ABSTRAK
Pelancongan di Malaysia masih menjadi penyumbang pendapatan ketiga terbesar selepas industri perkilangan dan petroleum. Pelancongan boleh dikatakan satu-satunya alternatif sektor industri yang boleh memperkenalkan sesuatu tempat menarik yang tersorok di sesuatu tempat sehingga ke peringkat dunia. Secara tidak langsung, keadaan ini mampu menjana pendapatan dan mengurangkan jurang kemiskinan dalam kalangan penduduk tempatan. Kajian penyelidikan ini dijalankan adalah bertujuan untuk mengkaji implikasi pandemik COVID-19 terhadap pelancongan berskala mikro di daerah Ranau, Sabah. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif iaitu melalui kaedah temu bual yang berlangsung pada Oktober hingga Disember 2021. Dapatan kajian menunjukkan bahawa dalam kalangan pengusaha pelancongan mikro di daerah Ranau mendapati kebanyakkan daripada mereka amat terkesan dengan Pandemik COVID-19 ini. Di samping itu, kajian ini juga berjaya mengumpul dan menemukan beberapa dapatan penting berhubung dengan impak pandemik COVID-19 terhadap usahawan pelancongan skala mikro di Ranau, Sabah. Kesimpulannya, walaupun pelbagai kekangan yang perlu dihadapi oleh penyelidk, namun penyelidik tidak putus asa terutama dalam mendapatkan informan-informan yang sudi untuk ditemubual secara online oleh penyelidik.
Kata kunci: Pelancongan Skala Mikro, COVID-19, Implikasi Pandemik, Usahawan
ABSTRACT
Tourism in Malaysia is still the third largest contributor of income after the manufacturing and petroleum industries. Tourism can be said to be the only alternative industry sector that can introduce something interesting that is hidden somewhere to the world level. Indirectly, this situation is able to generate income and reduce the poverty gap among the local population. This research study was conducted with the aim of examining the implications of the COVID-19 pandemic on micro-scale tourism in the Ranau district, Sabah. This study uses a qualitative method that is through the interview method that took place from October to December 2021. The findings of the study show that among the micro tourism operators in the Ranau district, most of them are greatly affected by the COVID-19 Pandemic. In addition, this study also managed to collect and find some important findings regarding the impact of the COVID-19 pandemic on micro-scale tourism entrepreneurs in Ranau, Sabah. In conclusion, despite the various constraints that the researcher has to face, the researcher does not give up, especially in getting informants who are willing to be interviewed online by the researcher.
Keywords: Micro-Scale Tourism, COVID-19, Pandemic Implications, Entrepreneurs
PENGENALAN
Industri Pelancongan di Malaysia merupakan salah satu industri yang paling terdedah kepada proses globalisasi. Hal ini kerana, globalisasi merupakan sebuah sektor pelancongan yang berkembang dengan pantas dan telah mempengaruhi pelbagai aspek dalam sesebuah negara. Sebagai salah satu negara yang sedang pesat membangun sektor pelancongan adalah sangat penting kerana ia mampu menjana pulangan yang tinggi sekaligus memacu ekonomi negara terutama sekali dalam pertukaran wang asing (Mathieson dan Wall, 1982). Industri pelancongan juga membantu mewujudkan peluang pekerjaan serta memperluaskan peluang perniagaan kepada masyarakat setempat. Ini kerana, industri pelancongan menliputi pelbagai bidang perkhidmatan yang luas dan kemudahan yang diperlukan adalah pelbagai untuk kebaikan kepada semua lapisan penduduk.
Selain itu, di Malaysia juga mempunyai beberapa jenis pelancongan antaranya ialah Ekopelancongan, Agropelancongan, Pelancongan Inap Desa, Pelancongan Perubatan atau kesihatan, Pelancongan Pendidikan dan banyak lagi jenis pelancongan yang lain. Kepelbagaian sektor pelancongan ini telah membantu pertumbuhan yang berterusan dan menjadi salah satu sektor ekonomi yang paling berkembang pesat di dunia sekaligus menjadi pemacu utama kepada kemajuan sosioekonomi (UNWTO, 2016). Ketibaan pelancong antarabangsa meningkat sebanyak 4.4% pada tahun 2015 dengan jumlah keseluruhan 1,184 juta berbanding pada tahun 2014 sebanyak 1,133 juta pelancong (UNWTO, 2016). Oleh itu, adalah penting bagi negara untuk mempromosikan dasardasar yang menggalakkan pertumbuhan pelancongan yang berterusan seperti kemudahan pelancongan, pembangunan sumber manusia dan kemampanan alam semulajadi.
Di samping itu, pelancongan ini juga bukanlah sesuatu yang baharu. Hal ini kerana, pertumbuhan ekonomi dalam sektor pelancongan ini telah mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat di pelbagai tempat di dunia ini. Tambahan pula, terdapat banyak juga negara yang menggalakkan pelancongan dilaksanakan di dalam negara untuk menjana pertumbuhan ekonomi di sekitar destinasi pelancongan mereka sendiri. Misalnya, dalam rangka membangunkan industri tersebut terdapat banyak kawasan yang mempunyai keunikan semulajadi dibuka dan dimajukan untuk tujuan pelancongan, sama ada melalui evolusi ataupun dibuka dengan sengaja oleh pihak-pihak tertentu. Oleh itu, ada baiknya pusat pelancongan yang kreatif dan berunsur semulajadi ini diperbanyakkan lagi di negara kita bagi menarik minat pelancong dari luar negara seterusnya membantu meningkatkan sumber ekonomi dalam Negara (Od dan lain-lain, 2015).
Seterusnya, negara kita iaitu Malaysia ini juga amat beruntung kerana mempunyai kepelbagaian alam semulajadi yang indah, unik dan pelbagai. Antaranya seperti hutan hujan tropika, iklim dan cuaca yang sederhana, banjaran gunung, pulau dan pantai serta terdapat pelbagai spesies flora dan fauna. Oleh itu, dalam rangka mencapai kemajuan hidup dan pembangunan, manusia sangat bergantung kepada sumber alam di mana kita tahu hampir semua aktiviti yang dijalankan akan melibatkan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung sumber semulajadi tersebut. Selain itu juga, pertambahan produk, peningkatan kualiti hidup dan keperluan memenuhi masa luang serta proses globalisasi kini yang telah meningkatkan lagi kadar penggunaan sumber semulajadi (Md Jahi, 2004). Ringkasnya, keunikan dalam sesebuah kawasan di negara dengan tarikan yang ada juga merupakan salah satu daripada kawasan yang berkemampuan untuk memenuhi permintaan untuk tujuan pembangunan pelancongan, rekreasi dan peranginan (Md Jahi, 2004).
Oleh itu, keberkesanan sesebuah industri pelancongan juga adalah salah satu daripada indikator yang sangat penting untuk pembangunan sesebuah Negara (Butler, 1980). Melalui sistem yang moden dan bersistematik ini, industri pelancongan berperanan penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan memberi pulangan balik kepada pendapatan negara. Di Malaysia juga pengurusan industri pelancongan sangat sempurna dan memuaskan hati kebanyakan masyarakatnya kerana terdapat pelbagai jenis pelancongan yang telah diwuwudkan di negara sendiri terutamanya di negeri Sabah. Fokus penyelidikan yang dijalankan adalah terhadap pelancongan skala mikro yang beroperasi di Daerah Ranau Sabah.
Namun demikian, pandemik ini merupakan sebuah ancaman yang utama kepada kesihatan pada masa ini. Hal ini kerana, kewujudan Novel Coronavirus yang telah bermula di Wuhan, China ini dan dengan cepat menular ke seluruh dunia. World Health Organization (WHO) telah mengeluarkan sebuah kenyataan mengenai wabak penyakit COVID-19 yang berpunca daripada sindrom pernafasan yang teruk Koronavirus 2 (SARS-Cov-2). Pesakit yang menghidap jangkitan COVID-19 ini akan mempunyai satu simptom pada peringkat awal seperti pening kepala, sakit badan, batuk, demam dan sukar bernafas serta meningkat pada peringkat yang lebih teruk dan sekiranya rawatan yang diberikan lewat maka ianya akan mengakibatkan kematian kepada individu tersebut. Wabak ini juga telah menjadi punca peningkatan kadar kematian yang mendadak terutamanya dalam kalangan golongan warga tua (Berita Harian, 2020).
Tambahan pula, Industri pelancongan di Sabah yang mencatat rekod hasil tertinggi dalam sejarah pada tahun 2018 dengan kutipan hasil sebanyak RM8,342 bilion. Namun begitu, merebaknya Pandemik COVID-19 sejak bulan Januari 2020 telah menjadi sebuah mimpi ngeri kepada semua pengusaha industri pelancongan dalam negara kita. Oleh itu, pihak kerajaan telah mempelbagaikan inisiatif untuk memastikan bukan sahaja wabak ini dihapus segera malah membantu kelangsungan hidup rakyat supaya dapat diteruskan seperti sebelum adanya wabak COVID-19 tersebut. Ringkasnya, Industri pelancongan merupakan industri yang terawal terjejas ketika pelaksanaan PKP serta yang paling lambat pulih selepas PKP ditamatkan. Khususnya Industri pelancongan domestik di Sabah seperti pelancongan skala mikro (Othman dan Rosli, 2011).
Persoalannya, apakah impak Pandemik COVID-19 terhadap pelancongan skala mikro di daerah, Ranau? Adakah perkara ini berlaku secara berleluasa dan berlanjutan? Dengan persolan ini, kajian ini adalah untuk meninjau implikasi Pandemik COVID-19 terhadap usahawan pelancongan skala mikro di Daerah Ranau, Sabah. Dengan kata lain, objektif kajian yang disasarkan oleh pengkaji dan perlu dicapai bagi menjawab persoalan yang timbul dalam kajian ini iaitu mengenalpasti implikasi Pandemik COVID-19 terhadap pelancongan skala mikro di daerah Ranau, Sabah. Kajian ini penting supaya penyelidik dapat memahami dengan lebih jelas mengenai apa implikasi yang dihadapi oleh usahawan-usahawan pelancongan skala mikro yang ada di Daerah Ranau semasa Pandemik COVID-19.
KAJIAN LITERATUR
Sejarah Awal Pelancongan
Sejarah merupakan salah satu cabang ilmu paling penting dalam pelbagai sektor industri, termasuk sektor industri pelancongan, kerana ia dapat menyediakan premis atau landasan konkrit dalam proses penggubalan dasar dan perancangan pembangunan yang mantap. Ini kerana apa yang ada pada hari ini tidaklah lahir dari kekosongan, sebaliknya, lanjutan daripada perkembangan-perkembangan masa sebelumnya, dan dalam realiti ini sejarah merupakan bidang kajian yang hanya mengemukakan keterangan apabila adanya bukti-bukti sahih (Baharin, 2013) dan dapat disemak oleh orang lain tentang kesahihannya. Di samping itu, kajian sejarah akan mendorong proses penggubalan dasar dan perancangan pembangunan berasaskan lunas-lunas yang realistik, baik dalam merangka objektif yang ingin dicapai mahupun hala-tuju misi dan visi pembangunan itu, kerana ia disandarkan hakikat dan pengalaman sebenar pada zaman masa sebelumnya.
Pada mulanya komponen-komponen pelancongan itu berkembang di NegeriNegeri Selat kerana negeri-negeri tersebut merupakan tempat terawal menerima dampak Revolusi Perindustrian yang tiba melalui kemaraan kuasa-kuasa Barat, terutamanya ekoran dariripada pendudukan British. Kemudiaan, selepas Perjanjian Pangkor 1874, aspek-aspek pelancongan berkembang pula ke beberapa buah bandar utama di pantai barat Negeri-Negeri Melayu. Tempat pertama pelancongan di NegeriNegeri Melayu adalah di Taiping kerana bandar tersebut merupakan tempat yang mempunyai kepentingan ekonomi dan pentadbiran bagi golongan imperialis, merkantalis dan kolonis di Negeri-Negeri Melayu. Pengasasan pelancongan Malaysia yang terawal dapat dikesan sejak berkibarnya bendera Union Jack oleh Fransis Light pada 1786 di Pulau Pinang. Kemudiaannya, ia berkembang Negeri-Negeri Selat lain iaitu di Singapura dan Melaka (Od dan lain-lain, 2015).
Seterusnya, selepas lebih daripada 80 tahun bendera Union Jack berkibar di Pulau Pinang, aspek-aspek pelancongan barulah berkembang di Negeri-Negeri Melayu. Kemunculannya di Negeri-Negeri Melayu dapat dikesan sejak termeterainya Perjanjian Pangkor pada tahun 1874. Selari dengan kedudukannya sebagai tempat terawal menerima dampak Revolusi Perindustrian secara agak mendalam dan menjadi fenomena secara berterusan sehingga ke hari ini, dapatlah dihipotesiskan bahawa pelancongan Malaysia adalah bermula di Pulau Pinang sejak sekitar awal abad ke-19. Hipotesis ini diasaskan pada kenyataan bahawa di situ dan pada era itulah buat pertama kalinya negara ini menerima impak Revolusi Perindustrian dan terbitnya komuniti industri. Sekali gus di situlah juga buat pertama kalinya terasas komponenkomponen pelancongan (baik ia sebagai industri mahupun sebagai fenomena sosial) dalam suatu gabungan (amalgam) agak bersepadu (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, 2017).
Geografi Pelancongan
Menurut Hiltunen dan lain-lain (2013), geografi pelancongan meliputi tiga elemen utama. Pertama ialah pergerakan manusia di antara dua tempat atau lebih dari tempat asal ke destinasi, kedua iaitu tempoh perjalanan dan ketiga ialah tujuan geografi adalah mengkaji permukaan muka bumi. Dalam kajian ini, penyelidik lebih menumpukan kepada pelancongan skala mikro dimana menurut Othman dan Rosli (2011), mengatakan bahawa beliau telah mengenal pasti beberapa jenis perniagaan kecil berkaitan pelancongan mikro iaitu perkhidmatan penginapan dan makanan, peruncitan, ejen pelancongan, sukan serta pelbagai lagi perkhidmatan lain. Pelancongan skala mikro merupakan sebuah usaha produktif milik orang persendirian atau lebih kepada usaha sendiri untuk mewujudkan sebuah pusat pelancongan. Secara amnya pemilik sebuah syarikat mikro biasanya bekerja di dalamnya. Penciptaan perusahaan mikro boleh menjadi langkah pertama usahawan untuk membangun pusat pelancongan tersebut. Selain itu, perusahaan pelancongan mikro juga adalah diusahakan oleh pemilik dan sanak saudaranya adalah mereka yang berdiri untuk membangunkan syarikat itu. Antara kelebihan pelancongan skala mikro adalah segala keputusan dilakukan oleh pemilik syarikat sendiri tanpa ada halangan dari mana mana pihak. Manakala kelemahannya pula adalah ianya mempunyai pasaran yang sangat kecil kerana mungkin kekurangan sumber manusia dan sumber kewangan yang terhad untuk membuat pengeluaran yang besar.
Jenis Pelancongan di Malaysia
Pelancongan adalah salah satu industri yang terpenting di dunia yang berupaya mengembangkan aspek fizikal, sosial, budaya, ekonomi, politik dan teknologi serta mampu memberi pulangan ekonomi kepada negara sejak awal 1980an lagi (Hausman, 2001). Penglibatan Malaysia dalam industri pelancongan boleh dikatakan sedang memuncak lantaran pembentukan wilayah koridor ekonomi baru pada 2007 yang merupakan satu strategi dan pendekatan yang tepat dalam usaha memastikan keseimbangan pembangunan ekonomi Malaysia agar lebih mantap khususnya dalam sektor pelancongan. Berikut merupakan beberapa jenis sektor pelancongan yang ada di Malaysia:
Ekopelancongan
Ekopelancongan mempunyai potensi untuk berkembang dalam industri pelancongan dunia. Menurut Ceballos-Lascurain (1996), ekopelancongan adalah perjalanan dan lawatan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar untuk menikmati dan menyedari akan sifat-sifat semula jadi termasuk sifat-sifat kebudayaan, menggalakkan pemuliharaan alam sekitar, meninggalkan kesan negatif yang rendah serta melibatkan masyarakat tempatan di dalam aktiviti sosioekonomi yang positif. Konsep ekopelancongan turut berlandaskan kepada beberapa prinsip. Prinsip-prinsip ini membantu industri pelancongan mencapai matlamatnya dan seharusnya disokong oleh pihak berkepentingan yang lain seperti pengusaha pusat pelancongan, agensi pelancongan dan penduduk tempatan.
Agropelancongan
Agropelancongan merupakan sebuah konsep pelancongan yang berkembang pesat dalam Malaysia dengan menawarkan pelbagai aktiviti berkaitan dengan sektor pertanian dan perladangan kepada para pelancong. Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan hasil bumi yang subur dan pelbagai. Misalnya, salah satu aktiviti yang mendapat sambutan dalam Agropelancongan ini ialah lawatan ke dusun buahbuah dan ladang ternakan, penyelidikan, homestay dan sebagainya. Agensi utama yang telah membantu membangunkan Agropelancongan ialah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sementara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya membantu dari aspek promosi (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, 2017).
Inap Desa
Inap desa atau lebih dikenali sebagai homestay merupakan salah satu daripada produk pelancongan desa yang terdapat di Malaysia dan menjadi satu program yang sering mendapat perhatian kerajaan dan agensi berkaitan sejak kebelakangan ini. Langkah Kerajaan memberikan fokus yang lebih besar bagi membangunkan inap desa ini juga adalah tepat memandangkan industri pelancongan negara tidak hanya tertumpu kepada bandar-bandar besar, pulau, tasik dan pantai semata-mata. Ini adalah kerana sumberjaya alam semulajadi dan warisan budaya yang terdapat di kawasan luar bandar juga mempunyai keunikan dan nilai yang tinggi untuk dihargai dan berpotensi menarik lebih ramai pelancong untuk ke sana. Melalui pembangunan Pelancongan Desa, komuniti setempat atau masyarakat luar bandar diberi peluang untuk sama-sama terlibat dalam menjayakannya. Hasilnya, secara tidak langsung Pelancongan Desa telah dapat menjana ekonomi masyarakat setempat dan sekaligus membantu kerajaan dalam usaha membasmi kadar kemiskinan dan pengangguran (Ahmad dan lain-lain, 2011).
Pelancongan Kesihatan
Pelancongan kesihatan (Health Tourism) adalah pelancongan yang menggabungkan aktiviti rawatan iaitu moden dan tradisional serta dan percutian. Pelancongan kesihatan ini semakin mendapat perhatian masa kini dan mempunyai potensi besar untuk diterokai. Selain itu ianya juga dilihat dapat mencipta peluang perniagaan dan pekerjaan baru serta membawa masuk hasil secara langsung ke dalam negara melalui akaun semasa imbangan pembayaran negara yang sentiasa negatif. Pada masa yang sama ia juga menarik beberapa bentuk pelaburan asing yang lain. Di Malaysia, pelancongan kesihatan mempunyai potensi yang besar bagi membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi semenjak krisis ekonomi tahun 1997. Oleh itu, sistem rawatan kesihatan amat penting dalam sesebuah negara walaupun adanya persaingan dari negara-negara jiran yang menggunakan teknologi lebih moden dari negara kita sendiri (Nurhanie Mahjom, 2009).
Pelancongan Pendidikan
Pelancongan pendidikan ialah program yang melibatkan perjalanan ke sesuatu lokasi oleh sekumpulan individu untuk tujuan membina pengalaman secara terus. Perkembangan pendidikan dan pelancongan sebagai suatu industri telah memberi impak positif kepada aspek ekonomi dan sosial pada dekad ini (Ritchie, 2006). Banyak negara bergantung antara satu sama lain dengan kejayaan, pertumbuhan dan kepesatan ekonomi melalui kemampuan industri pendidikan dan pelancongan dalam menyokong program pertukaran pelajar antarabangsa. Pembangunan dalam industri pelancongan selama dua dekad terakhir ini, ditambah dengan transformasi dalam pendidikan telah mencetuskan konvergensi yang menjadikan mobiliti kemudahan pendidikan dan pembelajaran menjadi sebahagian aspek penting daripada pengalaman pelancongan. Pelancongan pendidikan telah menghasilkan beberapa kejayaan sehingga kini dalam industri pelancongan.
INSTRUMEN METODOLOGI
Lokasi Kajian
Rajah 1 menunjukkan lokasi kajian yang dijalankan oleh penyelidik. Lokasi kajian ini ditumpukan di sekitar Daerah Ranau iaitu di beberapa kawasan Pelancongan Skala Mikro yang ada Daerah Ranau, Sabah. Ranau ialah sebuah daerah yang terletak Bahagian Pantai Barat Utara Negeri Sabah, Malaysia. Daerah Ranau terletak di antara garisan lintang (Latitude) 5° 30’ U dan 6° 25’ U dan garisan bujur (Longtitude) 116° 30’ dan 117° 5’ T dan di kelilingi oleh 7 buah daerah lain iaitu Tuaran, Kota Belud, Tambunan, Keningau, Kinabatangan, Beluran dan Kota Belud. Keluasan daerah Ranau pada masa awalnya ialah 294,224 hektar atau 1978.5 km persegi. Walau bagaimanapun, apabila perubahan persempadan baru yang melibatkan daerah Tambunan dan Beluran diluluskan, maka luas daerah Ranau akan bertambah kepada 3555.9 km persegi. Ranau adalah sebuah daerah pelancongan yang terkenal di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.
Rajah 1. Kawasan Kajian Di Ranau, Sabah.
Populasi dan Persampelan
Menurut Marican (2006), kajian populasi adalah sekelompok orang, keluarga, kumpulan, organisasi, Komuniti, peristiwa, objek atau apa sahaja yang berkaitan dengan kejadian yang mempunyai kualiti yang sama dengan sesuatu yang akan diteliti dan dikaji. Manakala persampelan adalah pemilihan sekumpulan populasi untuk dijadikan sampel yang mewakili kumpulan itu. Dalam mana-mana proses persampelan, unit persampelan adalah merupakan elemen yang dipertimbangkan untuk dipilih sebagai sampel. Populasi kajian ini adalah informan pengkaji seperti pemilik syarikat, pengurus, dan pekerja.
Persampelan bertujuan merupakan salah satu bentuk persampelan bukan keberangkalian. Persampelan bertujuan merujuk kepada proses memilih sesuatu sampel dari populasi berdasarkan objektif kajian. Dalam persampelan ini, pengkaji perlu menggunakan pertimbangannya sendiri untuk memilih informan yang paling sesuai dengan tujuan kajian. Kaedah persampelan yang digunakan dalam kajian ini dikenali sebagai persampelan bertujuan. Persampelan bertujuan digunakan oleh pengkaji adalah merupakan strategi yang biasa digunakan dalam penyelidikan jenis tindakan. Dalam pendekatan ini, penyelidik memilih informan yang bersesuaian dengan hanya mensasarkan informan berpengalaman selama lebih 5 tahuan bekerja di tempat kajian dan ianya selaras dengan objektif kajian. Persampelan bertujuan dilakukan untuk memberikan gambaran awal mengenai bidang penyelidikan yang akan diterokai.
Kaedah Pengumpulan Data
Pengkaji menggunakan sumber primer untuk mendapatkan maklumat yang amat diperlukan untuk melaksanakan tugasan ini secara langsung. Pengumpulan data primer dalam kajian ini adalah melalui temu bual bersama informan iaitu secara bersemuka dengan secara dalam talian bagi mendapatkan data dan maklumat yang sesuai dengan objektif kajian. Temu bual adalah salah satu perbualan antara pihak yang menemu bual dan pihak yang ditemu bual. Pengkaji akan menggunakan kaedah temu bual ini dengan menemu bual informan iaitu pengusaha pelancongan mikro. Selain itu, pengkaji mendapatkan data melalui ‘Google Meet’ bukan sahaja daripada pemilik syarikat pelancongan tetapi juga melibatkan pngurus atau staff yang terlibat yang mengurus syarikat pelancongan di Ranau itu.
Temu Bual Secara Dalam Talian
Tujuan temu bual ialah untuk mendapatkan data dan pandangan para usahawan pelancongan skala mikro tentang impak dan inisiatif yang dilakukan oleh pengusaha semasa pandemik COVID-19 terhadap sektor pelancongan mikro. Sampel temu bual terdiri daripada beberapa orang usahawan (informan). Berdasarkan temu bual yang dibuat, perbualan juga telah direkod dengan menggunakan pita rakaman suara dan juga video atas kebenaran responden. Data temu bual seterusnya ditranskripsi dan ditaip dengan pengelasan mengikut nombor untuk tujuan pengekodan data. Pengekodan data sangat penting dilakukan bagi memudahkan pengkaji melakukan proses analisis seterusnya. Data yang telah ditranskripsi tadi seterusnya diasingkan mengikut topiktopik tertentu agar maklumat tidak bercampur-baur dan menimbulkan kekeliruan. Bagi temu bual jenis ini, maklumat dipersembahkan dalam bentuk huraian serta petikan percakapan daripada responden kajian.
Kaedah Analisis Data
Dalam penyelidikan kualitatif, temu bual adalah sumber utama untuk memahami kajian yang hendak dilaksanakan. Sementara itu, analisis data temu bual merujuk kepada proses mengumpulkan dan menilai data berdasarkan keseluruhan transkrip rakaman temubual tanpa meninggalkan maklumat yang didengar semasa rakaman temu bual untuk membuat pangkalan data yang jelas. Untuk menjamin bahawa maklumat dapat dinilai untuk menghasilkan kategori, dan tema yang sesuai, data harus ditukar menjadi bentuk transkrip dalam urutan yang betul. Apabila pengkaji menyelesaikan analisis setelah mengumpulkan semua data yang diperoleh, pengkategorian dan korelasi antara data akan dihasilkan secara serentak dengan menggunakan perisian ATLAS.ti.
DAPATAN KAJIAN
Latar Belakang Informan
Berdasarkan Jadual 1 menunjukkan informan dari setiap lokasi pelancongan mikro yang berbeza yang ditemubual oleh pengkaji bagi mendapatkan data kajian.
Jadual 1
Informan Yang Ditemubual Di Pelanongan Mikro Di Ranau, Sabah.
Demografi Informan
Demografi informan ini meliputi beberapa aspek iaitu dari segi jantina informan, umur informan, dan jawatan yang dipegang, serta taraf pendidikan informan yang dipilih oleh pengkaji (Jadual 2). Demografi informan adalah bagi membantu pengkaji untuk memudahkan pembaca memahami serba sedikit secara ringkas mengenai beberapa aspek yang berkaitan dengan latar belakang informan kepada pengkaji. Aspek-aspek tersebut akan dibahagikan kepada beberapa bahagian yang akan dijelaskan melalui hasil kajian yang diperolehi oleh pengkaji sendiri.
Jadual 2
Demografi Informan.
Impak Pandemik Kepada Usahawan Pelancongan Skala Mikro
Melalui temu bual bersama dengan informan kajian, soalan yang dibincangkan oleh pengkaji bersama informan adalah “Apakah impak pandemik COVID-19 terhadap pelancongan skala mikro ini?” Menurut kenyataan informan pertama pula iaitu Encik Mohd. Al Hafiz yang juga merupakan seorang pengurus di syarikat pelancongan Sosodikon Hill, Kundasang juga telah mengatakan bahawa:
“Masa pandemik ini memang memberi banyak impak kepada pelancongan Sosodikon ini terutama sekali dari segi ekonomi seperti pendapatan terjejas teruk, gaji pekerja pada masa ini pun dibayar dengan duit simpanan sebelum ini dan selain menjejaskan pelancongan kami ia bukannya mempengaruhi syarikat pengurusan sahaja tetapi juga mempengaruhi ekonomi penduduk setempat contohnya peniaga yang berniaga dan bergantung dengan pelancongan dan masa pandemik kesannya sangat dirasai oleh kami.”
Menurut penjelasan daripada informan kedua iaitu Encik Affendi Henry yang merupakan seorang pengurus di syarikat pelancongan Arnab Farm Sejati telah menyatakan bahawa:
“Impak pandemik ini sangat memberikan kesan kepada kami terutama sekali dari segi pendapatan dan kami juga terpaksa membuat perniagaan lain seperti menjual kuih muih, mee goreng, dan kek untuk dijual bagi membantu kami mendapat pendapatan sampingan untuk membeli makanan kepada arnab-arnab, dan juga ubat-ubatan untuk arnab yang sakit.”
Manakala, menurut informan ketiga yang telah ditemu bual oleh pengkaji pula iaitu Encik Sably Husin yang merupakan pemilik kepada syarikatnya sendiri iaitu Pelancongan Sably Goat Haven menyatakan bahawa:
“Bagi saya, impak negatif ada impak positif pun ada juga. Untuk impak negatif walaupun baru buka dalam masa 2 bulan lebih itu terpaksa totally tutup disebabkan pandemik ini. Bila terpaksa tutup bermakna kita tidak ada pendapatan dan dalam masa yang sama kita masih baru jadi pekerja yang baru bekerja di sana pun saya tidak mampu bayar jadi saya terpaksa bagi cuti tanpa gaji pekerja-pekerja ini dan mereka pun memahami juga keadaan pada masa itu. Untuk impak positif pula pada masa pandemik ini ada juga bantuan dari pihak kerajaan seperti Sabah Tourism Board (STB) dan peladang untuk dana kepada pusat pelancongan yang sudah beroperasi dan layak untuk dibantu disebabkan terkesan oleh ini pandemik. Jadi saya dapat geran dari Sabah Tourism Board sebanyak RM20,000.00 dan itu saya gunakan untuk cari kontraktor untuk menaik taraf tempat pelancongan saya kemudian kontraktor akan claim duit tersebut dari Sabah Tourism Board. Kemudian dari peladang banyak sikit saya dapat iaitu sebanyak RM63,000.00. Bila saya dapat itu banyak lagi penambahbaikan saya dapat lakukan di Sably Goat Haven.”
Seterusnya menurut informan keempat pula iaitu Khadim Haji Salleh yang merupakan seorang staff di pusat pelancongan Mesilau Mt Retreat Strawberry, Kundasang menyatakan bahawa:
“Kesan atau impak yang kita alami semasa pandemik adalah sangat teruk disebabkan aktiviti pelancongan semua diberhentikan, jadi oleh kerana itu, dari segi pendapatan memang amat terjejas la, dari segi pekerjaan masih berjalan seperti biasa walaupun pelancongan ditutup beroperasi, pengurangan pekerja itu tidak ada cuma ada pengurangan dari segi gaji saja sebab tiada pendapatan syarikat berkurang.”
Informan kelima pula iaitu Encik Sharifuddin Zainal yang merupakan seorang pengurus di pusat pelancongan D’Mesilau Rabbit Garden menyatakan bahawa impak pandemik terhadap pelancongannya adalah seperti berikut:
“Ermm… impak yang paling saya rasa adalah dari segi negatif itu pertama ialah memang terjejas dari segi kewangan la semasa pandemik untuk beli baja untuk makanan arnab. Dan arnab kami ini yang banyak sekitar 300 hingga 400 ini juga memerlukan dalam satu karung besar baja makanan untuk sehari juga la, jadi memang banyak kos yang habis la, kemudian untuk membeli ubat-ubatan lagi. Itu antara impak negatif la, manakala impak positif pula semasa pandemik ini kami dapat membuat penambahbaikan kawasan taman arnab ini untuk keselesaan pelancong pada masa pandemik berakhir.”
Berdasarkan kenyataan dan jawapan daripada kesemua informan kepada pangkaji di atas, Pandemik COVID-19 ini sangat memberi impak yang besar kepada pelancongan yang mereka usahakan. Dalam kenyataan yang daripada informan pertama, impak pandemik adalah dari segi pendapatan terjejas, dan mereka terpaksa membuat perniagaan sampingan untuk menampung perbelian baja dan ubat-ubatan bagi arnab yang mereka pelihara. Menurut informan kedua pula, antara impak daripada pandemik ini adalah pendapatan sangat terjejas teruk, dan bagi pembayaran gaji pekerja pula adalah menggunakan duit simpanan sebelum ini dan selain daripada itu penduduk yang berniaga dan bergantung kepada kawasan pelancongan mereka untuk mendapat pelancong juga ikut terjejas kerana ketiadaan pengunjung.
Selain itu, menurut informan ketiga pula, menyatakan bahawa semasa pandemik ini ada kesan negatif seperti pendapatan terjejas, dan pemberian cuti pekerja tanpa gaji, di samping itu ada juga kesan positifnya iaitu dia dapat bantuan kerajaan seperti Sabah Tourism Board (STB) dan peladang bagi penambahbaikan pusat pelancongannya. Tambahan pula, menurut informan keempat, telah menyatakan bahawa dari pendapatan memang amat terjejas, kemudian dari segi pekerjaan ianya masih berjalan seperti biasa walaupun pelancongan ditutup beroperasi, dan ada pengurangan sedikit dari segi pambayaran gaji kepada pekerja. Akhir sekali adalah daripada informan kelima yang menyatakan inpak negatif pandemik ini ialah sumber kewangan terjejas teruk dan impak positif pula mereka dapat membuat penambahbaikan kawasan taman arnab ini untuk keselesaan pelancong pada masa pandemik berakhir
Diskusi
Dalam kajian ini, pengkaji cuba melihat kepada implikasi pandemik COVID-19 kepada pelancongan skala mikro yang ada di daerah Ranau. Hasil daripada kajian yang dijalankan oleh pengkaji yang berkaitan dengan objektif pertama iaitu untuk mengenal pasti implikasi Pandemik COVID-19 terhadap pelancongan skala mikro di daerah Ranau, Sabah. Dalam kajian yang diperolehi oleh pengkaji mendapati bahawa terdapat pelbagai impak atau kesan daripada pandemik COVID-19 terhadap pelancongan skala mikro di daerah Ranau seperti pendapatan terjejas, pembayaran gaji, dan pelbagai lagi impak lain-lain yang akan diulas oleh pengkaji di dalam bahagian ini dengan lebih jelas.
Melalui hasil perbincangan kajian, terdapat beberapa impak utama atau impak yang dihadapi oleh kesemua pelancongan skala mikro di Ranau semasa pandemik COVID-19 ini iaitu sumber pendapatan sangat terjejas. Pendapatan ialah salah satu unsur yang dititikberatkan dalam pembentukan laporan untung rugi dalam sesebuah perusahaan (Baharin, 2013). Menurut kenyataan daripada informan pertama mengatakan bahawa pendapatan sangat terjejas teruk semasa pandemik COVID-19 tersebut disebabkan ketiadaan pelancong atau pengunjung yang datang melancong dan perkara sangat memberikan impak kepada pengusaha pelancongan mikro yang ada di Ranau. Begitu juga dengan impak yang dihadapinya oleh informan kedua semasa pandemik tersebut iaitu pendapatan sangat terjejas teruk.
Seterusnya menurut informan ketiga pula, impak yang dihadapinya ialah terbahagi kepada impak negatif dan impak positif dimana dalam impak negatif itu, walaupun pelancongan tersebut baru sahaja beroperasi selama dua bulan ianya terpaksa tutup disebabkan pandemik. Dan kesan dari penutupan pelancongan tersebut telah menyebabkan pendapatan tidak ada pada masa itu. Impak positif pula adalah pada masa pandemik ini ada juga bantuan yang disalurkan oleh kerajaan bagi membantu pusat pelancongan mikro yang terkesan dengan pandemik ini. Selain itu, menurut informan keempat impak yang dihadapi oleh syarikat mereka adalah dari segi pendapatan dimana pendapatan sangat terjejas pada masa pandemik tersebut dan informan kelima pula mengatakan bahawa impak yang paling mereka rasai adalah dari segi kewangan untuk membeli baja dan ubat-ubatan bagi haiwan peliharaanya supaya pelancongannya akan terus kekal bertahan semasa pandemik COVID-19 tersebut.
Selain itu, dari segi pembayaran gaji pula, melalui temu bual bersama informan-informan pembayaran gaji untuk pekerja yang bekerja semasa pandemik itu ada cuma agak dikurangkan sedikit dari gaji biasa kerana tidak ada pendapatan pada masa pandemik tersebut. Kemudian ada juga informan yang menyatakan bahawa pembayaran gaji pekerja semasa pandemik itu adalah menggunakan duit simpanan yang terkumpul sebelum adanya pandemik COVID-19 ini. Oleh itu, jelaslah bahawa antara impak daripada pandemik ini adalah menyebabkan kesan tehadap pembayaran gaji pekerja di pusat pelancongan mikro di Ranau.
Seterusnya implikasi Pandemik COVID-19 terhadap pelancongan skala mikro di daerah Ranau, Sabah adalah impak lain-lain. Dalam temu bual bersama informan mereka juga telah menyatakan pelbagai impak lain pandemik COVID-19 terhadap pelancongan yang sedang mereka usahakan semasa pandemik tersebut. Sala satunya ialah mempengaruhi ekonomi penduduk setempat. Contoh penduduk yang biasa menjual dan biasa bergantung kepada pelancongan dan ketiadaan pelancong ini juga akan menyebabkan mereka tidak dapat berniaga lagi, jadi ianya juga sangat memberi impak kepada ekonomi penduduk setempat. Tambahan pula, impak lain semasa pandemik ini adalah dari segi impak positif iaitu terdapat bantuan dari pihak kerajaan seperti Sabah Tourism Board (STB) dan peladang untuk dana kepada pusat pelancongan yang sudah beroperasi dan layak untuk dibantu disebabkan terkesan oleh ini pandemik COVID-19 ini.
Secara ringkasnya, kita dapat lihat bahawa terdapat pelbagai impak atau kesan yang telah dihadapi oleh usahawan pelancongan skala mikro untuk kekal bertahan pada masa pandemik tersebut. Walaupun begitu, mereka tetap berusaha dan tidak pernah berputus asa menghadapinya sehingga pandemik tersebut berakhir.
KESIMPULAN
Kajian yang dijalankan oleh pengkaji adalah bagi mengetahui lebih lanjut berkenaan implikasi pandemik COVID-19 terhadap usahawan pelancongan skala mikro di daerah Ranau, Sabah. Kajian ini tertumpu kepada pengusaha pelancongan mikro di daerah Ranau, Sabah. Bagi mencapai objektif kajian dalam kajian ini, pemilihan reka bentuk kajian adalah sangat penting bagi membantu dalam mencapai tujuan kajian penyelidikan ini. Pengkaji dalam kajian ini juga telah menggunakan pendekatan kaedah kualitatif sebagai reka bentuk yang paling sesuai dalam mencapai dan menjawab segala persoalan. Dalam kajian ini, terdapat juga kekangan yang dihadapi oleh pengkaji untuk mengumpul data dan maklumat yang diperlukan. Kekangan yang dihadapi pengkaji semasa menjalankan kajian penyelidikan ini adalah daripada mendapatkan data daripada informan. Hal ini kerana bagi membuat satu kajian yang kukuh pengkaji cuba untuk mendapatkan data dan maklumat terus daripada pemilik, pengurus atau pekerja yang mempunyai pengalaman terutama sekali dalam mengurus, dan membuat perancangan di syarikat pelancongan di lokasi kajian yang dipilih oleh pengkaji. Namun sebelum itu pengkaji terpaksa menghubungi beberapa pelancongan mikro yang ada di Ranau untuk ditemubul tetapi ada juga beberapa pusat pelancongan yang tidak menerima untuk ditemubual oleh pengkaji dan ini menyebabkan pengkaji agak sukar sedikit dalam mencari usahawan pelancongan mikro yang ada di Ranau yang mahu ditemubual secara atas talian untuk mendapatkan data kajian. Walaupun begitu berkat usaha dan semangat pengkaji akhirnya ada juga dalam 5 informan yang sudi untuk ditemubual secara atas talian oleh pengkaji. Dan ini sangat membantu pengkaji bagi memperoleh data-data secara tepat dan jelas daripada informan tersebut.
PENGHARGAAN
Pengarang ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pusat Pengurusan Penyelikan (PPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menanggung kos penyelidikan dan penerbitan artikel akademik ini.
RUJUKAN
Ahmad, M. Z., Ibrahim, J. A., & Zakaria, N. (2011). Home stay as a socio-economic community development agent: from UUM tourism management students’ perspective. Prosiding Perkem Vi, Jilid, 2, 481-493.
Baharin, Y. (2013). Pendapatan Boleh Guna. Dipetik dari https://www.slideshare.net/ijaije/pendapatan-boleh-guna
Berita Harian (2020). Kes Kematian Diklasifikasikan Semula. Dipetik darihttps://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/09/736386/covid-19keskematiandiklasifikasikan-semula
Butler, R. W. (1980). The concept of a tourist area circle of evolution: Implication for management of resources. Canadian Geographer, 24: 5-12.
Ceballos-Lascurain, H. (1996). Tourism, ecotourism and protected areas. Gland, IUCN, Switzerland.
Hausman, D. M. (2001). Ecotourism. International Encylopedia of the Social & Behavioral Sceinces 9,4165-4167. ISBN 0-08-043076-7.
Hiltunen, M. J., Pitkänen, K., Vepsäläinen, M., & Hall, C. M. (2013). Second home tourism in Finland: Current trends and eco-social impacts. Second home tourism in Europe: lifestyle issues and policy responses, 331.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (2017). Agropelancongan. Dipetik dari https://www.motac.gov.my/program/pelancongan/agropelancongan. Pada 13 april 2022.
Marican (2006). Teknik Analisis Data. Diakses dari https://www.academia.edu/28264480/BAB_111_Propasal
Mathieson, A., & Wall, G. (1982). Tourism, economic, physical and social impacts. Longman.
Md Jahi, J. (2004). Impak pembangunan pelancongan terhadap persekitaran fizikal zon pinggir pantai. In: Seminar Sumberjaya Pinggir Pantai dan Pelancongan: Isu dan Cabaran, 20-21 Disember 2004, Bukit Merah Laketown Resort, Perak.
NURHANIE MAHJOM, Z. I. (2009) POTENSI PERNIAGAAN PELANCONGAN KESIHATAN: SATU KAJIAN DI PERAK. PROSIDING PERKEM IV, JILID 2 (2009) 216-226
Od, M. A., Jaafar, M. Z. & Zakari, Z. B. (2015). Pembangunan Pelancongan Malaysia Dari Sudut Sejarah: Kajian Awal. Dipetik dari https://www.researchgate.net/publication/287646917_Pembangunan_Pelancongan_Malaysia_Dari_Sudut_Sejarah_Kajian_Awal
Othman, P., & Rosli, M. M. (2011). The impact of tourism on small business performance: Empirical evidence from Malaysian islands. International Journal of Business and Social Science, 2(1).
Ritchie, B. W. (2006). Managing Educational Tourism. India: Viva Books Private Limited.
UNWTO (2016). Annual Report 2015. Dipetik daripada http://cf.cdn.unwto.org/sites/all/files/pdf/annual _report _2015_lr.pdf