laut kerana mengelakkan kerugian kerana kekurangan hasil.

DISKUSI

Objektif kajian daripada persoalan yang timbul iaitu bagaimanakah pandemik COVID-19 ini memberi impak kepada pengusaha bot pukat tunda? Oleh itu, dalam kajian ini, objektif kajian adalah untuk mengenal pasti bagaimana pandemik COVID-19 memberi impak kepada pengusaha bot pukat tunda di lokasi kajian.

Penulisan lepas menyatakan bahawa walaupun COVID-19 tidak mempunyai kesan langsung terhadap aktiviti perikanan, kerana tidak ada sekatan untuk nelayan, ia telah menghasilkan kesan mendalam dan berpanjangan terhadap sektor perikanan di banyak cara yang berbeza. Penutupan restoran, kerana perintah berkurung langkah-langkah, di satu pihak, dan krisis kewangan dan ekonomi, digabungkan dengan keutamaan kepada makanan jangka panjang dengan sebahagian besar penduduk untuk mengurangkan pergerakan sebanyak mungkin, menentukan penurunan permintaan makanan laut yang kukuh (Ruso dan lain-lain, 2021).

Namun melalui dapatan kajian yang diperoleh pengkaji adalah sedikit berbeza dimana dapat dilihat bahawa pandemik COVID-19 ini memberikan impak yang ketara kepada pengusaha bot pukat tunda di Tanah Merah. Pengusaha yang kebanyakannya bekerja sebagai pengusaha bot sepenuh masa menghadapi kesulitan terutama impak pandemik COVID-19 ini. Pelaksanaan peraturanperaturan baharu semasa pandemik ini menyukarkan golongan pengusaha ini menjalankan kerja seperti kebiasaan.

Selain itu, terdapat juga perubahan terhadap sosiobudaya para pengusaha dan nelayan di kawasan kajian. Pemerhatian pengkaji mendapati bahawa pelaksanaan norma baharu turut mempengaruhi cara bersosial para nelayan di Tanah Merah, Sandakan. Ini juga dapat dilihat salah sebuah impak yang melibatkan pengusaha bot pukat tunda. Selain daripada impak ekonomi yang dihadapi, para nelayan juga turut mengalami perubahan terhadap sosiobudaya mereka ekoran pelaksanaan norma baharu tersebut. Sebelumnya, aktiviti sosial yang kebiasaan dilakukan oleh para nelayan adalah dengan meluangkan masa lapang secara berkumpul sesama mereka di jeti selepas melakukan kerja-kerja di bot mereka. Namun jika dilihat, ianya mengalami sedikit perubahan dimana mereka terpaksa mengurangkan masa di luar memandangkan terpaksa mematuhi beberapa peraturan serta norma baharu kerana setiap daripada mereka juga mementingkan kesihatan dan keselamatan keluarga masing-masing di rumah.

Justeru, dapat disimpulkan bahawa pandemik COVID-19 ini mendatangkan impak yang ketara kepada pengusaha bot pukat tunda berikutan sekatan seperti pengurangan pekerja yang dilakukan semasa tempoh kawalan pergerakan. Ianya sekaligus menyebabkan pengusaha terkesan terutama melibatkan kelangsungan ekonomi mereka. Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa pandemik COVID-19 ini telah memberi impak secara langsung kepada pengusaha bot pukat tunda di Tanah Merah, Sandakan terutama dari segi pendapatan mereka yang mempengaruhi kelangsungan ekonomi semasa pandemik COVID-19.

KESIMPULAN 

Impak pandemik yang dialami oleh pengusaha bot pukat tunda di Tanah Merah, Sandakan adalah ketara dan secara langsung. Walaupun tempoh impak tersebut dialami adalah tidak dipastikan, namun ianya masih dibuktikan bahawa impak tersebut adalah ketara. Faktor disebalik impak tersebut berkemungkinan disebabkan oleh pengusaha bot pukat tunda ini adalah di bawah kategori nelayan sederhana. Oleh itu, tahap kebergantungan sepenuhnya kepada aktiviti bot pukat tunda ini menjadi salah satu sebab mereka merasai impak tersebut secara langsung semasa pandemik COVID-19 melanda negara. Walaupun sekatan terhadap sektor perikanan pada tempoh pandemik adalah tidak terlalu lama, namun kesukaran terutama dari segi kelangsungan ekonomi masih dirasai oleh pengusaha bot pukat tunda di Tanah Merah, Sandakan. Perkara ini dapat dibuktikan melalui pengalaman sepanjang tempoh pandemik yang dinyatakan oleh pengusaha bot pukat tunda.

Walaupun persepsi yang diberikan agak sedikit berbeza antara mereka, namun pengalaman yang dinyatakan berdasarkan peristiwa lepas jelas menunjukkan bahawa pandemik COVID-19 ini mendatangkan impak ketara kepada pengusaha bot pukat tunda di Tanah Merah, Sandakan. Oleh itu, berdasarkan pengalaman tersebut wujud bentuk adaptasi yang diambil dimana satu adaptasi yang digunakan adalah menjadikan pengalaman lepas sebagai panduan kepada mereka bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada waktu akan datang. Impak pandemik yang dilalui sebelum ini adalah pengalaman kepada pengusaha bot pukat tunda ini. Justeru bagi mengatasinya beberapa amalan atau langkah sesuai diambil oleh pengusaha bot pukat tunda ini agar impak pandemik COVID-19 ini tidak terus dialami dan menjejaskan kelangsungan ekonomi mereka.

PENGHARGAAN

Pengarang ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pusat Pengurusan Penyelikan (PPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menanggung kos penyelidikan dan penerbitan artikel akademik ini.

RUJUKAN

Eichelberger, S., Heigl, M., Peters, M., & Pikkemaat, B. (2021). Exploring the role of tourists: Responsible behavior triggered by the COVID-19 pandemic. Sustainability, 13(11), 5774.

Gascon, J., & Mamani, K. S. (2022). Community‐based tourism, peasant agriculture and resilience in the face of COVID‐19 in Peru. Journal of Agrarian Change, 22(2), 362-377.

KRISTIANA, Y., PRAMONO, R., & BRIAN, R. (2021). Adaptation strategy of tourism industry stakeholders during the COVID-19 pandemic: A case study in Indonesia. The Journal of Asian Finance, Economics and Business, 8(4), 213-223.

Kusnadi, K. (2010). Kebudayaan masyarakat nelayan. Direktorak Jenderal Kebudayaan: BPNB D.I. Yogyakarta.

Mat, N., Misron, M. F., Abdullah, N. A., & Alias, J. (2021). Pandemik Covid-19: Kesan Terhadap Gelagat Pengurusan Perbelanjaan Semasa Masyarakat Malaysia. Jurnal Personalia Pelajar, 24(2).

MAZARI, A. (2022). IMPACT OF FAKE NEWS ON PEOPLE IN THE PAST AND DURING THE COVID-19 PANDEMIC. Quantum Journal of Social Sciences and Humanities, 3(4), 62-68.

Mohd Ariff, M. R. (2009). Perusahaan pukat tunda di Semenanjung Malaysia (1965-2005):" Ditelan mati emak di luah mati bapak". In: Seminar Serantau Sejarah Dalam Pembangunan Negara p.1-21.

Othman, N., Latip, A. R. A., & Sa’at, N. H. (2019). Fasa Peralihan Nelayan Laut Dalam serta Kesan ke atas Ekonomi, Sosiobudaya dan Persekitaran. Akademika, 89(2), 00kand1.

Pérez, F. R., & Vina, M. (2021). From below and from within: fishing communities under the COVID-19 pandemic and other globalizations in southern Manabí, Ecuador. Territory, Politics, Governance, 1-20.

Rahman, S. (2021). Borderland without Business: The Economic Impact of Covid-19 on Peninsular Malaysia’s Southernmost State of Johor.

Rosantika, P. M., & Swasto, D. F. (2021). STRATEGI ADAPTASI MASYARAKAT NELAYAN PASCA PENATAAN PERMUKIMAN DI KELURAHAN SUMBER JAYA BENGKULU. JURNAL RISET PEMBANGUNAN, 4(1), 13-25.

Russo, E., Anelli Monti, M., Toninato, G., Silvestri, C., Raffaetà, A., & Pranovi, F. (2021). Lockdown: How the COVID-19 pandemic affected the fishing activities in the Adriatic Sea (central Mediterranean Sea). Frontiers in Marine Science, 1083.

Susilo, A., Rumende, C. M., Pitoyo, C. W., Santoso, W. D., Yulianti, M., Herikurniawan, H., ... & Yunihastuti, E. (2020). Coronavirus disease 2019: Tinjauan literatur terkini. Jurnal penyakit dalam Indonesia, 7(1), 45-67.

Vandergeest, P., Marschke, M., & MacDonnell, M. (2021). Seafarers in fishing: A year into the COVID-19 pandemic. Marine Policy, 134, 104796.

Zwan Abdullah (2021). Harian Metro. COVID-19: Peraih ikan cetus kluster nelayan di Pitas.