Thursday, December 15, 2022

Cabaran dan Inisiatif Usahawan Pelancongan Skala Mikro dalam Menghadapi Pandemik Covid-19 di Daerah Ranau, Sabah

ABSTRAK
Pelancongan boleh dikatakan salah satu alternatif sektor industri yang menyumbang pendapatan keada Negara Malaysia serta berkeupayaan untuk memperkenalkan sesuatu tempat menarik yang tersorok di sesuatu tempat sehingga ke peringkat dunia. Secara tidak langsung, keadaan ini mampu mengurangkan jurang kemiskinan dalam kalangan penduduk tempatan. Kajian penyelidikan ini dijalankan adalah bertujuan untuk mengkaji inisiatif usahawan pelancongan skala mikro dalam menanganinya di Daerah Ranau, Sabah. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif iaitu melalui kaedah temu bual. Dapatan kajian menunjukkan bahawa dalam kalangan pengusaha pelancongan mikro di daerah Ranau mendapati kebanyakkan daripada mereka amat terkesan dengan Pandemik COVID-19 ini. Di samping itu, kajian ini juga berjaya mengumpul dan menemukan beberapa dapatan penting berhubung dengan cabaran-cabaran serta inisiatif-inisiatif yang perlu dihadapi oleh usahawan pelancongan skala mikro dalam menangani pandemik COVID-19 di Daerah Ranau, Sabah. Kesimpulannya, walaupun pelbagai kekangan yang perlu dihadapi oleh penyelidk, namun penyelidik tidak putus asa terutama dalam mendapatkan informan-informan yang sudi untuk ditemubual secara online oleh penyelidik.

Kata Kunci: Cabaran-Cabaran, COVID-19, Informan, Inisiatif-Inisiatif, Pelancongan Skala Mikro

ABSTRACT
Tourism can be said to be one of the alternative industrial sectors that contribute income to Malaysia and have the ability to introduce something interesting that is hidden somewhere to the world level. Indirectly, this situation can reduce the poverty gap among the local population. This research study was conducted with the aim of studying the initiatives of micro-scale tourism entrepreneurs in dealing with it in Ranau District, Sabah. This study uses a qualitative method that is through the interview method. The findings of the study show that among the micro tourism operators in the Ranau district, most of them are greatly affected by the COVID-19 Pandemic. In addition, this study also managed to collect and find some important findings in relation to the challenges and initiatives that micro-scale tourism entrepreneurs have to face in dealing with the COVID-19 pandemic in Ranau District, Sabah. In conclusion, despite the various constraints that the researcher has to face, the researcher does not give up, especially in getting informants who are willing to be interviewed online by the researcher.

Keywords: Challenges, COVID-19, Informants, Initiatives, Micro-Scale Tourism

PENGENALAN

Pandemik ini merupakan sebuah ancaman yang utama kepada kesihatan pada masa ini. Hal ini kerana, kewujudan Novel Coronavirus yang telah bermula di Wuhan, China ini dan dengan cepat menular ke seluruh dunia. World Health Organization (WHO) telah mengeluarkan sebuah kenyataan mengenai wabak penyakit COVID-19 yang berpunca daripada sindrom pernafasan yang teruk Koronavirus 2 (SARS-Cov-2). Pesakit yang menghidap jangkitan COVID-19 ini akan mempunyai satu simptom pada peringkat awal seperti pening kepala, sakit badan, batuk, demam dan sukar bernafas serta meningkat pada peringkat yang lebih teruk dan sekiranya rawatan yang diberikan lewat maka ianya akan mengakibatkan kematian kepada individu tersebut. Wabak ini juga telah menjadi punca peningkatan kadar kematian yang mendadak terutamanya dalam kalangan golongan warga tua (Kunz, 2021; Berita Harian, 2020).

Tambahan pula, Industri pelancongan di Sabah yang mencatat rekod hasil tertinggi dalam sejarah pada tahun 2018 dengan kutipan hasil sebanyak RM8,342 bilion. Namun begitu, merebaknya Pandemik COVID-19 sejak bulan Januari 2020 telah menjadi sebuah mimpi ngeri kepada semua pengusaha industri pelancongan dalam negara kita. Oleh itu, pihak kerajaan telah mempelbagaikan inisiatif untuk memastikan bukan sahaja wabak ini dihapus segera malah membantu kelangsungan hidup rakyat supaya dapat diteruskan seperti sebelum adanya wabak COVID-19 tersebut. Ringkasnya, Industri pelancongan merupakan industri yang terawal terjejas ketika pelaksanaan PKP serta yang paling lambat pulih selepas PKP ditamatkan. Khususnya Industri pelancongan domestik di Sabah seperti pelancongan skala mikro (Sihes dan Razak, 2008).

Sesungguhnya, pelbagai inisiatif telah dilakukan sendiri daripada pihak kerajaan dan juga para usahawan pelancongan skala mikro di daerah Ranau untuk dapat terus bertahan semasa pandemik COVID-19. Usaha mereka ini adalah supaya sumber pendapatan pengusaha pelancongan skala mikro akan tetap ada walaupun masa Pandemik COVID-19. Namun dalam adanya usaha para usahawan mereka ini, ianya tidak seperti sebelum adanya wabak ini kerana masih juga tertakluk dengan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membantu mengawal peningkatan penularan wabak COVID-19 ini. Dengan ini, bagi mengatasi peningkatan penularan wabak COVID-19, kerjasama antara pihak kerajaan dengan masyarakat amatlah diperlukan agar terhindar dari wabak COVID-19.

Persoalan timbul dengan apakah inisiatif yang dilakukan usahawan pelancongan skala mikro dalam menanganinya di Ranau? Dan apakah cabaran yang dihadapi oleh usahawan skala mikro dalam menangani pandemik COVID-19? Dengan wujudnya persoalan ini, maka kajian ini dijalankan untuk meneliti inisiatif-inisiatif usahawan pelancongan skala mikro dalam menanganinya, dan mengkaji cabaran yang akan dihadapi oleh usahawan pelancongan skala mikro semasa Pandemik COVID-19 di Daerah Ranau, Sabah.

KAJIAN LITERATUR

Impak dan Kesan Pandemic COVID-19 kepada Negara Membangun
Pandemik Covid-19 telah menyebabkan pelbagai impak yang sangat ketara dalam sesebuah negara. Hal ini kerana, ianya mendatangkan pelbagai kesan secara langsung kepada sumber ekonomi dan sosial dalam sesebuah negara. Antaranya kesan paling ketara ialah kesan terhadap sektor ekonomi dan pekerjaan terjejas. Menurut Sihes dan Razak (2008) lebih 190,000 usahawan wanita yang kebanyakannya terbabit dalamperniagaan mikro dan sektor perkhidmatan turut terjejas disebabkan pandemik COVID-19. Malah, semasa wabak ini mula menular terdapat syarikat yang berdepan tempoh sukar sehingga menjejaskan pembayaran gaji dan perkara yang lebih menakutkan membuatkan ramai pekerja diberhentikan khidmat serta-merta.

Selain itu di Malaysia pula, sektor ekonomi yang besar seperti pengangkutan, perhotelan, dan pelancongan terpaksa ditutup operasinya secara total semasa wabak ini menular. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa pandemic ini memberika impak yang sangat besar terutama sekali bagi negara-negara membangun seperti Malaysia. Menurut Tajim (2021) kaedah sekatan pergerakan dilihat sebagai satu pendekatan terbaik untuk mengawal penyebaran wabak berjangkit seperti coronavirus. Kenyataan ini jelas membuktikan bahawa situasi yang sama berlaku di negara Malaysia, di mana wabak ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan nyawa, namun turut memberikan impak langsung kepada hampir semua jenis sektor pekerjaan di negara kita.

Bagi mereka yang bekerja dan berpendapatan, serba sedikit mungkin tidak mempunyai masalah untuk berbelanja. Namun bagi mereka yang dibuang kerja dan tidak berpendapatan, mungkin akan merasa sukar untuk mengharungi masalah semasa pandemik Covid-19 bahkan setiap individu mungkin berhadapan tekanan berbeza disebabkan ketidaktentuan tempoh pandemik ini berlaku dan perkara ini yang menjadi keresahan rakyat termasuklah golongan majikan dan pekerja terhadap pekerjaan dan pendapatan mereka (Irawan dan lain-lain, 2022; Suminah dan lain-lain, 2022; Utomo dan lain-lain, 2022; Widiastuti dan lain-lain, 2022; Jain dan lain-lain, 2021; Dexbury dan lain-lain, 2020; Ahmad dan Ibrahim, 2011). Oleh hal yang demikian, perkara ini tidak mustahil boleh berlaku semasa wabak ini terus menular dan mengakibatkan ramai pekerja dibuang dan tidak berpendapatan secara terus menerus.

Masalah Pelancongan di Malaysia
Dalam adanya keindahan pelbagai jenis pelancongan yang ada di dalam negara ini, terdapat juga beberapa masalah yang timbul yang tidak dapat dielakkan berlaku seiring meningkatnya pusat pelancongan di Malaysia. Menurut Fauziah Che Leh (2016) dalam kajiannya yang bertajuk “Pelancongan bandar dan isu keselamatan: Kajian kes pelancong antarabangsa Kuala Lumpur” Industri pelancongan merupakan antara industri paling terdedah kepada proses globalisasi. Ini kerana globalisasi menyebabkan sektor pelancongan berkembang dengan pantas dan mempengaruhi pelbagai aspek termasuklah sosio politik dan kewangan di sesebuah negara.

Masalah pelancongan yang utama di Malaysia adalah isu jenayah dan keselamatan para pelancong dalam dan luar negara semasa berkunjung ke sesuatu destinasi pelancongan yang mereka minati. Menurut Mohd Jamil Patah (2022), Jenayah merupakan satu perbuatan yang menyalahi dan melanggar undang-undang yang wujud di sesuatu tempat atau negara. Jenayah ini juga merupakan kebimbangan utama orang awam dan masih belum ada kaedah yang sempurna untuk membanteras jenayah secara keseluruhan. Walaupun jenayah besar dilakukan pada setiap hari, namun bukan semua kes dilaporkan oleh orang awam dan direkodkan oleh pihak polis. Mangsa mungkin tidak melaporkan jenayah yang berlaku ke atasnya disebabkan pelbagai alasan. Mereka mungkin menganggap jenayah yang berlaku perlu dirahsiakan atau merupakan urusan peribadi. Malah mereka mungkin fikir jenayah itu bukan perkara penting atau bimbang terhadap sebarang tindak balas (Mazari, 2022; Mohd Jamil Patah, 2022).

Kebimbangan terhadap berlakunya jenayah menyebabkan ramai pelancong berasa terancam dan seterusnya kurang melawat ke lokasi pelancongan yang berkemungkinan berlakunya jenayah. Kebimbangan berlakunya jenayah boleh mewujudkan perasaan tidak selamat kerana kemungkinan menjadi mangsa dalam pemikiran individu. Kebiasaannya, pelancong akan membuat satu tanggapan terlebih dahulu terhadap destinasi pelancongan sebelum pergi melancong (Fauziah Che Leh, 2016). Dalam hal ini, faktor keselamatan menjadi faktor utama dalam pemilihan destinasi pelancongan. Pelancong sering kali memilih kawasan yang terkenal dan terdekat sebagai destinasi pelancongan tetapi pada masa yang sama mereka juga akan mengelak untuk berada di kawasan yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi dan mempunyai ketidakstabilan politik (Mohd Jamil Patah, 2022). Kebimbangan terhadap jenayah mewujudkan kesan negatif sosial, dan ianya akan menyebabkan seseorang berasa khuatir dan takut setiap masa.

INSTRUMEN DAN METODOLOGI 

Lokasi Kajian
Rajah 1 menunjukkan lokasi kajian yang dijalankan oleh penyelidik. Lokasi kajian ini ditumpukan di sekitar Daerah Ranau iaitu di beberapa kawasan Pelancongan Skala Mikro yang ada Daerah Ranau, Sabah. Ranau ialah sebuah daerah yang terletak Bahagian Pantai Barat Utara Negeri Sabah, Malaysia. Daerah Ranau terletak di antara garisan lintang (Latitude) 5° 30’ U dan 6° 25’ U dan garisan bujur (Longtitude) 116° 30’ dan 117° 5’ T dan di kelilingi oleh 7 buah daerah lain iaitu Tuaran, Kota Belud, Tambunan, Keningau, Kinabatangan, Beluran dan Kota Belud. Keluasan daerah Ranau pada masa awalnya ialah 294,224 hektar atau 1978.5 km persegi. Walau bagaimanapun, apabila perubahan persempadan baru yang melibatkan daerah Tambunan dan Beluran diluluskan, maka luas daerah Ranau akan bertambah kepada 3555.9 km persegi. Ranau adalah sebuah daerah pelancongan yang terkenal di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.


Rajah 1. Kawasan Kajian Di Ranau, Sabah.

Populasi dan Persampelan
Menurut Marican (2006), kajian populasi adalah sekelompok orang, keluarga, kumpulan, organisasi, Komuniti, peristiwa, objek atau apa sahaja yang berkaitan dengan kejadian yang mempunyai kualiti yang sama dengan sesuatu yang akan diteliti dan dikaji. Manakala persampelan adalah pemilihan sekumpulan populasi untuk dijadikan sampel yang mewakili kumpulan itu. Dalam mana-mana proses persampelan, unit persampelan adalah merupakan elemen yang dipertimbangkan untuk dipilih sebagai sampel. Populasi kajian ini adalah informan pengkaji seperti pemilik syarikat, pengurus, dan pekerja.

Persampelan bertujuan merupakan salah satu bentuk persampelan bukan keberangkalian. Persampelan bertujuan merujuk kepada proses memilih sesuatu sampel dari populasi berdasarkan objektif kajian. Dalam persampelan ini, pengkaji perlu menggunakan pertimbangannya sendiri untuk memilih informan yang paling sesuai dengan tujuan kajian. Kaedah persampelan yang digunakan dalam kajian ini dikenali sebagai persampelan bertujuan. Persampelan bertujuan digunakan oleh pengkaji adalah merupakan strategi yang biasa digunakan dalam penyelidikan jenis tindakan. Dalam pendekatan ini, penyelidik memilih informan yang bersesuaian dengan objektif kajian. Persampelan bertujuan dilakukan untuk memberikan gambaran awal mengenai bidang penyelidikan yang akan diterokai.

Kaedah Pengumpulan Data
Pengkaji menggunakan sumber primer untuk mendapatkan maklumat yang amat diperlukan untuk melaksanakan tugasan ini secara langsung. Pengumpulan data primer dalam kajian ini adalah melalui temu bual bersama informan iaitu secara bersemuka dengan secara dalam talian bagi mendapatkan data dan maklumat yang sesuai dengan objektif kajian. Temu bual adalah salah satu perbualan antara pihak yang menemu bual dan pihak yang ditemu bual. Pengkaji akan menggunakan kaedah temu bual ini dengan menemu bual informan iaitu pengusaha pelancongan mikro. Selain itu, pengkaji mendapatkan data bukan sahaja daripada pemilik syarikat pelancongan tetapi juga melibatkan pngurus atau staff yang terlibat yang mengurus syarikat pelancongan di Ranau itu.

Temu Bual Secara Dalam Talian
Tujuan temu bual ialah untuk mendapatkan data dan pandangan para usahawan pelancongan skala mikro tentang impak dan inisiatif yang dilakukan oleh pengusaha semasa pandemik COVID-19 terhadap sektor pelancongan mikro. Sampel temu bual terdiri daripada beberapa orang usahawan (informan). Berdasarkan temu bual yang dibuat, perbualan juga telah direkod dengan menggunakan pita rakaman suara dan juga video atas kebenaran responden. Data temu bual seterusnya ditranskripsi dan ditaip dengan pengelasan mengikut nombor untuk tujuan pengekodan data. Pengekodan data sangat penting dilakukan bagi memudahkan pengkaji melakukan proses analisis seterusnya. Data yang telah ditranskripsi tadi seterusnya diasingkan mengikut topiktopik tertentu agar maklumat tidak bercampur-baur dan menimbulkan kekeliruan. Bagi temu bual jenis ini, maklumat dipersembahkan dalam bentuk huraian serta petikan percakapan daripada responden kajian.

Kaedah Analisis Data
Dalam penyelidikan kualitatif, temu bual adalah sumber utama untuk memahami kajian yang hendak dilaksanakan. Sementara itu, analisis data temu bual merujuk kepada proses mengumpulkan dan menilai data berdasarkan keseluruhan transkrip rakaman temubual tanpa meninggalkan maklumat yang didengar semasa rakaman temu bual untuk membuat pangkalan data yang jelas. Untuk menjamin bahawa maklumat dapat dinilai untuk menghasilkan kategori, dan tema yang sesuai, data harus ditukar menjadi bentuk transkrip dalam urutan yang betul. Apabila pengkaji menyelesaikan analisis setelah mengumpulkan semua data yang diperoleh, pengkategorian dan korelasi antara data akan dihasilkan secara serentak

DAPATAN KAJIAN

Latar Belakang Informan
Berdasarkan Jadual 1 menunjukkan informan dari setiap lokasi pelancongan mikro yang berbeza yang ditemubual oleh pengkaji bagi mendapatkan data kajian. 

Jadual 1
Informan Yang Ditemubual Di Pelancongan Mikro Di Ranau, Sabah.

Demografi Informan
Demografi informan ini meliputi beberapa aspek iaitu dari segi jantina informan, umur informan, dan jawatan yang dipegang, serta taraf pendidikan informan yang dipilih oleh pengkaji (Jadual 2). Demografi informan adalah bagi membantu pengkaji untuk memudahkan pembaca memahami serba sedikit secara ringkas mengenai beberapa aspek yang berkaitan dengan latar belakang informan kepada pengkaji. Aspek-aspek tersebut akan dibahagikan kepada beberapa bahagian yang akan dijelaskan melalui hasil kajian yang diperolehi oleh pengkaji sendiri.


Jadual 2
Demografi Informan.

Meneliti Inisiatif-Inisiatif Usahawan Pelancongan Skala Mikro Dalam Menanganinya Di Daerah Ranau, Sabah

Inisiatif Pemilik, Pengurus Dan Kerajaan
Melalui temu bual secara online bersama dengan informan kajian, soalan yang dibincangkan oleh pengkaji bersama informan adalah “Apakah inisiatif-inisiatif yang diambil oleh usahawan pelancongan skala mikro dalam menangani pandemik COVID19 di Ranau”. Manakala menurut informan pertama iaitu Encik Mohd. Al Hafiz yang juga merupakan pengurus di syarikat pelancongan Sosodikon Hill, Kundasang menyatakan bahawa:

“Semasa pandemik itu kan kami cuba buat marketing kerana masa pandemik semua orang kebanyakkan sibuk dengan telefon atau gadget masing-masing kerana tidak dibenarkan keluar dan ini merupakan masa yang bagus untuk buat marketing sebagai memperkenalkan lagi Sosodikon Hill kepada orang ramai. Dan kami ada juga buat Contest seperti post gambar di Sosodikol Hill dan pemenangnya dipilih melalui like gambar yang terbanyak dan kami juga buat kempen. Kemudian kami juga buat penambahbaikan di kawasan Sosodikon untuk persediaan kami selepas Pandemik ini”

Menurut Informan kedua pula iaitu Encik Affendi Henry yang merupakan seorang pengurus di syarikat pelancongan Arnab Farm Sejati telah menyatakan bahawa antara inisiatif yang dilakukannya adalah seperti berikut:

“Semasa pandemik tu kan semua pelancongan juga terpaksa ditutup jadi kami tidak terpikir mau buat apa lagi masa tu. Kami hanya memperbaiki sahaja penyelenggaraan di kawasan arnab farm dan mencantikkannya supaya apabila kerajaan membenarkan semula pelancongan beroperasi arnab farm akan lebih menarik dan ada perubahan dari sebelumnya. Dan saya cuma berharap pengunjung yang datang akan membantu kami untuk mempromosikan arnab farm ini di mana-mana media sosial yang ada”

Seterusnya, menurut informan ketiga pula iaitu Encik Sably yang merupakan pemilik kepada syarikatnya sendiri iaitu Pelancongan Sably Goat Haven telah mengatakan bahawa antara inisiatif yang dilakukannya untuk kekal bertahan semasa pandemik itu adalah seperti berikut:

“Pada mulanya, dalam masa 6 bulan itu kita tutup sepenuhnya sebab pelancong pun tiada dan memang tidak dibenarkan jalan. Jadi kan pada masa pandemik itu tiba-tiba trending ini tanam tanam bunga, dan pada waktu itu saya nampak satu peluang iaitu membuat baja berasaskan tahi kambing kemudian saya panggil kembali pekerja saya untuk memproses tahi kambing untuk dijual. Kemudian apabila kami menjual baja itu tidak disangka permintaan sangat bagus pada waktu itu. Bermula kami jual baja itu tiba tiba ada pula dari kalangan pelanggan yang bertanya kami ada jual tanah hitam ka, jadi kami pun dapat idea lagi untuk menjual tanah yang dicampur sedikit dengan tahi kambing dan syukur permintaan sangat luar biasa. Dan dari sini kami dapat sumber pendapatan untuk membayar gaji pekerja yang bekerja. Jadi itu antara kami punya inisiatif sepanjang pandemik ini”

Selain itu, menurut informan keempat pula iaitu Khadim Haji Salleh yang merupakan seorang staff atau pekerja yang bertugas sebagai penjaga tiket masuk di pusat pelancongan Mesilau Mt Retreat Strawberry, Kundasang telah mengatakan antara inisiatif yang dilakukan semasa pandemik iaitu:

“Semasa kita dalam pandemik itu sememangnya kita ada dapat bantuan dari kerajaan la seperti subsidi untuk gaji pekerja. Dan oleh kerana permintaan buah strawberi terutamnya meningkat kan, kami sekarang ada 4 farm strawberi dan masih tidak mencukupi la, jadi kami bercadang untuk menambah lagi grandhouse untuk penanaman pokok strawberi ini, ertinya kalau bertambah penanaman pokok strawberi maka bertambahlah itu pengeluarannya”.

Kemudian informan kelima pula iaitu Encik Sharifuddin Zainal yang merupakan seorang pengurus di pusat pelancongan D’Mesilau Rabbit Garden telah menyatakan bahawa inisiatif yang dia lakukan semasa pandemik untuk mengekalkan pelancongannya adalah seperti berikut:

“Kami terpaksa mencari cara lain untuk menjimatkan kos la contohnya kami ambil daun pisang dan rumput untuk bagi makanan kepada arnab tetapi ini juga perlu tenaga yang ramai juga la sebab arnab yang mahu diberi makan banyak kan. Jadi kira macam itu sajalah inisiatif yang kami buat agar terus bertahan pelancongan kami ini. Dan kedua dari segi bantuan kerajaan kami ada juga dapat bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) la dan itu sahaja dan lainlain memang tiada”.

Berdasarkan kenyataan dan jawapan daripada kesemua informan ini kepada pengkaji. Kesemua informan yang ditemu bual telah membuat inisiatif- inisiatif tersendiri untuk terus kekal bertahan semasa pandemik COVID-19 ini. Selain daripada itu juga, ada juga beberapa informan yang mendapat bantuan dari pihak pihak tertentu untuk pelancongan mereka kekal bertahan semasa pandemik ini.

Mengkaji Cabaran Yang Akan Dihadapi Oleh Usahawan Pelancongan Skala Mikro Semasa Pandemic COVID-19 Di Daerah Ranau, Sabah

Cabaran Pemilik Dan Pengurus
Menurut informan pertama iaitu Encik Mohd. Al Hafiz yang juga merupakan juga seorang pengurus di syarikat pelancongan Sosodikon Hill, Kundasang menyatakan bahawa:

“Bagi saya sebagai pengurus disini, cabaran ialah dari membuat satu pengurusan yang sistematik, kemudian dari segi meningkatkan pengetahuan mengaplikasinya kerana pelancongan pada zaman dulu dengan sekarang tidak sama dari segi pemasaran kerana sekarang pemasaranya adalah secara online saja. Jadi dia agak senang dan cabarannya di sini adalah bagaimana kita berubah kepada cara yang baru dan mengaplikasinya pada masa sekarang”.

Dalam temu bual yang dijalankan oleh pengkaji bersama informan pertama iaitu Encik Affendi Henry mengenai cabaran semasa pandemik ini telah menyatakan bahawa:

“Cabaran yang sangat sukar dihadapi ketika masa pandemik itu ialah pergerakan dihadkan seperti tidak bebas keluar begitu sebab perniagaan kami ini adalah bergantung kepada kedatangan pelancong, maksudnya ada pelancong maka adalah pendapatan dalam syarikat pelancongan kami ini. Dan saya rasa itulah cabaran utama kami la semasa pandemik COVID-19 ini”

Informan ketiga pula iaitu Encik Sably yang merupakan pemilik kepada syarikatnya sendiri iaitu Sably Goat Haven menyatakan cabaran yang dihadapinya iaitu:

“Pada waktu pandemik cabaran yang betu betul saya rasa mencabar adalah pada waktu awal-awal pandemik sahaja sebab pada waktu itu tidak dibenarkan untuk keluar, sedangkan kita tahu kambing ini hari hari kita perlu bagi makan juga, jadi mahu tidak mahu terpaksa keluar dan pada waktu itu juga hanya dibenarkan seorang sahaja dalam satu kereta jadi agak sengsara sedikitlah kerana terpaksa bekerja sendiri sahaja, kedua pada awal awal pandemik kan semua kedai kedai ditutup kecuali kedai untuk keperluan harian seperti kedai tempat membeli keperluan harian. Jadi pada waktu itu sumber makanan tambahan bagi kambing iaitu baja kambing pun susah mahu dapat dan pada waktu pandemik ini terus terang kambing saya sangat kurus kerana tidak cukup nutrisi disebabkan tiada makanan tamabahan. Kemudian waktu pandemik juga langsung tiada penjualan kambing dilakukan bermakna kita terpaksa kasi keluar duit simpanan yang ada la untuk membeli makanan kambing dan tamping gaji pekerja. Jadi saya rasa inilah cabaran la semasa pandemik iaitu sumber tenaga kerja dan kedua bekalan sumber makanan kambing dan ketiga tiada penjualan kambing”

Seterusnya menurut informan keempat pula iaitu Khadim Haji Salleh yang merupakan seorang staff di pusat pelancongan Mesilau Mt Retreat Strawberry, Kundasang menyatakan bahawa:

“Cabaran itu, bagi saya tidak berapa sangatlah, memang ada juga cabaran la terutama sekali macam pematuhan SOP la seperti menghadkan pengunjung yang masuk, ini kerana ramai pengunjung yang pertikaikan kenapa begini kemasukan dihadkan tapi kita explain la sebab ini bukan kehendak kita ini kehendak kerajaan yang mana sudah ditetapkan dalam SOP, so kita ikut arahan itulah, dan kita bukan suka-suka buat begitu. Dan kita juga kena pikirkan tentang keselamatan dan kesihatan juga untuk keselesaan bersama la”

Informan kelima pula iaitu Encik Sharifuddin Zainal yang merupakan seorang pengurus di pusat pelancongan D’Mesilau Rabbit Garden menyatakan bahawa antara cabaran yang dihadapinya iaiah:

“Bagi saya kan, salah satu cabaran ialah susah bergerak la dan semasa pandemik itu dan kami terpaksa oder secara online untuk membeli ubat ubatan, kemudian untuk mengambil barang itulah dan membeli baja yang sangat mencabar semasa pandemik kerana ada masa masanya kita memang tidak dibenarkan untuk keluar kan kerana ada sekatan di jalanan jadi itulah cabaran semasa pandemik itu”

Berdasarkan kenyataan dan jawapan daripada kesemua informan di atas, terdapat pelbagai cabaran yang telah dijelaskan oleh mereka. Menurut informan pertama cabaran semasa pandemik ini adalah dari segi kebebasan iaitu pergerakan pada masa pandemik dihadkan jadi ini akan menyebabkan pusat pelancongan pada masa itu akan sangat terjejas teruk. Selain itu menurut informan kedua pula antara cabaran baginya ialah membuat satu pengurusan yang sistematik semasa pandemik ini, dan mereka juga terpaksa mempelajari bagaimana beradaptasi dengan media sosial bagi mempromosikan pelancongan semasa pandemik ini. Seterusnya menurut informan ketiga menyatakan cabaran semasa pandemik ialah kekurangan sumber tenaga kerja dan kedua kekurangan bekalan sumber makanan kambing dan yang ketiga tiada penjualan kambing. Manakala menurut informan keempat pula menyatakan bahawa cabaran utama ialah pematuhan SOP seperti menghadkan pengunjung yang masuk. Dan menurut informan kelima pula menyatakan pergerakan terhad dan pembelian barang perlu dilakukan secara online.

DISKUSI

Dalam kajian objektif pertama yang dilakukan oleh pengkaji, dimana pengkaji telah mengkaji inisiatif-inisiatif yang dilakukan oleh pemilik dan pengurus pusat pelancongan skala mikro di Ranau semasa pandemik C0VID-19 melanda. Berdasarkan objektif pengkaji ini, inisiatif yang ada dibahagikan kepada pemilik, pengurus dan kerajaan. Inisiatif yang pengkaji dapat rumuskan dalam objektif kedua ini adalah inisiatif daripada pengurus, pemilik dan kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19 ini di daerah Ranau, Sabah. Melalui kenyataan daripada informan pertama, mereka telah membuat ‘marketing ‘secara online di media sosial sebagai inisiatif untuk memperkenalkan pelancongan Sosodikon Hill kepada orang ramai. Selain itu, mereka juga telah membuat satu ‘contest’ seperti post gambar semasa di Sosodikol Hill dan pemenangnya akan dipilih melalui jumlah like gambar yang terbanyak di facebook.Kemudian mereka juga telah membuat penambahbaikan di kawasan pusat pelancongan untuk persediaan selepas berakhirnya pandemik ini.

Seterusnya melalui kenyataan informan kedua pula antara inisiatif yang dilakukan adalah oleh mereka adalah melakukan penyelenggaraan di kawasan pelancongan arnab farm dan mencantikkannya supaya apabila kerajaan membenarkan semula pelancongan beroperasi arnab farm akan lebih menarik dan ada perubahan dari sebelumnya. Mereka juga membuat inisiatif seperti membuka perniagaan lain seperti menjual kuih muih, mee goring, dan kek untuk dijual bagi membantu untuk mendapatkan pendapatan sampingan bagi membeli makanan kepada arnab-arnab, dan juga ubat-ubatan untuk arnab yang sakit.

Di samping itu, menurut kenyataan informan ketiga, antara inisiatif yang mereka lakukan adalah membuat perniagaan sampingan seperti membuat baja berasaskan tahi kambing dan tanah yang dicampur sedikit dengan tahi kambing. Idea ini muncul disebabkan pada masa pandemik tersebut tiba-tiba ‘trending’ mengenai penanaman bunga seperti bunga keladi, bunga ati-ati dan banyak lagi. Inisiatif dari kerajaan pula adalah memberi bantuan seperti geran dari Sabah Tourism Board sebanyak RM20,000.00 dan peladang sebanyak RM63,000.00. Bantuan ini mereka gunakan untuk menaiktaraf pusat pelancongan dan sangat membantu semasa pandemik ini.

Selain itu pula, menurut informan keempat, antara inisiatif yang dilakukan untuk kekal bertahan semasa pandemik ini adalah membuat penambahan lagi ‘grandhouse’ untuk penanaman pokok strawberi. Inisiatif ini muncul kerana permintaan terhadap buah strawberri di kawasan pelancongan tersebut semakin meningkat dari semasa ke semasa. Akhir sekali adalah inisiatif daripada informan kelima dimana mereka telah mengambil daun pisang dan rumput untuk sebagai sumber makanan kepada arnab di pusat pelancongan mereka untuk menjimatkan kos makanan semasa pandemik tersebut. Selain daripada itu, terapat juga inisiatif dari kerajaan seperti bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) bagi membantu pengusaha pelancongan mikro ini untuk bertahan semasa pandemik COVID-19 ini.

Secara ringkasnya, dalam objektif pertama ini, pengkaji telah dapat menjelaskan beberapa inisiatif yang dilakukan oleh pemilik, pengurus dan kerajaan semasa pandemik COVID-19 tersebut. Selain itu, pengkaji juga telah membincangkan dengan lebih jelas mengenai inisiatif-inisiatif tersebut agar lebih mudah difahami. Oleh itu, rumusannya usahawan pelancongan skala mikro juga telah membuat pelbagai inisiatif-inisiatif sendiri dan tidak lupa juga bantuan dari pihak kerajaan bagi membantu pelancongan mikro yang terjejas supaya dapa terus kekal bertahan pada masa pandemik tersebut.

Melalui hasil kajian yang dijalankan oleh pengkaji, pengkaji telah menemui dapatan kajian yang dapat menjawab objektif kajian pengkaji yang ketiga. Dalam objektif kedua, pengkaji ingin mengkaji cabaran yang akan dihadapi oleh usahawan pelancongan skala mikro semasa Pandemik COVID-19 di Daerah Ranau. Berdasarkan objektif pengkaji ini, cabaran yang diperolehi dibahagikan kepada cabaran daripada pemilik dan pengurus semasa pandemik tersebut. Menurut informan pertama iaitu seorang pengurus di pelancongan Sosodikon Hill, Kundasang menyatakan bahawa antara cabaran yang dihadapinya semasa pandemik tersebut adalah membuat satu pengurusan yang sistematik. Selain itu cabaran lainnya adalah terpaksa belajar untuk mengaplikasi dan menggunakan media sosial sebagai sebuah pusat pemasaran dalam mempromosikan pusat pelancongan mereka.

Selain itu, menurut penjelasan daripada informan kedua pula, antara cabaran yang dihadapi semasa pandemik tersebut ialah pergerakan dihadkan seperti tidak bebas keluar. Ini seterusnya akan memberikan cabaran kepada mereka rasa sangat mencabar semasa pandemik tersebut. Hal ini kerana disebabkan pergerakan dihadkan dan disekat ianya telah memberi kesan kepada ekonomi mereka seperti ketiadaan pelancong yang seterusnya menyebabkan pendapatan pun akan merosot atau langsung tiada semasa pandemik tersebut. Seterusnya, menurut informan ketiga yang merupakan seorang pengurus telah menyatakan bahawa antara cabaran yang dihadapinya semasa pandemik ialah cabaran dari segi sumber tenaga kerja dan kedua bekalan sumber makanan kambing dan ketiga tiada penjualan kambing semasa pandemik tersebut.

Di samping itu, menurut informan keempat cabaran yang dihadapinya ialah dari segi pematuhan SOP seperti menghadkan pengunjung yang masuk di kawasan pusat pelancongan tersebut. Hal ini kerana ramai pengunjung atau pelancong yang datang dan pertikaikan kenapa kemasukan dihadkan di kawasan pelancongan tersebut. Dan akhir sekali adalah cabaran menurut informan kelima yang juga merupakan seorang pengurus menyatakan bahawa ialah susah bergerak la dan semasa pandemik itu dan mereka terpaksa mengoder makanan, dan ubat ubatan bagi arnab secara dalam talian kerana pergerakan pada masa pandemik itu sangat dihadkan dan ini membuat mereka sangat merasa susah untuk membuat sesebuah urusan luar semasa pandemik COVID19 tersebut.

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa dalam objektif kedua ini terdapat pelbagai cabaran yang telah dihadapi oleh pemilik, dan pengurus untuk terus kekal bertahan agar pusat pelancongan yang mereka bangunkan akan dapat terus kekal bertahan semasa pandemik COVID-19. Namun begitu dengan ketekunan dan kegigihan dalam diri yang ada, masalah seperti pandemik COVID-19 ini dapat diharungi juga sehingga pada masa sekarang oleh usahawan- usahawan pelancongan mikro di daerah Ranau tersebut.

KESIMPULAN

Dalam kajian ini, pengkaji akan memberikan beberapa cadangan agar pelancongan yang terjejas semasa pandemik COVID-19 ini dapat dibantu. Antara cadangan pengkaji ialah pihak kerajaan akan memperbanyakkan lagi dana khas untuk membantu industri pelancongan di dalam negara kita. Selain itu, pihak kerajaan juga perlu menubuhkan sebuah organisasi bantuan sektor pelancongan yang hanya berfokus untuk membantu pelancongan- pelancongan yang terjejas disebabkan oleh pelbagai faktor- faktor yang menyebabkannya terjejas terutama sekali semasa pandemik COVID-19 ini. Perkara ini sangat penting bagi mewujudkan satu pengurusan yang sistematik dalam membantu pelancongan-pelancongan terutama sekali pelancongan mikro yang terjejas teruk semasa pandemik COVID-19 ini.
Selain itu, dalam kajian ini juga, ianya hanya menyentuh kepada implikasi pandemik COVID-19 dan inisiatif usahawan pelancongan skala mikro dalam menanganinya di daerah Ranau, Sabah. Pengkaji berharap untuk kajian yang akan datang boleh diluaskan dengan mengkaji mengenai sektor pelancongan yang lain dan secara lebih menyeluruh. Selain itu, kajian seperti ini juga perlu diberi perhatian oleh para mahasiswa kerana elemen yang terdapat dalam kajian ini akan membantu mahasiswa apabila ingin menceburi bidang sebagai seorang usahawan kelak. Pengkaji mencadangkan agar kajian pada masa akan datang untuk memperluaskan lagi kajian mengenai pelancongan mikro di daerah Ranau ini kepada pangkaji akan datang.

PENGHARGAAN

Pengarang ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pusat Pengurusan Penyelikan (PPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menanggung kos penyelidikan dan penerbitan artikel akademik ini.

RUJUKAN

Ahmad, M. Z., & Ibrahim, J. A. (2011). Homestay as a Socioeconomic Community Development Agent: From UUM Tourism Management Students’ Perspective. PROSIDING PERKEM VI, JILID 2 (2011) 481 – 493. Universiti Utara Malaysia.

Berita Harian (2020). Kes Kematian Diklasifikasikan Semula. Dipetik dari https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/09/736386/covid-19keskematiandiklasifikasikan-semula

Duxbury, N., Bakas, F. E., Vinagre de Castro, T., & Silva, S. (2020). Creative tourism development models towards sustainable and regenerative tourism. Sustainability, 13(1), 2.

Fauziah Che Leh (2016) Pelancongan bandar dan isu keselamatan: Kajian kes pelancong antarabangsa Kuala Lumpu. Malaysian Journal of Society and Space 12 issue 8 (110 - 122).

Irawan, E. P., Sumartias, S., Priyatna, S., & Rahmat, A. (2022). A Review on Digitalization of CSR during the COVID-19 Pandemic in Indonesia: Opportunities and Challenges. Social Sciences, 11(2), 72.

Jain, A., Shanker, S., & Barve, A. (2021). Resilience against the COVID-19 pandemic: is the hotel and tourism supply chain on the right path?. Benchmarking: An International Journal.

Kunz, W. (2021). The impact of the COVID-19 pandemic on the economic security of enterprises. Security Dimensions, 36, 22-37.

Marican (2006). Teknik Analisis Data. Diakses darihttps://www.academia.edu/28264480/BAB_111_Propasal

MAZARI, A. (2022). IMPACT OF FAKE NEWS ON PEOPLE IN THE PAST AND DURING THE COVID-19 PANDEMIC. Quantum Journal of Social Sciences and Humanities, 3(4), 62-68.
Mohd Jamil Patah (2022). Definisi Jenayah. Dipetik dari https://www.scribd.com/doc/212359546/Definisi-Jenayah. Pada 11 April 2022.

Sihes, A. J., & Razak, N. A. (2008). Persepsi Pelajar Tahun Empat Terhadap Pengajaran Pensyarah Dalam Bahasa Inggeris Di Dua Fakulti, Universiti Teknologi Malaysia. Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.

Suminah, S., Suwarto, S., Sugihardjo, S., Anantanyu, S., & Padmaningrum, D. (2022). Determinants of micro, small, and medium-scale enterprise performers’ income during the Covid-19 pandemic era. Heliyon, 8(7), e09875.

Tajim, N. (2021). Penggunaan Teknologi IR 4.0 dalam sektor pelancongan & pertanian semasa pandemik COVID-19. Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah.

Utomo, M., Sudomo, A., Pieter, L. A. G., Maharani, D., Swestiani, D., Siagian, C. M., ... & Roshetko, J. M. (2022). COVID-19 Pandemic: Impacts, Craftsmen’s Living Strategies, and Economic Recovery of Bamboo Handicraft Enterprise in Gunungkidul, Indonesia. Forest and Society, 6(2), 620-638.

Widiastuti, W., Warsono, H., Herwati, A. R., Saputra, J., & Bon, A. T. (2022). The Impact of Covid-19 on Micro, Small, and Medium Enterprises in Central Java, Indonesia: The Need for Economic Recovery.